Bedak sejuk mungkin tidak tersenarai langsung dalam himpunan produk kecantikan perlu ada bagi penjagaan kecantikan wanita masa kini.

Mungkin kerana ia hanyalah bedak sejuk yang diperbuat daripada rendaman beras, lantas manfaatnya mungkin tidak dipandang orang.

Proses pembuatan bedak sejuk menggunakan beras yang kemudian dititik di atas daun pisang atau kain kapas.

Beras mempunyai banyak kebaikan untuk kulit kerana air pati rendaman beras atau ragi beras mengandungi bahan dinamakan pitera yang mempunyai pelbagai khasiat terutama dalam proses pemulihan kulit.

Terdapat pelbagai jenis bedak sejuk dijual di pasaran – gambar hiasan. Foto: NSTP/Amirudin Sahib.

Beberapa produk kecantikan dari Jepun turut menggunakan air peraman beras untuk menghasilkan produk dinamakan ‘air ajaib’ yang dikatakan berupaya mengekalkan kulit wajah tegang dan lambat dimamah usia. (Saya akan letak link)

Pitera juga dikatakan mampu menjadikan kulit lebih anjal, cerah dan terhindar daripada kusam akibat radikal bebas yang ada dalam udara.

Beras adalah bahan utama dalam pembuatan bedak sejuk – gambar hiasan. Foto: Owee Ah Chun/NSTP.

Dalam kalangan masyarakat Jepun, air peraman beras itu juga digunakan untuk membuat sake, sejenis minuman yang digemari penduduk Jepun.

Oleh itu, bedak sejuk juga diyakini mempunyai kebaikan sama kerana dihasilkan daripada beras dan air, hanya dua bahan asas berkenaan sahaja.

Wanita zaman dahulu menyimpan bedak sejuk mereka di dalam bekas yang turut dimasukkan hirisan pandan, melur, kesidang, kenanga atau mawar.

Hirisan daun pandan diletakkan bersama bedak sejuk agar berbau wangi apabila digunakan – gambar hiasan. Sumber: Infosantai.com

Tujuannya ialah agar bedak sejuk berbau wangi apabila dicampur air dan dioles pada wajah ketika dipakai pada sebelah pagi atau petang.

Berdasarkan petua lama juga, wangi-wangian menjadikan aura diri lebih baik dan sentiasa bertenaga untuk menjalani kehidupan harian.

Oleh itu, kombinasi kebaikan pitera dan wangian bunga-bungaan memberi lebih kebaikan kepada pengguna bedak sejuk.

Bagaimanapun, jika penggunaan bedak sejuk menimbulkan rasa tidak selesa atau kegatalan kepada kulit, basuh muka dengan bersih dan hentikan penggunaannya kerana ia mungkin dicemari oleh habuk atau debu.