Sebanyak 236 kes jangkitan COVID-19 dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini, iaitu jumlah harian tertinggi, manakala jumlah kumulatif yang sembuh sepenuhnya sebanyak 1,241 atau 32.72 peratus.

Kes baharu yang positif COVID-19 sehingga jam 12 tengah hari, hari ini dilaporkan sebanyak 131 kes menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia sebanyak 3,793 kes, manakala hanya satu kes kematian dicatatkan menjadikan keseluruhan 62 kes kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika hadir sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. (Gambar NSTP/MOHD FADLI HAMZAH)

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga kini sebanyak 102 kes kritikal masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), iaitu pertambahan sebanyak tiga kes berbanding 99 kes, semalam.

“Sehingga kini, seramai 102 kes positif COVID-19 sedang dirawat di ICU. Daripada jumlah itu, 54 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat pertambahan satu kematian akibat COVID-19, membabitkan kes ke-3,663 iaitu seorang lelaki tempatan berusia 67 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Kes kematian terbaharu itu mempunyai sejarah kontak rapat dengan beberapa kes indeks yang positif COVID-19 daripada perhimpunan di Sri Petaling, iaitu kes ke-1,265; ke-1,266; ke-1,267, ke-1,404 dan ke-2,549.

Sehingga petang ini, wabak COVID-19 sudah merekodkan sebanyak 70,344 kematian di seluruh dunia, meningkat sebanyak 5,734 daripada 64,610 kes semalam, namun jumlah kumulatif jangkitan kini mencapai 1,285,287 kes berbanding 1,197,584 semalam.

Amerika Syarikat terus mendahului dengan mencatat sebanyak 336,851 kes atau kira-kira 25 peratus kes positif COVID-19 dengan 9,620 kes kematian secara keseluruhan.

Petugas di barisan hadapan terdiri dari doktor dan jururawat di Hospital Kuala Lumpur melakukan persediaan sebelum dibenarkan masuk untuk merawat pesakit yang positif COVID-19. (Gambar hiasan/NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI)

Sebanyak enam negara di Eropah berada dalam senarai 10 negara yang mencatat jumlah jangkitan COVID-19 tertinggi iaitu Sepanyol yang kini berada di tempat kedua dengan sebanyak 135,032 kes, mengatasi Itali dengan jumlah jangkitan 128,948 kes.

Jerman turut mencatatkan pertambahan jangkitan dengan 100,132 kes, diikuti  Perancis (92,839), China (81,708), Iran (60,500), United Kingdom (47,806), Turki (27,069) dan Switzerland (21,282)

Gambar utama: Kredit AFP/Piero Cruciatti)