Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 Jun ini memberi kelonggaran hanya kepada ahli keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama untuk berkumpul meraikan Aidilfitri dengan maksimum 20 orang dalam satu-satu masa.

Oleh itu, tidak mustahil ramai yang membuat perancangan untuk berhari raya berama adik-beradik atau ibu bapa yang tinggal berdekatan, namun tidak bagi mereka yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri.

Bagimanapun, perlu diingat dalam kegembiraan meraikan Aidilfitri, teruskan budaya norma baharu demi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Seronok apabila bersua sanak saudara pada hari perayaan, namun jangan lupa amalkan norma baharu – gambar hiasan. Foto: NSTP/Owee Ah Chun

Pastikan juga kebersihan diri dan sanak saudara terdekat terutama golongan berisiko seperti warga tua serta anak kecil tidak diabaikan.

Seperkara lagi yang wajar diberikan penekanan adalah apabila ada anak kecil dalam pertemuan kekeluargaan yang anda rancang itu.

Meskipun berkumpul di rumah saudara sendiri, pastikan si kecil tidak buat perangai seperti merayau atau berjalan sekeliling rumah kerana selain memastikan kebersihan dan keselamatan si kecil, barang atau perhiasan di rumah berkenaan juga tidak terusik atau beralih tempat.

Si kecil akan  mendengar kata sekiranya dididik sejak awal – gambar hiasan. Foto: NSTP/Eizairi Shamsudin.

Maklum sahajalah, si kecil biasanya mempunyai sifat atau naluri ingin tahu yang tinggi terhadap sesuatu benda yang dilihat, mahu dipegang atau tidak mustahil digigit kerana menyangkakan benda berkenaan adalah permainan.

Hijab & Heels berkongsi tiga panduan mudah memastikan si kecil anda tidak membuat kejutan yang mendebarkan pada pertemuan kekeluargaan yang sewajarnya berlangsung dengan aman dan terkawal.

1. Jika ahli keluarga atau adik-beradik mengajak anda menjamu selera juadah hari raya, pastikan ada seseorang ditugaskan mengawal gerak geri si kecil supaya dia tidak menyentuh perhiasan rumah yang mungkin membahayakan dirinya. Boleh juga bergilir dengan pasangan anda.

2. Jika si kecil sudah pandai bercakap dan memahami apa yang anda maksudkan, ajak dia makan bersama dengan anda. Ajarkan dia tatacara di meja makan.

3. Jika ada anak buah sebaya si kecil anda di perjumpaan berkenaan, biarkan mereka bermain bersama-sama kerana pada ketika itulah si kecil berpeluang mengasah kemahiran sosialnya.

Jangan abaikan keselamatan si kecil anda walaupun seronok berhariraya – gambar hiasan. Foto: NSTP/Faiz Anuar.

Tiga panduan mudah itu diharap dapat menjadikan Aidilfitri anda lebih meriah dan bermakna serta pada masa sama, patuhi PKPB dan ikuti prosedur operasi standard (SOP) digariskan Kerajaan supaya semua dalam keadaan selamat