Oleh Amnan Hibrahim

Penggunaan kerusi keselamatan bayi ataupun kanak-kanak ketika menaiki kenderaan adalah aspek yang sangat penting dalam memastikan keselamatan mereka ketika berhadapan dengan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Namun begitu, dalam ucapan yang dilaporkan oleh Berita Harian, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata,penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan hanyalah berada pada kadar 36 peratus.

Pastinya, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kurangnya penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kalangan masyarakat, antaranya adalah kesukaran untuk mengawal kanak-kanak terutamanya bayi kecil daripada meragam ketika duduk di kerusi keselamatan berkenaan.

Oleh itu, terdapat beberapa panduan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka tidak meragam ketika menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak.

1. Rancang perjalanan mengikut mood 

Merancang perjalanan sesuai dengan mood bayi ataupun kanak-kanak sangat penting dalam memastikan kelancaran perjalanan. Gambar hiasan/NSTP/Email.

Setiap daripada bayi tentunya memiliki ragam yang tertentu dalam aktiviti seharian mereka. Oleh itu, bagi memudahkan perjalanan bersama anak anda di dalam kereta, sesuaikan perjalanan anda tidak kira pendek mahupun panjang dengan ragam anak anda.

Sebagai contoh, waktu di mana seseorang bayi itu tidur adalah masa yang sesuai untuk memulakan perjalanan yang panjang.

Untuk perjalan pendek pula, waktu yang paling sesuai adalah ketika seseorang bayi itu dalam keadaan gembira mahupun cergas. 

Selain itu, mulakan perjalanan sejurus selepas waktu makan adalah sangat bagus untuk perjalanan yang lebih lancar. Hal ini kerana bayi kekenyangan lazimnya mudah untuk tidur

2. Pastikan keselesaaan bayi

Bayi yang berada dalam keadaan tidak selesa cenderung untuk meragam serta menangis. Justeru, adalah amat penting untuk ibu bapa menyediakan tempat serta suasana yang selesa untuk bayi agar mereka tidak meragam ketika duduk di kerusi keselamatan kanak-kanak.

Antara aspek keselesaan yang perlu dititikberatkan adalah jenis kerusi keselamatan yang digunakan, suhu dalaman kereta, pakaian bayi, serta pencahayaan dari luar.

Pastikan kerusi keselamatan yang digunakan adalah sesuai dengan saiz serta berat badan bayi. Selain itu, ibu bapa juga boleh menggunakan alatan tambahan seperti bantal kecil dan juga kain pelindung pada kerusi keselamatan berkenaan.

Dari segi pakaian, elakkan memakai pakaian yang mudah menyebabkan bayi anda berpeluh kerana keadaan itu boleh menjejaskan keselesaan bayi. 

Untuk pencahayaan pula, penggunaan alat yang melindungi bayi berkenaan daripada silau ataupun terik cahaya matahari juga adalah sangat disarankan. Hal yang demikian kerana silau ataupun terik matahari berupaya untuk membangunkan bayi berkenaan dan seterusnya mengganggu tidur mereka.

3. Alih perhatian anak anda

Pemberian alatan permainan ataupun makanan yang boleh melekakan bayi atau kanak-kanak ketika dalam perjalanan adalah antara cara untuk mengelakkan mereka meragam. Foto: Verywell Family

Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan bagi mengalih ataupun mengisi perhatian seseorang bayi ataupun kanak-kanak itu daripada meragam ataupun menangis.

Antara cara yang boleh dilakukan adalah dengan menyediakan mainan agar mereka leka bermain. Ibu bapa perlulah kreatif dalam memilih dan menyediakan mainan buat anak mereka.

Untuk bayi, patung boleh gigit adalah yang sangat penting kerana mainan jenis itu berupaya untuk mengurangkan kesakitan proses pertumbuhan gigi mereka.

Makanan juga boleh dijadikan sebagai alat untuk mengalih perhatian bayi ketika mereka duduk di kerusi keselamatan, namun pemberian gula dan coklat adalah sangat tidak digalakkan kerana makanan berkenaan mampu membuatkan bayi itu menjadi hyperaktif.

Perlu diingatkan, pemberian alat untuk mengalih perhatian perlulah menitiberatkan keselamatan bayi. Elak gunakan barang yang mendedahkan kanak-kanak kepada sebarang kejadian kecederaan seperti tercekik contohnya yang boleh diakibatkan daripada mainan ataupun sebarang makanan.

4. Gunakan cermin pengawasan

Cermin pengawasan adalah sangat penting bagi membolehkan ibu bapa mengawasi aktiviti anak mereka di bahagian belakang kereta. Namun, cermin ini juga boleh menenteramkan bayi ataupun seseorang kanak-kanak itu apabila mereka melihat kehadiran ibu bapa mereka melalui cermin berkenaan.

5. Jangan mudah cemas

Jika anda seseorang bayi atau kanak-kanak itu meragam, ibu bapa tidak perlu cemas. Cuba berbual untuk menenangkan mereka. Foto: Sunday Times Driving

Setiap ibu bapa pastinya risau setiap kali terdengar tangisan anak mereka. Namun begitu, ibu bapa tidak perlu untuk berhenti setiap kali anak-anak mereka menangis. 

Ibu bapa perlu membezakan sama ada tangisan anak mereka itu bertujuan untuk hanya sekadar meminta perhatian ataupun  sebaliknya.

Antara cara yang boleh dilakukan ibu bapa dalam keadaan ini adalah dengan memujuk anak-anak mereka dengan cuba berbual dengan mereka. Tetapi, jangan sesekali meninggikan suara.

Hal yang demikian kerana tindakan itu hanya akan menakutkan seseorang bayi itu lalu menyebabkan mereka terus menangis. Di samping itu, dalam jangka waktu panjang, perbuatan tidak terus melayani kanak-kanak yang menangis ataupun meminta perhatian juga mampu melatih mereka untuk mengawal diri mereka ketika menaiki kenderaan.