Oleh Ainur Nadhirah Bahrom Shah

Kategori Online ialah kategori baharu diperkenalkan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32 (ABPBH 32) kali ini dan ia dijangka menarik perhatian ramai memandangkan kini capaian jaringan berita mahupun apa saja  maklumat berlangsung dengan meluas melalui dalam talian atau Online.

Sehubungan itu, antara kategori yang menjadi tumpuan dalam ABPBH 32 ini tentunya Kategori Online yang menampilkan lima kategori sensasi.

Seperti tahun lepas, lima kategori sensasi yang dipertandingkan ialah Artis Sensasi Popular, Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Personaliti Media Sosial dan Instafamous Cilik Popular.

Berbeza dengan tahun ini, Personaliti Media Sosial dan Instafamous Cilik Popular telah ditukar kepada Pelakon Watak Antagonis dan Lagu Paling Boom. 

Artis Sensasi Popular 

Artis yang dulu dikenali sebagai Nabilah Dally, namun menukar kepada Bella Dally kerana enggan peminat keliru dengan Nabila Huda, tercalon dalam kategori Artis Sensasi Popular.

Pada tahun 2018, Bella mengejutkan peminatnya apabila perkahwinannya dengan pelakon Nazim Othman selama dua tahun tidak bertahan lama dan diakhiri dengan perceraian. Awal tahun ini, beliau mengahwini ahli perniagaan, Arif Izuddin Mohd Radzali selepas lima bulan berkenalan. 

Manakala Nazim sendiri, pelakon kacak yang juga bekas suami Bella dicalonkan dalam kategori Artis Sensasi Popular. Beliau pernah dicalon dalam kategori Pelakon Televisyen Lelaki Popular dan Pasangan Serasi Drama tetapi tuah tidak menyebelahinya. 

Foto: NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Siapa tidak kenal pelakon kecil ini, Elfira Loy yang kini sedang hamil dan menunggu hari kelahiran bayi sulungnya! Beliau yang pernah mengikat pertunangan dengan Sufian Suhaimi dan putus, kemudiannya bertunang buat kali kedua dengan jejaka pilihannya Muhammad Faris Khairol Anuar pada tahun lepas dan berkahwin pada awal tahun ini. 

Beliau pernah tercalon dalam kategori Artis Sensasi Popular ABPBH ke-31 dan tercalon juga bagi ABPBH KE-32. Adakah Elfira Loy akan membawa pulang trofi pada tahun ini? Kita nantikan sahaja adakah kemenangan berpihak kepadanya.

Foto: NSTP/Mahzir Mat Isa

Haqiem Rusli, penyanyi yang sedang meningkat naik dan meraih perhatian luar biasa mengatakan bahawa beliau ingin bersara daripada industri hiburan kerana berdepan dengan masalah kemurungan. Mungkinkah gimik Haqiem Rusli yang pernah menarik perhatian netizen ini akan menobatkan beliau sebagai pemenang? 

Selain itu, pelakon berbadan sasa yang diminati ramai, Zul Ariffin pernah dilanda kontroversi apabila gambar yang tidak sedap dilihat milik beliau tular di laman sosial.  Sekali lagi nama Zul Ariffin kembali dengan kontroversi apabila dikatakan kantoi kerana berdua-duaan di bilik hotel bersama seorang gadis yang berasal dari Ukraine. 

Bagaimanapun, beliau pernah memenangi Pelakon Filem Lelaki Popular dan Pasangan Serasi Filem dalam ABPBH ke-31 walaupun dilanda pelbagai kontroversi. 

Gandingan Serasi Drama Popular

Jangan kata dua pelakon ini tidak dikenali ramai kerana kebanyakan drama lakonan Mira Filzah dan Remy Ishak sentiasa mendapat rating tinggi dalam kalangan peminat drama tanah air.

Kali ini mereka dikategorikan dalam dua drama dalam Kategori Gandingan Serasi Drama Popular iaitu Lelaki Kiriman Tuhan dan Pujaan Hati Kanda. 

Antara dua drama yang dipertandingkan ini, adakah salah satu daripadanya akan membawa tuah kepada gandingan Mira dan Remy? Berdebar-debar itu sudah pasti kerana masing-masing mempunyai kebolehan tersendiri ketika beraski dalam drama yang dilakonkan. KIta tunggu sahaja apa penyudahnya.

Calon bagi kategori Gandingan Serasi Drama Popular
Foto: NSTP/Eizairi Shamsudin

Drama Nur, yang telah melonjakkan nama Syafiq Kyle apabila beliau berjaya menjayakan watak yang digandingan bersama Amyra Rosli turut dicalonkan dalam Kategori Gandingan Serasi Popular. Sementara itu, menerusi drama Tak Ada Cinta Sepertimu gandingan Syafiq Kyle bersama Zahirah McWilson juga telah dicalonkan dalam kategori tersebut. 

Gandingan Syafiq Kyle bersama siapakah yang akan memenangi Kategori Gandingan Serasi Drama Popular? Adakah Amyra Rosli, pelakon manis lagi bergaya itu ataupun Zahirah McWilson, pelakon berdarah kacukan itu? 

