Kematian mengejut beberapa selebriti kebelakangan ini, menimbulkan pelbagai rasa dan cerita. Ramai yang melahirkan kesedihan terutama memikirkan nasib waris yang ditinggalkan, namun ada juga cerita yang kurang enak dibaca antaranya perbalahan antara dua keluarga, pertikaian hadanah (hak memelihara anak si mati) dan perebutan harta.

Orang kata, kubur masih merah, ahli keluarga sudah berantakan. Permasalahan itu menyebabkan ramai yang terlepas pandang beberapa perkara penting yang perlu dilakukan apabila berlaku kematian.

Perancang Kewangan Islam dan Harta Pusaka, Nurin Hamid, berkata salah faham mengenai pengurusan yang betul antara faktor dikenal pasti menjadi punca pertikaian apabila berlaku kematian.

“Sebagai perancang harta pusaka, saya berdepan dengan pelbagai isu membabitkan harta pusaka, ada keluarga yang bermasam muka hanya kerana berebut harta, ada juga yang berebut anak si mati. Tidak kurang juga yang menyalahgunakan amanah dalam mentadbir harta si mati.

“Bagaimanapun, kekeliruan itu boleh dielakkan sekiranya masyarakat memahami kaedah betul terutama dalam menguruskan hal ehwal harta si mati,” katanya kepada Hijab & Heels.

Nurin Hamid (kanan) berbincang dengan pelanggannya mengenai perancangan harta yang betul.

Isu berkenaan lazimnya berlaku apabila membabitkan kematian suami. Isteri yang sedang kesedihan akan hilang punca dan terpaksa bergantung pada ahli keluarga untuk menguruskan jenazah suami.

Keadaan akan lebih meruncing sekiranya suami adalah penyumbang utama kepada ekonomi keluarga dan isteri bergantung sepenuhnya pada pendapatan suami. Lebih menyedihkan apabila suami berkenaan juga menjadi tempat bergantung harap ibu dan adik beradiknya.

Semua isu terbabit boleh menyebabkan pelbagai isu timbul terutama membabitkan harta suami. Pertikaian antara keluarga suami dengan isteri si mati akan memuncak dan menjadi isu yang memalukan.

Nurin yang Pengasas Nurin Wealth Consultancy berkata, pengurusan selepas kematian seseorang wajar dilihat dari dua aspek, iaitu pengurusan jenazah dan juga pengurusan harta si mati.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah memastikan pengurusan jenazah berjalan lancar. Hal ini membabitkan urusan untuk memandikan jenazah, kafan, solat jenazah dan pengebumian yang memerlukan bayaran upah, misalnya bayaran ambulans atau van jenazah untuk menghantar jenazah dari rumah atau hospital ke tanah perkuburan.

“Waris juga perlu melunaskan upah menggali kubur, selain mungkin juga menyediakan sedikit minuman kepada pengunjung. Ada keluarga yang menggunakan duit mereka untuk melunaskan bayaran itu, tetapi boleh juga diambil daripada harta si mati,” katanya.

Selepas urusan pengebumian jenazah selesai, waris perlu menguruskan harta yang ditinggalkan si mati dengan seadil-adilnya kerana bimbang ketidaktelusan hanya akan menyebabkan waris berdosa, terutama jika dilihat menganiaya balu dan anak si mati.

Aspek kedua ini perlu diperhalusi semua pihak sama ada isteri mahupun ahli keluarga si mati, justeru peranan waris yang dilantik sebagai pentadbir harta si mati amat penting bagi memastikan tidak berlaku perbalahan keluarga.

Nurin berkata, pentadbir berkenaan perlu menyelesaikan urusan harta suami berdasarkan dua perkara yang dilakukan mengikut turutan sebelum harta berkenaan dibahagikan secara faraid.

“Pertama, pentadbir atau wasi itu perlu menyelesaikan semua hutang si mati, diikuti harta pusaka yang membabitkan pelbagai perkara termasuk harta sepencarian, wakaf, hibah dan wasiat kepada pihak yang bukan waris.

“Baki daripada pembahagian itu barulah akan dijadikan penyelesaian harta si mati secara faraid,” katanya.

Jangan jadikan kematian punca perbalahan antara keluarga atau perebutan harta. Gambar hiasan/NSTP/ASYRAF HAMZAH

Berikut adalah perkara yang perlu diselesaikan waris yang bertindak sebagai pentadbir atau wasi.

1. Pengurusan jenazah

Memastikan urusan si mati daripada upacara mandi, kafan, solat jenazah sehingga pengebumian berjalan lancar. Waris juga perlu melunaskan bayaran berkaitan urusan jenazah seperti bayaran van jenazah, ambulans, bil hospital, upah gali kubur dan lain-lain lagi.

Waris perlu membuat laporan polis mengenai kematian si mati dan mendapatkan sijil kematian untuk memudahkan urusan seterusnya.

2. Penyelesaian hutang si mati

Waris perlu menyelesaikan hutang si mati termasuk hutang kepada manusia dan hutang pinjaman (kereta, rumah, peribadi dan lain-lain). Bagi tujuan itu, waris yang dilantik sebagai wasi itu perlu mengumpulkan semua harta si mati, iaitu wang dalam simpanan, Tabung Haji dan Koperasi termasuk harta benda seperti kenderaan, rumah, tanah serta bangunan.

Sekiranya si mati mempunyai wang tunai termasuk dalam simpanan, wang berkenaan boleh digunakan untuk membayar hutang terbabit supaya isteri dan waris atau anak yang masih kecil tidak terbeban kelak.

3. Pengurusan harta pusaka

Pengurusan harta pusaka perlu dimulakan dengan pembahagian berdasarkan pesanan si mati, pembahagian wakaf, infaq atau wasiat kepada individu yang bukan waris si mati atau pihak tertentu seperti badan bukan kerajaan, institusi kebajikan atau masjid. Pembahagian ini perlu diselesaikan terlebih dahulu sekiranya si mati ada meninggalkan dokumen atau pihak berkenaan tampil dengan dokumen yang disahkan.

Pentadbir atau wasi juga perlu memastikan jika si mati ada membuat pembahagian harta sepencarian dengan isteri sebelum meninggal, jika tidak isteri boleh menuntut harta sepencarian selepas suami meninggal dunia dan wasi wajib menyelesaikan pembahagian harta sepencarian itu .

4. Pembahagian faraid

Baki harta pusaka boleh diselesaikan secara faraid atau atas muafakat kesemua waris lain yang masih hidup

Bagaimanapun, faraid hanya boleh dilakukan selepas wasi menyelesaikan tiga perkara di atas, iaitu pembayaran bagi urusan jenazah, hutang si mati dan pengurusan harta pusaka termasuk pembahagian harta sepencarian untuk isteri si mati.