{
}

6 taktik efisyen pisahkan anak dari tempat tidur


Rasa kesian dan tidak sampai hati ialah antara faktor yang membebankan serta menyukarkan urusan ibu bapa untuk pisahkan anak-anak dari tempat tidur.

Bimbang kalau-kalau anak terjatuh dari katil kerana terlalu lasak atau faktor 'ketakutan' kerana tidur bersendirian di dalam bilik.

Menerusi perkongsian Ustaz Datuk Kazim Elias, di mana Rasulullah SAW bersabda: “Perintahkanlah anak-anak kalian untuk melaksanakan solat apabila sudah mencapai umur tujuh tahun dan apabila sudah mencapai umur sepuluh tahun maka pukullah dia apabila tidak melaksanakannya dan pisahkanlah mereka dalam tempat tidurnya.” (Sahih Sunan Abu Daud, no: 418/495)

Sekiranya pada umur tujuh tahun sudah diberi arahan untuk bersolat, ini bermakna mengajar anak-anak mengenai solat adalah lebih awal daripada itu. Begitu juga dengan pemisahan tempat tidur hendaklah dilakukan dan dididik lebih awal daripada usia 10 tahun.

Ini kerana pada usia itu mereka sudah mengenali pelbagai perkara dan ibu bapa perlu membuat pendidikan bagaimana hendak memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan dan juga ibu bapa sendiri.

Foto: www.npr.org

Mengungkap lebih awal daripada usia 10 tahun, ini bermakna anak-anak sudah boleh diajar tidur di kamar sendiri seawal usia tiga atau empat tahun. Kenapa usia ini adalah yang terbaik?

Ini kerana, pada usia dua tahun anak-anak masih lagi menyusu badan dan perlukan sepenuh perhatian daripada ibu khususnya. Justeru, pisahkan mereka secara perlahan-lahan supaya mereka tahu tujuan 'pisah tempat tidur' itu dilakukan kerana mereka sudah besar bukan sebab ibu dan bapa mahu menghalau mereka dari bilik.

Namun begitu, bagaimanakah cara yang paling efektif untuk membiasakan mereka tidur di kamar sendiri? Hijab & Heels ada jawapannya!

1. Kerjasama ibu bapa

Seperti biasa, ibu dan bapa perlu ada persetujuan bersama. Janganlah pula apabila si ayah bersetuju,  emaknya pula tidak sampai hati, kesian anak tidur sendirian.

Foto: Sirap limau

2. Mulakan dengan tidur di bawah

Untuk bilik yang ada katil, mula-mula kita biasakan anak tidur di bawah. Bukan bersama-sama dengan kita di atas katil. Pastikan anda bentang tilam yang selesa untuk anak. Kesian pula kalau alas tempat tidur anak nipis sahaja sedangkan ibu dan ayah tidur di atas tilam empuk.

3. Hias bilik anak

Kanak-kanak biasanya teruja bila ada bilik sendiri. Mungkin kita tidak mampu untuk menghias bilik secantik bilik pameran IKEA. Memadailah kalau kita belikan katil kecil dengan tilam yang dibalut cadar superhero atau puteri kegemaran mereka. Boleh tampal gambar dan hiasan bersesuaian di dinding.

Letakkan gambar comel mereka dalam bingkai. Susun baju dalam almari mereka sendiri, rak buku dan meja kecil. Di situlah mereka mula belajar untuk tidak masuk lagi bilik ibu bapa. Beraktiviti di bilik sendiri sampailah waktu tidur.

Foto: fizarahman

4. Bed time story

Teman mereka sebelum tidur dengan membaca buku kegemaran. Boleh juga ceritakan kisah Nabi, kisah-kisah dalam al-Quran dan kisah pengajaran. Jadikan rutin setiap malam tanpa gagal. Jangan paksa mereka masuk bilik dan tidur sendiri!

Foto: Parenting firstcry

5. Teman mereka tidur kemudian…

Tutuplah lampu dan tidur bersama di bilik mereka, tapi bukan tidur sampai berdengkur pula, tidur-tidur ayam sudahlah! Bila anak sudah mula lena, tinggalkan mereka dan kembali ke bilik anda. Keesokan harinya, kejut anak. Bila mereka sedar yang mereka tidur di bilik sendiri, lama kelamaan keyakinan diri mereka untuk tidur sendiri mula meningkat.

Ada juga kes, anak terjaga di tengah malam dan mula mengetuk pintu bilik kita. Jangan benarkan mereka tidur bersama. Sebaliknya, bawa mereka kembali ke bilik dan teman mereka sehingga terlelap.

Foto: Bettersleep.org

6. Didik anak

Untuk anak yang sudah besar dan mula faham, terangkan mengapa kita sudah tidak boleh tidur bersama. Kaitkan dengan agama dan suruhan Allah. Bagi mereka peluang untuk belajar, berfikir dan menerima.

Sebenarnya, usaha ini akan menjadi lebih mudah jika anak-anak sudah ada kakak atau abang yang lebih besar. Berkongsi bilik dari kecil, mereka lebih mudah berpisah tempat tidur dengan kita. Apapun, jangan lupa juga pisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan!

Foto: Iburose