{
}

Asap rokok tertier: Apa yang anda perlu tahu


Oleh Muhammad Amnan Hibrahim

Merokok adalah tabiat bersifat peribadi, namun sama ada disedari atau tidak kesan mahupun natijah merokok turut dialami individu sekeliling perokok atau disebut sebagai perokok pasif.

Perokok pasif adalah individu yang menghidu asap rokok yang dihembus oleh perokok yag berdekatan dengan mereka. Perkara berkenaan dengan bahaya perokok pasif sudah lama dibincangkan dalam kalangan rakyat Malaysia terutama melalui siaran media massa.

Lazimnya, umum mengetahui bahawa gejala perokok pasif itu hanya berlaku pada individu yang secara langsung menghidu asap rokok berkenaan, namun pakar perubatan mendapati bahaya asap rokok kepada orang di sekelilingnya tidak terhenti di situ sahaja.

Berbeza dengan perokok pasif, individu yang berisiko untuk mendapat kesan daripada asap rokok tertier ini menerimanya secara tidak langsung.

Asap rokok tertier adalah sisa bahan kimia serta asap rokok yang tertinggal di kawasan sekitar di mana seseorang perokok itu merokok. Sisa rokok ini boleh berada di baju, sofa, karpet, dinding dan apa-apa sahaja permukaan yang terletak di kawasan tertutup seperti kawasan di dalam rumah mahupun kereta.

Kesan dan impak kesihatan yang diakibatkan oleh asap rokok tertier itu boleh menimpa individu melalui sentuhan terus terhadap permukaan yang tercemar dengan asap berkenaan.

Foto: Science Media Centre

Dengan lebih kurang 5,000 bahan kimia yang mana majoritinya adalah bersifat toksik, asap rokok sekunder ini turut hadir dalam bentuk gas, sekali gus membolehkan kesan asap berkenaan turut dirasai oleh individu yang menghidu sisa asap berkenaan.

Tambahan pula, pengkaji menemukan bahawa bahan-bahan tercemar turut ditemukan pada debu-debu yang berada di kawasan di mana seseorang itu merokok.

Punca kepada penghasilan sel kanser

Satu kajian  yang dilakukan pada 2010 menunjukkan bahawa asap rokok tertier memainkan peranan penting dalam pembentukan karsinogen, iaitu penghasilan kimia yang menyebabkan pembentukan sel kanser di dalam tubuh seseorang. 

Karsinogen boleh terhasil melalui gabungan di antara gas nikotin yang terdapat di dalam asap rokok dan juga asid nitrus yang juga merupakan komponen utama di dalam udara. Dengan kitaran hayat gas nikotin yang boleh bertahan selama beberapa minggu, penghasilan karsinogen akan terus berlaku sepanjang tempoh berkenaan.

Pengkaji juga berpendapat kajian terhadap kesan asap rokok tertier terhadap risiko kanser semakin mendapat perhatian kerana semakin banyak penyakit kanser paru-paru dikesan berlaku bukan diakibatkan oleh aktiviti merokok dan juga perokok pasif.

Kanak-kanak lebih berisiko tinggi

Foto: Lifealth

Kanak dan bayi merupakan golongan yang paling berisiko untuk menerima kesan daripada asap rokok tertier yang berada di rumah mahupun kereta. 

Hal ini kerana sifat kanak-kanak itu sendiri yang merangkak dan juga bermain di kawasan yang tercemar  dengan debu daripada asap rokok, kemungkinan di rumah.

Tambahan pula, kanak-kanak dan bayi cenderung untuk memasukkan tangan mereka ke dalam mulut, sekali gus memudahkan lagi asap berkenaan untuk menyusup masuk ke dalam tubuh mereka lalu menyebabkan berlakunya pelbagai penyakit.

Antara penyakit yang akan dihidapi oleh kanak-kanak mahupun bayi yang terdedah kepada asap rokok tertier adalah asma, pneumonia, jangkitan kuman pada telinga, masalah pernafasan dan juga mudah jatuh sakit.

Cara untuk mengelakkan bahaya asap rokok

Secara mudahnya, cara untuk menghindari bahaya asap rokok tertier ini adalah dengan berhenti merokok. Hal ini kerana asap rokok tertier merupakan sejenis bahan yang sukar untuk dikesan secara fizikal.

Tambahan pula, asap jenis ini turut memiliki kitaran hidup yang lama. Kajian yang dilakukan di rumah seorang bekas penghisap rokok menunjukkan asap rokok tertier berkenaan bertahan selama lebih kurang enam bulan selepas penghuni rumah itu berhenti merokok.

Justeru, adalah amat sukar untuk sesebuah rumah mahupun kereta dibersihkan daripada pencemaran asap rokok sekunder berkenaan, namun Healthline telah menyarankan beberapa langkah yang perlu diambil di dalam usaha untuk mengatasi kewujudan asap rokok tertier di rumah:

Foto: DeepClean716
  • Basuh kesemua baju, cadar dan sarung bantal
  • Basuh kesemua permukaan lantai dan dinding rumah
  • Hantar karpet rumah anda ke pencuci karpet profesional.
  • Basuh kesemua kain yang berada di rumah anda termasuk perabot.

Bagi individu yang merokok, pastikan mereka tidak merokok di dalam kawasan rumah mahupun kereta. Di samping itu, perokok juga perlu kerap membersihkan diri dan juga pakaian dalam kehidupan seharian supaya mereka dapat meminimumkan penyebaran asap rokok tertier di dalam rumah mahupun kereta.