Ramadan bakal menjengah tiba, pasti ada antara kita sudah mula membuat persiapan sedikit demi sedikit agar tidak terkejar-kejar terutama dalam menyediakan persalinan yang bakal digayakan pada Aidilfitri kelak.

Seperti kelaziman, baju kurung antara helaian wajib ada bagi setiap wanita di Malaysia, malah tidak sempurna sekiranya tidak mengenakan baju kurung pada pagi Syawal nanti.

Butik ByBintu yang terletak di Bandar Baru Bangi menyediakan pelbagai baju kurung dengan identiti sendiri yang direka bagi memenuhi pelbagai cita rasa masyarakat kota.

Bintu Rasyada (kiri) bersama pelanggan yang datang ke ByBintu. Foto: @bintu_rasyada

Pemilik ByBintu, Bintu Rasyada Abdul Rahman, berkata kebanyakan helaian baju kurung yang ditawarkan mempunyai keistimewaan bersifat peribadi kerana dihasilkan dalam jumlah yang sedikit.

“Kami menyediakan setiap helaian daripada fabrik terpilih dan bermutu, serta ditawarkan pada harga berpatutan.

“Saya katakan rekaan eksklusif kerana setiap potongan terhad untuk beberapa pasang sahaja dan pemakainya akan rasa selesa kerana seolah-olah dihasilkan untuk anda sahaja dan bukan orang lain,” katanya ketika ditemui di butiknya, baru-baru ini.

ByBintu mula beroperasi sejak dua tahun lalu selepas Bintu Rasyada yang sebelum ini menetap di Asia Barat, pulang ke tanah air bersama keluarga.

Beliau yang mendapat ilham daripada persalinan wanita di rantau berkenaan, menghasilkan rekaan abaya dengan suntikan tempatan.

Bagi rekaan baju kurung pula, Bintu memberi penekanan pada ciri kemasan yang indah dan halus jahitannya.

 

Abaya moden yang sesuai dipakai untuk semua acara ada ditawarkan di ByBintu. Foto: ByBintu.

Katanya, selain menawarkan persalinan wanita yang lengkap seperti tudung, abaya, blaus, seluar dan skirt, ByBintu juga ada menyediakan aksesori termasuklah koleksi pakaian untuk kanak-kanak.

“ByBintu umpama pusat fesyen sehenti di bawah satu bumbung untuk wanita yang ingin mencari persalinan dan aksesori. Mereka tidak perlu pergi banyak tempat untuk mencari keperluan diri kerana kami ada menyediakannya.

“Kini kami sudah mula menyediakan fesyen untuk praraya dan sasaran kami adalah wanita yang mahu tampil sopan dan bergaya dalam setiap langkah dengan penampilan yang anggun,” katanya.

Abaya berperincian ringkas tetap menawan untuk digayakan. Foto: ByBintu,

ByBintu juga menawarkan abaya dan jubah yang didatangkan khas dari Dubai, sesuai digayakan pada bila–bila masa mahupun keraian. Selain menjual pakaian, ByBintu juga menawarkan perkhidmatan ubah suai saiz kepada pelanggan.

Harga ditawarkan di butik itu serendah RM30 hingga RM259 bergantung pada jenis produk, manakala baju kurung kebanyakannya bermula pada harga RM100.

Pelanggan juga boleh membeli produk yang disediakan di butik itu menerusi dalam talian dengan melihat katalog yang disediakan dalam Instagram @bybintu

Potongan lurus begini buat pemakai selesa bergaya. Foto: ByBintu.