{
}

Adidas buka butik kanak-kanak pertama di dunia


Jenama fesyen sukan terkenal, adidas melancarkan butik fesyen khusus untuk kanak-kanak yang pertama di dunia, adidas Kids bagi memudahkan ibu bapa yang menggemari gaya lasak dan kesukanan.

Butik yang terletak di tingkat satu pusat beli-belah IOI Mall Putrajaya itu menampilkan rekaan khusus untuk bayi, kanak-kanak dan remaja di bawah satu bumbung.

Pengurus Besar adidas Malaysia, Mr. Ng Chee Loon, berkata pembukaan butik adidas Kids eksklusif untuk kanak-kanak itu adalah langkah pertama bagi Adidas Malaysia untuk membuka lebih banyak butik seumpamanya di negara ini.

Butik baharu adidas Kids din IOI Putrajaya menampilkan himpunan kasut dan pakaian sukan untuk kanak-kanak. Gambar NSTP/AMIRUDIN SAHIB.

“Kami teruja dengan pembukaan butik untuk kanak-kanak ini kerana kami di adidas Malaysia percaya konsep ini akan memberi peluang kepada ibu bapa yang meminati jenama ini untuk mencari barang keperluan yang digemari untuk anak mereka.

“Butik ini adalah butik untuk kanak-kanak pertama di dunia dan Malaysia menjadi negara pilihan berikutan sambutan hebat di Malaysia terhadap rekaan adidas untuk kanak-kanak, malah butik di IOI Putrajaya ini adalah fasa pertama bagi kami membuka butik adidas Kids dan dijangka lebih banyak butik seumpama ini dibuka menjelang akhir tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, baru-baru ini.

Butik dengan keluasan kira 82 meter persegi itu dihias dengan warna terang yang menjadikan suasana lebih ceria kepada pengunjung.

Butik adidas Kids di IOI Putrajaya turut diserikan dengan ruang untuk bermainan bagi kanak-kanak. Gambar sumbangan adidas Malaysia.

Selain rak baju, adidas Kids turut menyediakan ruang mainan yang direka khusus untuk si kecil menyerlahkan kreativiti mereka sambil ibu bapa membeli-belah

Butik berkenaan menyediakan pelbagai keperluan antaranya pakaian kasual dan aksesori seperti beg, topi dan kasut yang sesuai untuk bayi sehingga remaja berusia 14 tahun.

Berbeza dengan butik lain, butik adidas untuk kanak-kanak itu dibahagikan kepada tiga seksyen berdasarkan umur bagi memudahkan ibu bapa memilih saiz yang bersesuaian untuk si kecil.

1. Sudut bayi

Koleksi kasut dan pakaian sukan untuk bayi dan kanak-kanak kecil di adidas Kids, IOI City Mall. Gambar NSTP/AMIRUDIN SAHIB.

Pelbagai barangan disediakan merangkumi pakaian kasual seperti baju, seluar, jumper, kemeja-T dan jaket dengan rekaan yang menarik untuk bayi lelaki mahupun perempuan berusia dari lahir sehingga tiga tahun.

Adidas Kids turut menyediakan kasut untuk si cilik yang amat menarik dengan rekaan yang lebih ceria bersesuaian dengan aliran masa kini.

2. Sudut kanak-kanak

Pelbagai rekaan kasut dan pakaian sukan untuk kanak-kanak yang menggemari gaya lasak. Gambar NSTP/AMIRUDIN SAHIB.

Bagi ibu bapa yang meminati jenama adidas, anda boleh memilih pelbagai rekaan untuk anak anda yang berusia dari empat hingga lapan tahun. Antara yang disediakan ialah kemeja-T, seluar kasual dan jaket.

Ibu bapa juga boleh membeli topi dan beg yang sesuai dipakai ke sekolah. Bukan sahaja hadir dengan rekaan menarik, beg yang dipasarkan di butik berkenaan juga tahan lasak.

3. Sudut remaja

Butik baharu adidas Kids itu turut menyediakan rekaan khusus untuk kanak-kanak yang melangkah ke alam remajal. Gambar NSTP/AMIRUDIN SAHIB.

Ada kalanya, agak sukar untuk mencari pakaian untuk remaja berusia antara sembilan hingga 14 tahun. Menyedari masalah berkenaan adidas menyediakan pelbagai rekaan kasual untuk kanak-kanak yang sedang melangkah ke alam remaja.

Ada pelbagai rekaan disediakan daripada pakaian kasual sehingga kasut yang didatangkan dalam pelbagai rekaan menarik.