{
}

Anak kerap sakit? Ini punca utamanya


Sistem imunisasi yang lemah adalah punca si kecil lambat pulih daripada masalah kesihatannya. Walaupun sudah diberikan ubat sakitnya tidak juga berkurangan. 

Suatu ketika dulu situasi sebegini kerap dilalui ibu bernama, Ainini Zainal sehinggakan beliau tertanya-tanya apa yang tidak kena pada anaknya apabila kerap jatuh sakit dan lambat sembuh! 

Sehingga akhirnya Ainini kembali berpegang pada pesanan Rasulullah SAW agar menjaga dan mengamalkan pemakanan sihat. Sebab itulah, makanan jejari untuk anaknya pun dihasilkan sendiri Ainini. Sejak itu, banyak perubahan ketara berlaku pada anaknya.

Foto: ainini zainal

Ainini merupakan Home Educator/suri rumah sejak 2010. Banyak menulis mengenai makanan dan resipi sihat pada entri Facebook, Pengasas Oven Nini ini juga sering berkongsi penyediaan makanan sihat yang dihasilkan sendiri sebagai inspirasi untuk golongan ibu. 

Ikuti pengalaman beliau mendepani masalah anak kerap sakit menerusi perkongsian coretan di bawah.

Mengapa anak kerap sakit, baru pulih, sakit kembali?

Anak kerap sakit, lambat sembuh, baru sembuh anak kembali sakit. Ini juga berlaku empat hingga lima tahun lalu kepada Afi yang kini usianya sudah tujuh tahun.

Alhamdulillah, bila mengamalkan pemakanan sihat dan membuang semua yang tidak sepatutnya ada dalam senarai diet seharian, banyak benda baharu saya belajar. Paling ketara, sistem imun badan jadi semakin baik. 

Apa kaitan sistem imun badan dengan pemakanan? Banyak kaitannya.

Sebenarnya, jika kita sudah faham semua ini, kita akan teringat pada pesan Rasulullah untuk menjaga apa yang masuk ke dalam perut

Pesanan baginda Rasulullah SAW  bahawa kebanyakan penyakit berpunca daripada perut.

Bila sebut perut, apa yang sepatutnya terlintas dalam fikiran kita adalah ‘bagaimana pemakanan seharian kita’ dan ‘bagaimana pemakanan anak kita?

Jika kita membuat carian menerusi Google menggunakan kata kunci  “kids food”, maka berderetlah seleksi foto boleh didapati:

+ gula-gula
+ coklat
+ jajan
+ sosej, nugget
+ kek, manisan, aiskrim
+ makanan segera
+ burger
+ lolipop, bijirin sarapan yang kononnya sihat (sangat)

Foto: Business Insider

Betapa semua itu sinonim dengan kanak-kanak.

Saya antara ibu yang tidak menjaga pemakanan anak satu ketika dulu. Selepas genap dua tahun menyusu badan (saya masih teruskan hingga usianya tiga tahun sembilan  bulan), sistem imun badannya jatuh merudum setelah pengambilan sesuatu dalam dietnya.

Ketika genap dua tahun, saya berikannya susu coklat kotak tinggi pengawet, gula, aditif, pewarna/perasa tiruan atas dasar ingin memberikannya kalsium.

Sedangkan realitinya, kanak-kanak dua tahun ke atas sudah tidak memerlukan susu lagi sebagai sumber kalsium kerana semua itu boleh didapati dalam makanan harian berkhasiat seperti nasi, sayuran hijau (kaya kalsium), ayam, daging, ikan, telur dan buah-buahan.

Hasilnya, selang dua minggu dia demam. Batuk selesema berminggu baru sembuh. Bila demam, suhu tinggi bukan main.

Sangat kerap sakit! 

Jadi pesan saya kepada ibu-ibu, jangan terperdaya dengan iklan yang cuba mempengaruhi anda dengan fakta-fakta sokongan yang tidak berasas! Sebaiknya sebagai ibu, lakukan sedikit usaha untuk menyediakan hidangan yang berkhasiat untuk si kecil dan seisi keluarga!

Foto: Republika

 

Sumber: Mingguan Wanita