Bell’s Palsy bukan ‘penyakit’ baharu dalam kalangan wanita, namun ramai tidak mengambil tahu mengenainya kerana menganggap tidak merbahaya walaupun boleh memberi kesan buruk pada fizikal, terutama wajah.

Sama ada tua atau muda, Bell’s Palsy biasanya akan menyerang individu dalam usia 10 hingga 40 tahun dan tiada isyarat awal yang akan dialami jika individu mengalami Bell’s Palsy.

Pegawai Pemulihan Fisioterapi Hospital Taiping, Kogilavani Krishnan dalam perkongsiannya di portal MyHealth menjelaskan Bell’s Palsy adalah satu keadaan yang mana otot muka menjadi lemah disebabkan keradangan pada urat muka.

“Keradangan ini meningkat di sekitar saraf muka melalui tengkorak dari otak, boleh menekan urat saraf. Menyebabkan uraf saraf berhenti berfungsi sehingga keradangan berkurangan.

“Keadaan ini berlaku secara tiba-tiba dan biasanya di sebelah muka. Ia paling biasa berlaku antara umur 10 hingga 40 tahun dan faktor penyebabnya masih kurang jelas, mungkin disebabkan oleh jangkitan virus,” katanya.

Bell’s Palsy akan menyebabkan otot wajah terjejas dan menjadi herot atau senget – gambar hiasan. Foto kredit: Allaboutvision.com

Bell’s Palsy juga boleh menyerang lelaki atau wanita dan kesan yang akan dialami adalah sama selain tempoh masa yang diperlukan untuk pulih ialah dua hingga tiba bulan.

Dalam kebanyakan kes, Bell’s Palsy dikesan selepas bangun daripada tidur apabila mendapati sebahagian wajah tidak boleh berfungsi dengan baik dan ada juga yang akan mengalami kesakitan pada bahagian tertentu wajah.

Kogilavani berkata, sesetengah individu akan mengalami keadaan yang mana bunyi yang biasa pun akan didengar seperti satu bunyi yang amat nyaring bagi mereka yang mengalami Bell’s Palsy.

“Bagi kebanyakan orang fungsi saraf pulih secara beransur-ansur. Tanda-tanda akan mula beransur pulih kira-kira dua hingga tiga minggu dan biasanya hilang dalam masa dua bulan. Dalam beberapa kes, ia boleh mengambil masa sehingga setahun untuk pulih sepenuhnya.

“Walau bagaimanapun, sedikit kelemahan yang dialami pada bahagian muka tidak begitu ketara dan secara keseluruhannya, tiada yang tidak pulih. Ada juga kes, mereka pulih, tetapi otot muka sedikit terjejas,” katanya.

Pesakit Bell’s Palsy akan mengalami masalah sakit pada bahagian belakang telinga. Foto: NSTP.

Oleh itu, jika anda mengalami ciri-ciri berkenaan, berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut kerana doktor mungkin akan menyarankan anda melakukan tindakan segera bagi mengatasi Bells’s Palsy.

Antaranya adalah latihan fisioterapi yang akan membantu untuk menguatkan otot tertentu pada muka dan perlu dilakukan empat hingga lima kali sehari di depan cermin atau rujuk kepada ahli fisioterapi di hospital yang dikunjungi.

Berikut adalah gejala Bell’s Palsy:

1. Sebelah muka anda akan menjadi lemah dan apabila anda senyum, hanya sebelah otot muka yang berfungsi.

2. Tidak berupaya untuk mengunyah makanan. Makanan mungkin akan terperangkap di antara lelangit dengan gusi. Minuman dan air liur juga akan meleleh dari tepi mulut.

3. Mata sentiasa terbuka dan ini menyebabkan mata akan menjadi kering atau air mata akan mengalir keluar.

4. Dahi tidak dapat dikedutkan, tidak dapat meniup ataupun mengembangkan pipi.

5. Bermasalah untuk menyebut perkataan yang bermula dengan huruf P.

6. Sesetengah individu tidak menghadapi kesakitan manakala segelintir akan mengalami kesakitan di belakang telinga untuk beberapa hari.

7. Suara/ bunyi akan kedengaran seperti nyaring walaupun bunyi itu tidak terlalu nyaring.

8. Deria rasa juga akan terjejas.

Gambar atas – Foto kredit: halodoc.com