Terlalu lama meluangkan masa dengan pasangan di rumah boleh mencetuskan pergaduhan kecil antara pasangan, terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Di China, misalnya, beberapa saluran media di negara itu melaporkan peningkatan kadar perceraian di beberapa negeri sejurus Perintah Berkurung dihentikan.

Portal berita China, SupChina, melaporkan sumber daripada pejabat pendaftaran di bandar Xi’an berkata sejak pejabat itu dibuka 1 Mac lalu, pihaknya menerima pelbagai permohonan untuk bercerai.

Agensi berita Global Times pula melaporkan di beberapa bandar lain di China turut menyaksikan peningkatan kadar permohonan perceraian, malah ada antaranya mencatat rekod jumlah permohonan yang terlalu tinggi sehingga mungkin mengambil masa sebulan untuk diproses.

Antara faktor yang dikenal pasti menjadi punca pada pergolakan suami isteri itu adalah masa terlalu lama yang diluangkan bersama-sama menyebabkan timbul pertelingkahan mengenai isu yang mungkin sudah lama wujud dalam keluarga berkenaan.

Perunding Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad. (Gambar NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN)

Perunding Motivasi Keluarga daripada Smart Parenting Coach Malaysia, Zaid Mohamad, dalam perkongsian menerusi akaun Facebooknya berkata kepenatan, tekanan dan kebosanan dikenal pasti antara punca pertelingkahan suami isteri apabila terlalu lama meluangkan masa bersama-sama di rumah.

Katanya, kegagalan pasangan untuk memanfaatkan masa dengan melakukan aktiviti berfaedah sepanjang tempoh berkurung juga antara faktor yangmenyebabkan perselisihan faham dan pergaduhan.

“Dalam keadaan sekarang, amat mudah untuk konflik berlaku kerana virus kasih sayang 2020 (VIKAS 20) boleh menjangkiti mana-mana pasangan, malah mungkin juga anak-anak.

“Penat, tertekan dan kebosanan, boleh membuatkan kita menyebarkan VIKAS-20 ini kerana hati sakit, perasaan terluka, virus merebak lalu menjadikan rumahtangga koyak (bermasalah),” katanya yang pernah menulis beberapa buku keibubapaan antaranya Smart Parents, Brighter Kids dan Smart Parents, Richer Kids.

Beliau yang memperoleh sijil kejurulatihan daripada Coach-Parenting di Amerika Syarikat mencadangkan beberapa langkah pencegahan bagi mengelakkan masalah yang timbul dalam hubungan itu daripada berpanjangan.

Berikut dikongsikan cadangan langkah pencegahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan supaya VIKAS-20 tidak merosakkan kebahagiaan keluarga:

1. Lebihkan tolak-ansur

Jangan minta kesempurnaan daripada pasangan dan anak-anak sepanjang tempoh ini. Terima seadanya kekurangan dan kelebihan mereka.

2. Tegur boleh, tetapi jangan maki, perli atau beremosi

Setiap pasangan digalakkan untuk berhemah dan bersopan dalam membuat teguran. Elakkan memaki, memerli atau bercakap dalam nada beremosi yang mungkin boleh mengeruhkan keadaan. Belajar untuk menerima teguran.

3. Saling bantu membantu

Ibu bapa boleh menyediakan aktiviti bersesuaian untuk anak-anak termasuk tugasan membantu kerja rumah (Gambar hiasan/AFP/CHARLY TRIBALLEAU)

Sepanjang tempoh PKP, setiap ahli keluarga perlu membantu kerja rumah seperti mengemas rumah, membasuh pinggan, membasuh baju, mengemas bilik atau mengemas katil. Jangan bagi ruang perasaan tidak puas hati dalam pasangan anda kerana ia hanya akan menyebabkan kemarahan dan bebelan yang akhirnya mencetuskan pergaduhan.

4. Suami perlu memainkan peranan sebagai ketua keluarga

Suami digalakkan untuk mengadakan mesyuarat keluarga bagi membincangkan peranan, peraturan dan jangkaan sepanjang tempoh PKP.

5. Ibu bapa bersedia hadapi kerenah anak

Ibu bapa perlu bersedia secara mental dan fizikal bagi menghadapi kerenah anak-anak yang terkurung kerana mungkin si kecil terlebih tenaga apabila aktiviti luar terbantut.

6. Anak perlu bantu

Anak-anak amat digalakkan untuk sentiasa menghulurkan bantuan. Jika tidak boleh berkemas, jangan menyepahkan rumah. Ini rumah anda juga, justeru jangan pentingkan diri. Tanya ibu atau bapa, “Apa saya boleh tolong?”

Sekiranya semua pihak memainkan peranan, kekangan sepanjang PKP boleh menjadi kenangan indah sekeluarga.

Gambar utama: Kredit REUTERS