6 sikap ibu bapa punca anak tidak berjaya


Setiap ibu bapa perlu mempelajari teknik penting dalam mencurahkan kasih sayang  kepada si kecil termasuk kaedah terbaik memberikan perhatian yang mencukupi untuk setiap anak.

Hasilnya, anak akan membesar dengan baik dari segi mental, fizikal dan emosi untuk menjadi individu yang berguna kepada masyarakat.

Bagaimanapun, ibu bapa juga perlu ingat bahawa ada beberapa ciri keibubapaan yang perlu dielak. Menurut Business Insider, ada enam sikap ibu bapa yang dikesan akan menyebabkan anak membesar sebagai kanak-kanak bermasalah.

1. Ibu bapa kuku besi

Ibu bapa jenis ini tidak menggalakkan anak mereka untuk berkomunikasi secara terbuka. Mereka hanya meminta si kecil melakukan sesuatu tanpa menjelaskan mengapa.

Satu kajian menunjukkan apabila ibu bapa bertindak sebegini ketika memeriksa kerja rumah anak mereka, potensi anak untuk berjaya terbantut.

2. Ibu bapa membenarkan anak menonton televisyen ketika mereka masih kecil

Menonton televisyen tidak berfaedah bagi kanak-kanak di bawah umur dua tahun. Sumber: Shutterstock

Pengkaji mendapati ada kemungkinan kanak-kanak yang banyak menonton televisyen akan jarang mengambil bahagian di dalam kelas dan akan mendapat markah kurang dalam mata pelajaran Matematik.

3. Ibu bapa sering memarahi anak mereka dengan nada tinggi

Menjerit, mencarut dan mencaci sebenarnya boleh memberikan impak negatif yang sama dengan tindakan mendisiplinkan anak secara fizikal.

4. Ibu bapa terlebih mengawal anak

Ibu bapa yang digelar “helicopter parents” ini pernah dikaitkan dengan kadar kemurungan dan keresahan yang lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak.

Penyelidik mendapati kanak-kanak ini kurang terbuka terhadap idea baharu dan lebih bersifat malu dan segan dengan diri sendiri.

5. Ibu bapa tidak berhubung dengan anak secara emosi

Sumber: Videobox

Ibu bapa yang tidak menunjukkan rasa kasih sayang dengan betul boleh mengakibatkan anak mereka mengalami masalah tingkah laku dan emosi, serta rasa tidak selamat atau selesa dengan hidup mereka.

6. Ibu bapa gemar memukul anak

Seorang anak kecil yang memiliki masalah tingkah laku akan menjadi lebih teruk jika ibu bapanya memukulnya. Tindakan memukul ini juga pernah dikaitkan dengan masalah kesihatan mental dan kesukaran dari segi kognitif.

Secara kesimpulannya, ibu bapa yang ingin anak berjaya dalam hidup, cuba elak daripada mengamalkan perbuatan yang dinyatakan di atas! Jika anda memang berperangai sebegini sejak awal lagi, berubahlah demi masa depan si kecil.