Rakyat Sarawak diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) membabitkan sambutan perayaan menjelang keraian Hari Gawai, esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pematuhan SOP berkenaan diperkenalkan Kerajaan khusus untuk musim perayaan pada tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB), di Putrajaya, hari ini. Foto: Mohd Huzaini Daud.

Katanya, sebagaimana perayaan Aidilfitri dan Pesta Keamatan sebelum ini, sambutan hanya dibenarkan pada hari pertama, selain perlu mematuhi jumlah individu yang ditetapkan berada di rumah pada satu masa.
“Bagi rakyat Sarawak yang menyambut Hari Gawai esok iaitu 1 Jun, sambutan kali ini berbeza kerana mereka perlu mematuhi SOP musim perayaan yang ditetapkan Kerajaan.

“Seperti perayaan Aidilfitri dan Pesta Keamatan baru-baru ini, sambutan perayaan Hari Gawai juga hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja dan kapasiti di dalam setiap rumah adalah tidak melebihi 20 orang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB), di Putrajaya, hari ini.

Rakyat Sarawak yang merayakan Hari Gawai tahun ini disaran mematuhi SOP bagi bengelakkan jangkitan COVID-19 – gambar hiasan. Foto: Nadim Bokhari.

Hari Gawai biasanya disambut oleh masyarakat Dayak di Sarawak pada 1 Jun setiap tahun sebagai tanda kesyukuran selepas berakhir musim menuai.

Namun begitu, sambutan Hari Gawai tahun ini dianggap berbeza kerana perlu mematuhi peraturan PKPB untuk mengelakkan jangkitan wabak yang sedang dialami seluruh dunia.

Sambutan Hari Gawai diraikan masyarakat Dayak pada 1 Jun setiap tahun – gambar hiasan. Foto: Aziah Azmee.

Ismail Sabri berkata, wabak COVID-19 banyak mengubah cara sambutan dan persiapan hari perayaan masyarakat di negara ini, namun rakyat perlu mengadaptasi norma baharu ke dalam kehidupan.

“Kita juga ingin mengingatkan kepada mereka yang menyambut Hari Gawai supaya mematuhi SOP dan keutamaan adalah ahli keluarga di dalam satu rumah, kalau ada pun mungkin jiran terdekat sebelah menyebelah.

“Sebaik-baiknya sambutan dirayakan antara sesama ahli keluarga di dalam satu rumah dan memastikan disiplin diri sentiasa diamalkan bagi membanteras pandemik COVID-19,” katanya.