Semua orang pasti mendambakan tubuh yang sempurna. Bahkan itu menjadi hal penting di dalam beberapa bidang pekerjaan.

Antara kerjaya yang paling sinonim dengan terma Body Mass Index (BMI) atau Indeks Jisim Tubuh itu adalah pramugari dan pramugara atau biasanya dipanggil kru kabin.

BMI yang ditetapkan bagi kru adalah 18 hingga 25. Sekiranya BMI melebihi 25, itu bermakna sudah masuk dalam kategori berlebihan berat badan.

Cara kiraannya adalah seperti berikut;

Contoh: Berat badan 61.7 kilogram bahagi 1.60m x 1.60m = 24.1015625 adalah nilai B. Untuk lebih mudah bundarkan kepada 24. BMI 24 ini masih dalam kategori normal.

Bagaimanapun sesetengah syarikat penerbangan menetapkan kriteria menjadi kru kabin, ketinggian minimum adalah 160 sentimeter dan berat maksimum, 61 kilogram.

Mengapa pekerjaan ini menetapkan BMI sebagai satu kemestian, memandangkan kru kabin memainkan peranan sebagai imej syarikat, penampilan menawan dengan postur tubuh yang tinggi dan ramping, wajar dipatuhi.

Apa akan jadi sekiranya seseorang kru kabin berdepan dengan masalah BMI yang melebihi syarat sepatutnya?

Antara risikonya, syarikat penerbangan yang dinaungi boleh mengambil tindakan membekukan tugas mahupun memecat seseorang kru kabin. Biar betul!

Foto: Fly Gosh

Ekoran gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan, tular baru-baru ini, seorang pramugari Malaysia Airlines (MAS) dipecat daripada tugasnya kerana berat badan berlebihan tidak sampai satu kilogram atau lebih tepat 0.7 kilogram.

Kes ini berlaku kepada Ina Meliesa Hassim tiga tahun lalu, namun ia kembali hangat diperkatakan apabila Mahkamah Perusahaan memutuskan kemenangan berpihak kepada syarikat Sistem Penerbangan Malaysia, pada 14 Februari 2020.

Ina khabarnya membawa kes ini ke pengetahuan mahkamah pada September 2017 kerana beliau merasakan pemecatannya berlaku dengan cara tidak adil.

Ina pada ketika itu mempunyai ketinggian sebanyak 160cm dan berat yang dibenarkan MAS di bawah garis panduan dandanan dan pakaian seragam penerbangan ialah 61 kg, tidak lebih daripada itu. Namun begiu angka akhir sewaktu beliau menimbang berat pada 10 April 2017 adalah 61.7kg.

Kalau ikutkan BMI, berat badan ini masih dalam kategori berat badan ideal atau normal. Hasilnya, setelah bertungkus lumus untuk MAS selama 25 tahun, beliau akhirnya dipecat kerana berat badan yang berlebihan iaitu 0.7kg.

Foto: Reuters

Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Syed Noh Said Nazir, menjelaskan bahawa MAS telah membuktikan keputusan untuk menamatkan Ina adalah ‘adil’. Malah syarikat penerbangan itu sudah memberi ‘peluang yang mencukupi’ untuk beliau mematuhi keperluan berat badan iaitu selama 18 bulan bagi memenuhi keperluan berat badan syarikat.

Mahkamah juga memutuskan bahawa ‘sebab dan kenapa’ syarikat penerbangan itu melaksanakan dasar berat badan adalah wajar.

Dalam notis pekeliling bertarikh 20 Oktober 2015, MAS menyatakan, Sebagai kru kabin, selain mengekalkan penampilan seperti yang ditetapkan oleh syarikat, anda juga bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan penumpang kami semasa dalam penerbangan.

MAS menambah bahawa keperluan berat badan adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk mengekalkan imej syarikat penerbangan premium.

Namun keputusan itu mendapat bantahan Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Penerbangan Malaysia (Nufam) telah menyuarakan kekecewaannya dengan keputusan mahkamah.

Nufam menggesa kerajaan Malaysia untuk meminda undang-undang buruh yang nyata telah menekan para pekerja dan mereka akan menghantar surat protes kepada Kementerian Sumber Manusia dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagi menimbang semula pemecatan Ina.

Dalam satu kenyataan pada 19 Februari lalu, Nufam berkata bahawa keputusan itu tidak berperikemanusian, menurut Free Malaysia Today (FMT), kerana ia menunjukkan bahawa MAS mengamalkan satu sistem yang diskriminasi dan tidak adil.