{
}

7 panduan ketika membeli krim pelindung matahari


Pakar kulit mengesyorkan anda memakai krim pelindung matahari (SPF) tak kiralah ketika waktu hujan atau ketika sinaran matahari tengah terik. Jangan tak pakai langsung!

Anda juga perlu pandai memilih produk SPF bagi memastikan ia betul-betul berkesan dalam melindungi kulit anda daripada sinaran ultraungu yang merbahaya.

Jika produk itu tidak sesuai, kulit anda mempunyai risiko untuk menjadi kemerahan, bertompok, berkedut atau kendur. Paling menakutkan, anda boleh menghidap kanser kulit!

Di pasaran kini, ada terlalu banyak produk SPF tetapi apakah ciri-ciri yang anda perlu nilai sebelum beli? Jom ketahuinya, melalui informasi menarik dikongsikan Today.

1. Pilih jumlah SPF tertinggi

Ciri pertama yang anda perlu ialah jumlah SPF yang terkandung dalam produk krim pelindung matahari anda.

“SPF merujuk kepada ‘sun protection factor’ yakni pengukuran untuk sejauh mana krim ini mampu melindung kulit anda daripada rosak akibat sinaran matahari,” jelas Casey Johnston, ketua pengarang di The Sweethome.

“SPF 50 mampu menghalang 98 peratus daripada sinaran, manakala SPF yang lebih rendah taklah begitu berkesan.”

Sama penting ialah jumlah perlindungan daripada sinaran gelombang ultra lembayung pendek (UVA) dan gelombang ultra lembayung panjang (UVB).

Sinaran ini mengakibatkan kerosakan lain: UVB menyebabkan selaran matahari (sunburn) manakala kesan UVA ialah lebih jangka-panjang, seperti kedutan kulit.

“UVA dan UVB boleh mengakibatkan kanser, jadi lebih baik anda dapatkan krim yang boleh menghalang kedua-duanya.”

Foto: MetroKids

2. Jangan pakai sikit-sikit

Menurut pakar kulit yang pihak The Sweethome jumpai, anda patut pakai SPF sebanyak lebih kurang 30 gram atau ml bagi setiap jam anda terdedah kepada cahaya matahari.

Menurut kajian mereka, ramai orang hanya memakai satu suku hingga separuh daripada yang mereka perlukan.

Untuk mendapatkan manfaatnya, SPF patut dipakai sekurang-kurangnya 30 minit sebelum anda keluar rumah. Kemudian, sekali lagi pada setiap jam dan setiap kali anda berpeluh atau mandi-manda.

Ini bermakna, lebih berpatutan harga produk SPF anda, lebih bagus, kerana SPF patut dipakai dalam kuantiti yang besar.

3. Pilih jenis formula krim yang sesuai

Terdapat dua jenis formula SPF di pasaran: fizikal (yang memantul sinaran) dan kimia (yang menyerap sinaran sebelum ia mencapai kulit anda.

“Secara umumnya, krim fizikal (yang mengandungi zink oksida dan titanium oksida) selalunya tampak putih apabila disapukan,” kata Casey.

“Krim kimia (yang mengandungi oxybenzone dan avobenzone) pula selalunya akan kering tanpa kesan.”

Jika muka anda tampak bertompok sesudah memakai krim fizikal, cubalah krim kimia pula. Ikut cita rasa anda.

Foto: 네이버포스트

4. Jangan pilih krim “kalis air” atau “kalis peluh”

Itu mitos saja! Mengikut peraturan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA), krim SPF hanya boleh menepis air selama 80 minit.

“Jika anda mandi di kolam renang atau laut, anda mesti pakai semula sebaik saja anda keluar daripada air,” nasihat Casey.

“Jika anda bercadang untuk berada di dalam air lebih lama daripada sejam, pakai pakaian yang menutup kulit.”

5. Jangan pilih SPF jenis semburan

Bunyi macam lebih memudahkan, tetapi ia bukan sekadar sembur saja, ya! Selepas sembur, anda sepatutnya perlu gosok pada kulit supaya formulanya diserap.

Lagipun, dengan menyembur, anda tidak dapat menyukat banyak mana formula yang anda gunakan. Ingat, 30 gram atau ml!

Satu lagi kekurangan semburan SPF ialah anda boleh tersedut formula ini dengan mudah. Ini sebabnya SPF losyen ialah paling ideal.

Foto: Nadyaeugene/Shutterstock

6. Abaikan mitos kononnya SPF ialah sensitif untuk kanak-kanak

Menurut ahli kimia Perry Romanowski dan pakar kulit Patricia Treadwell, itu hanyalah salah satu teknik pemasaran.

“Semua orang pun boleh mengalami iritasi. Jika sesuatu produk SPF itu menyebabkan iritasi kepada anda, besar kemungkinan penyebabnya ialah haruman atau pewarna yang terkandung.”

Mengenai formula yang sesuai untuk kanak-kanak, pertama sekali, bayi di bawah umur 6 bulan tidak patut berada di bawah sinaran matahari langsung.

Kedua, SPF yang disasarkan untuk kanak-kanak lebih kurang sama saja kandungannya dengan SPF biasa. Pembungkusannya saja lain.

7. SPF yang mahal tak semestinya lebih efektif

“Krim mahal selalunya mengandungi ramuan yang mahal tetapi tak relevan (seperti ekstrak dan haruman). Jumlahnya pun tak cukup tinggi untuk menyumbang kepada keberkesanan produk berkenaan,” kata Casey.

Satu lagi isu ialah penjenamaan. Menurut Casey, produk mewah takkan dipasarkan dalam botol yang murah, betul tak? Entah-entah produk itu dijual dengan harga yang mahal untuk menampung kos botol.

SPF sepatutnya digunakan dalam kuantiti yang besar, jadi jangan beli SPF yang dijual dalam bekas yang kecil.