Menerusi drama Cik Reen Encik Ngok Ngek, yang dibintangi oleh Fikry Ibrahim dan Farah Nabilah turut tercalon dalam kategori ini. Fikry yang memulakan kerjaya sebagai pelawak akan tetapi rezekinya sebagai pelakon menyebelahinya. Farah Nabilah pula pelakon yang melonjak naik menerusi drama lakonannya dalam Titian Cinta. 

Gandingan Serasi Filem Popular 

Foto: NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Zizan Razak dan Shaheizy Sam bergandingan menerusi Filem Polis Evo 2 yang telah meraih kutipan pecah panggung tertinggi sebanyak RM 20 juta dalam tempoh 17 hari. Adakah mereka dapat meraih kemenangan itu? 

Sekali lagi Syafiq Kyle tercalon dalam kategori Gandingan Serasi Filem Popular bersama Hannah Delisha menerusi filem Langsuir. 

Filem KL Special Force yang dibintangi oleh Fattah Amin dan Syamsul Yusof juga tercalon dalam kategori Gandingan Serasi Filem Popular yang telah meraih kutipan sebanyak RM12.1 juta dalam tempoh empat minggu tayangan.

Hairul Azreen dan Ammar Alfian yang berjaya menghidupkan watak mereka dalam filem Paskal melayakkan mereka dikategorikan dalam kategori Gandingan Serasi Filem Popular. 

Remy Ishak dan Mira Filzah sekali lagi dicalonkan dalam kategori Gandingan Serasi Filem Popular menerusi Rise Ini Kalilah. Mereka telah membuktikan bahawa lakonan mereka boleh sampai ke tahap ini dengan pencalonan yang begitu banyak. 

Pelakon Watak Antagonis

Foto: STU/Syakirah Azhar

Azar Azmi merupakan bekas peserta Dewi Remaja tahun 2009 yang turut disertai oleh Neelofa, Izara Aishah dan Anzalna Nasir. Sebelum menyertai Dewi Remaja, beliau memulakan kerjaya lakonan melalui watak tambahan. Beliau lebih dikenali dengan watak antagonis. Antaranya adalah Suri Hati Mr Pilot, Pujaan Hati Kanda dan Nur 2. 

Azhan Rani, memulakan kerjaya awalnya dalam bidang lakonan menerusi drama radio. Menerusi wataknya sebagai Ustaz Hamadi dalam drama Nur 2, beliau menerima pelbagai kecaman dari penonton. Itu membuktikan bahawa watak yang dibawa oleh beliau berkesan dan berbekas di hati penonton! 

Reen Rahim merupakan juara bagi Pilih Kasih musim ketiga. Bermula dengan itu, kerjayanya sebagai pelakon semakin meningkat. Menerusi drama Nur 2, watak Kak Su atau Suria, wanita yang sering memakai kain batik dan karakter gila-gila dengan suka menyebut perkataan ‘Halah Halah Halah’ itu mencuri perhatian penonton. 

Foto: NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Syazwan Zulkifli dikenali ramai menerusi watak antagonis walaupun hakikatnya beliau telah melakonkan pelbagai jenis watak. Beliau mula dikenali ramai apabila memegang watak Apek menerusi drama TV3 iaitu Juvana. Menerusi watak-watak antagonis yang dilakonkan, ia membuatakan Syazwan dianggap sebagai  seorang yang panas baran. 

Shukri Yahaya memulakan kerjayanya sebagai pelakon apabila bakatnya dicungkil oleh Osman Ali, pengarah Filem Jiwa Taiko. Beliau pernah memenangi anugerah bagi kategori Antagonis Pilihan dalam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur ke-3. Mungkinkah beliau dapat merebut gelaran Pelakon Watak Antagonis? 

Lagu Paling Boom 

Foto: NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Andi Bernadee memulakan kerjayanya sebagai penyanyi apabila beliau sering memuat naik video nyanyiannya di Smule. Tidak lama selepas itu, single beliau Satu Peluang telah meningkat naik dan pernah menduduki carta trending di laman Youtube. 

Haqiem Rusli dengan singlenya iaitu Selamat Tinggal Sayang telah mencecah 15 juta tontonan di laman Youtube. Beliau berjaya membawa lagu tersebut ke separuh akhir Anugerah Juara Lagu ke-33. 

Di Matamu merupakan single keempat Sufian Suhaimi yang dilancarkan selepas beberapa hari beliau memutuskan pertunangan dengan Elfira Loy. Video klip persembahan  beliau di AJL33 telah mendapat tontonan sebanyak dua juta selepas dimuat naik di laman Youtube. 

Rahsia Kita, duet diantara Khai Bhar dan Fatin Husna ini telah tercalon dalam kategori Lagu Paling Boom. Mereka  berdua memulakan kerjaya sebagai penyanyi bermula dengan Smule. Kini mereka telah berjaya menempah nama dalam industri nyanyian. 

Penyanyi yang juga pelakon, Siti Nordiana dengan singlenya iaitu Hatiku Milikmu juga telah tercalon dalam kategori ini.  Lagu ini telah berjaya mendapat muat turun lagu Melayu terbanyak di carta iTunes pada hari pertama pelancarannya di laman tersebut. 

Jangan lupa untuk mengundi di laman sesawang www.abpbh.com.my dan undian secara pukal menerusi DuitNow. Undian boleh dilakukan sehingga 15 September 2019.