Hebatnya sepotong ayat al-Quran dari surah Al-Maidah sehingga membuka hati seorang bekas paderi Britian, Idris Tawfiq, untuk memeluk agama Islam.

Dia seorang paderi dengan kedudukan paling dihormati oleh penganut agama Kristian, bukan orang biasa-biasa yang sentiasa ampuh dengan pemahaman agama.

Namun siapa sangka, sepotong ayat al-Quran daripada surah Al-Maidah itu menjadi babak awal keislaman, Idris Tawfiq. Ayat 82 dari surah itu telah membuatnya berfikir panjang mengapa ada pihak yang amat memusuhi Islam, sedangkan baginya, Islam adalah sangat baik dan bertolak-ansur.

Persoalan itu timbul lebih-lebih lagi pandangan negatif beliau terhadap Islam selama ini berubah sekemba­linya dari bercuti di Mesir. Di Mesir, Idris dikatakan berpeluang mempelajari Islam dan melihat sikap lemah-lembut serta kesederhanaan umat Islam di negara itu sebelum mengkaji al-Quran.

Berkait dengan al-Quran juga, seorang wanita Kristian dari Amerika Syarikat memeluk Islam setelah ‘jatuh cinta’ dengan surah An-Nur ayat 30-31 ber­kenaan memelihara pandangan mata (melihat aurat).

Wanita itu dikatakan kagum dengan ketakwaan seorang pemuda Muslim Maghribi yang teguh berpegang kepada nilai ayat dari surah berkenaan ketika mereka berdua di dalam sebuah lif.

Kisah berkenaan membuktikan bahawa penghayatan ajaran Islam dalam al-Quran boleh mengubah persepsi negatif orang bukan Islam terhadap agama suci ini.

Pun begitu, keterbatasan orang Islam sendiri untuk memahami keindahan naskah al-Quran sebagai panduan hidup disebabkan kelemahan membaca dan tidak menguasai bahasa Arab. Mungkin kerana tidak pernah bersekolah agama atau tiada sebarang usaha untuk mempelajari tafsir al-Quran.

Sehubungan itu kewujudan laman Makna By Lofa yang boleh didapati menerusi aplikasi Muslim Pro ini adalah satu sumber rujukan yang baik untuk anda lebih memahami setiap kisah yang terkandung di dalam setiap petikan ayat al-Quran.

Foto: Twitter Neelofa

Makna By Lofa, adalah satu pembangunan aplikasi menyaksikan kolaborasi di antara pengacara dan usahawan terkemuka, Neelofa dengan pembangun aplikasi digital Islamik global, Muslim Pro.

Menurut Lofa atau nama sebenarnya Noor Neloofa Mohd Noor, inisiatif mewujudkan laman Makna By Lofa dalam aplikasi Muslim Pro ini adalah kerana kurangnya maksud ayat-ayat al-Quran yang ditulis dalam Bahasa Melayu.

Tambahnya lagi, sebelum ini beliau perlu membuka buku yang berlainan untuk mencari maksud ayat-ayat tersebut, namun kebanyakannya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Foto: Twitter Neelofa

Sebagai permulaan, Makna By Lofa akan menerbitkan audio berbentuk suara Neelofa yang membacakan maksud ayat-ayat al-Quran dalam Juzuk 30 atau Juzuk Ammar, malah akan hadir dengan fasa kedua dan ketiga bacaan maksud surah-surah terpilih serta bacaan seluruh ayat al-Quran.

Lebih membanggakan, Neelofa merupakan individu pertama yang meminjamkan suara bagi bacaan maksud ayat-ayat al-Quran dalam bahasa Melayu.

Foto: Twitter Neelofa

Justeru, pengenalan Makna By Lofa juga dapat membantu pengguna Muslim Pro sedia ada atau yang baharu untuk memahami al-Quran dengan lebih mendalam.

Pengguna boleh mencari laman khas Makna By Lofa dengan mudah menerusi gambar Neelofa yang digunakan sebagai ikon, malah aplikasi ini juga boleh diakses oleh semua 74 juta pengguna Muslim Pro dari seluruh dunia.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh memuat turun aplikasi Muslim Pro dan Makna By Lofa di iTunes dan Google Play.  

Foto: Twitter Neelofa