Mendidik kanak-kanak yang masih kecil bukan perkara mudah, kadangkala mereka membuat perangai termasuk menangis dan menjerit jika kehendak tidak dituruti.

Meraung di tempat awam, bergolek atau terbaring di hadapan kedai mainan dan memanjat meja di kedai makan adalah perkara biasa.

Belum lagi dikira mereka tunjuk perangai tidak mahu ke sekolah tadika pada waktu pagi ketika ibu bapa berkejar dengan masa untuk ke tempat kerja.

Racheal menjadikan pengalaman mendidik anak sebagai garis panduan mengendalikan emosi kanak-kanak. Sumber: Racheal Kwacz.

Jurulatih Pembangunan Keluarga dan Kanak-kanak, Racheal Kwacz, berkata kanak-kanak mempunyai sikap yang mudah dilentur sekiranya ibu bapa faham akan kehendak mereka.

 

“Letakkan keadaan kita dalam keadaan mereka dan cuba fahami apa yang mereka mahu. Walaupun mereka itu masih kecil dan sering dianggap tidak mempunyai pandangan sendiri, mereka sebenarnya ada perasaan seperti orang dewasa juga.

“Oleh itu, jangan memandang remeh apabila mereka menangis pada waktu pagi kerana kanak-kanak tidak akan menangis tanpa sebab,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru.

Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang pembangunan keluarga dan kanak-kanak, menjadikan pengalamannya sebagai ibu untuk membentuk garis panduan bagi mendidik kanak-kanak.

Ibu kepada anak perempuan berusia empat tahun itu berkata, seperti orang dewasa yang mahu dihormati, kanak-kanak juga mempunyai kehendak yang sama, mahu difahami dan dihargai oleh orang dewasa terutama ibu bapa mereka.

Kanak-kanak tidak akan meragam tanpa sebab – gambar hiasan. Sumber: iluminasi.com

“Walaupun masih kecil, mereka berhak untuk dihormati dan dilayan sebaik mungkin. Jangan ingat mereka kecil, kita boleh melayan mereka begitu sahaja.

“Sebagai contoh, kenapa ada anak yang menangis bila didudukkan di atas kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kereta? Berkemungkinan besar, mereka tidak selesa, jadi tanya mereka dengan baik apa yang mereka mahu sebenarnya,” katanya.

Jangan abaikan apabila anak meraung di tempat awam – gambar hiasan. Sumber: hmetro.com

Dalam hubungan ini, Racheal berkata, ibu bapa disarankan supaya tidak mengabaikan apa sahaja perkataan yang keluar daripada mulut anak kerana si kecil biasanya bercakap telus dan tidak pandai menipu.

Katanya, sikap jujur kanak-kanak itu sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh ibu bapa kerana dengan menunjukkan sikap bahawa anda mengambil berat setiap kata-kata mereka, si kecil mungkin akan lebih bertolak ansur.

“Jika mereka berkata tidak, tanya dan selidik kenapa mereka kata begitu. Mungkin pada orang dewasa, alasan diberikan si kecil adalah remeh-temeh, tapi perlu diberi perhatian.

“Begitu juga apabila mereka tidak mahu menggosok gigi ketika hendak ke sekolah, tanya mereka kenapa dan ibu bapa boleh terangkan kebaikannya jika si kecil rajin menggosok gigi,” katanya.

Kesimpulannya, sebagai ibu bapa elakkan memandang remeh perlakuan anak kerana setiap perlakuan ditunjukkan, pasti ada sebabnya.

Ibu bapa yang peka, pasti anak akan mendengar kata