Orang perempuan kalau sudah menjejakkan kaki ke dalam farmasi atau stor kecantikan, paling-paling sekejap pun mesti setengah jam.

Tidak perlu cakap mengenai orang lain, penulis sendiri boleh habiskan masa yang lama di dalam farmasi atau stor kecantikan walhal tidak membeli apa sangat pun. Tetapi sudah jadi tabiat suka membelek produk penjagaan wajah dan kesihatan, selain mencuba barangan solekan yang baharu di pasaran.

Ibaratnya keluar saja daripada stor yang dikunjungi terus bertukar cantik!

Akan tetapi selepas membaca sebuah artikel, penulis menyarankan wanita yang mempunyai tabiat sama dengan penulis supaya menghentikan perbuatan mencuba alat solek di stor kecantikan atau farmasi.

Hal ini kerana, terdapat kes wanita terkena jangkitan herpes mulut selepas menggunakan produk penguji (tester) yang dikhususkan untuk pelanggan mencuba.

Foto: Nykaa

Menurut seorang ahli mikrobiologi di Universiti Aston, Birmingham, Dr Amreen Bashir, wanita boleh dijangkiti virus herpes hanya daripada gincu yang digunakan untuk pelanggan mencuba.

“Ramai wanita tidak sanggup berkongsi berus gigi dengan orang lain, tetapi mereka sanggup berkongsi produk penguji sedangkan risiko terkena jangkitan bakteria dan virus herpes daripada produk penguji  amat besar.

“Lebih-lebih lagi, setiap individu mempunyai organisma hidup yang berbeza. Satu makeup tester boleh jadi digunakan lebih 30 hingga 40 orang yang mungkin ada antaranya menyebarkan virus tertentu!” katanya.

Herpes, penyakit apakah itu?

Herpes ialah sejenis jangkitan virus yang boleh menghasilkan nanah pada kulit. Jangkitan itu disebar melalui sentuhan kulit ke kulit, bercium atau melakukan hubungan seks.

Individu yang menghidap jangkitan herpes boleh menyebarkan virus ini melalui tuala, cawan, pemotong kuku dan juga gincu.

Sementara itu, Profesor Perubatan di University of Washington Center for AIDS and STD, Dr Hunter Handsfield, berkata jika individu yang dijangkiti herpes menyentuh atau memakai sesuatu (contohnya gincu), maka individu kedua yang mencuba dan menyentuh objek terbabit boleh terkena jangkitan.

Foto: Allure

California mencatat kes wanita dijangkiti herpes daripada gincu

Oktober lalu, seorang wanita bernama Elena Davoyan telah menyaman Sephora kerana dia dikatakan terkena herpes selepas mencuba gincu di kedai  berkenaan.

Elena mengaku dia tidak pernah mengalami herpes sebelum ini, namun selepas mencuba satu gincu yang dijadikan penguji di Sephora Los Angeles, dia terus didapati menghidap herpes.

Walaupun kes jangkitan herpes daripada gincu jarang berlaku, virus itu tetap aktif terutama pada kawasan yang lembap.

Ahli dermatologi di Hospital Mount Elizabeth Novena, Dr Eileen Tan, berkata virus yang tertinggal dalam mekap boleh berjangkit kepada individu yang lemah.

“Selain jangkitan herpes simpleks, bakteria lain seperti Salmonella dan E Coli juga boleh tersebar melalui gincu,” katanya.

Cara mencegah jangkitan herpes 

Foto: Twitter

Untuk mencegah jangkitan ini, Dr Tan menyarankan semua wanita untuk mengikut 5 langkah berikut:

  • Jangan cuba uji mana-mana penguji mekap terus ke tubuh badan, sebaliknya disarankan mencubanya di atas tisu.
  • Minta sampel untuk individu, contohnya mungkin gincu ukuran mini yang boleh dibawa balik.
  • Jika tiada sampel untuk individu, bersihkan sampel mekap terbabit dengan tisu basah sebelum mencubanya.
  • Jangan terus cuba mekap di kawasan yang berhampiran mata, mulut atau hidung.
  • Jangan pakai sampel mekap di kawasan kulit yang ada luka.

Rasanya sudah jelaskan risiko mencuba alat solek di kedai mekap atau farmasi. Elakkan menjadi mangsa herpes, dengan mematuhi panduan yang diberi!