Colours of Unity yang membawa maksud warna perpaduan, adalah satu koleksi sarat dengan pengertian patriotisme!

Diilhamkan oleh pereka fesyen terkenal tempatan, Fairuz Ramdan, ia terhasil dari ketulusan hati dalam mengekspresikan kecintaan terhadap negara.

Terinspirasi daripada warna-warna Jalur Gemilang iaitu merah, biru dan putih sebagai paduan warna utama, manakala kuning pelengkap kepada proses perincian, koleksi di bawah jenama ready-to-wear FR Blue Label itu mengangkat seni batik ikat celup.

Secara ringkas mengenai batik, ia berasal daripada perkataan Jawa iaitu amba yang bermaksud menulis dan ‘nitik’ yang bermakna membuat titik.

Batik merujuk kepada fabrik yang mempunyai corak yang terang dan menarik. Batik terdapat dalam pelbagai jenis, antaranya ialah batik tulis, batik skrin, batik celup dan batik terap, di mana ikat celup yang dimulakan dengan proses ikatan (mengikat) dan warna (mewarna) tergolong dalam seni batik celup.

Aplikasi teknik batik ini dipilih untuk meraikan kemerdekaan Malaysia yang ke 62 yang disambut pada tanggal 31 Ogos yang lalu, bertujuan untuk mendidik dan menggalakkan generasi muda masa kini akan pentingnya warisan dan budaya negara melalui fesyen.

Turut selaras dengan sambutan Hari Malaysia tidak lama lagi, Colours of Unity juga dianggap satu koleksi yang unik untuk menzahirkan semangat patriotik di kalangan mereka selain cukup trendy untuk digayakan.

Mengapa batik ikat celup jadi pilihan FR Blue Label?

“Pada peringkat permulaan, sejak lebih lima tahun penglibatan PR Blue Label dalam industri fesyen, saya beberapa kali cuba mengenengahkan rekaan baju batik. Malah pada 2004, saya pernah melakukan pameran baju batik yang juga merupakan rekaan pertama PR untuk wanita di Paris dan ianya satu pertunjukkan yang berjaya.

“Tetapi apabila pulang ke Malaysia, ianya tidak mendapat sambutan. Tahun demi tahun kami mencuba, namun masyarakat terutama generasi muda masih sukar untuk memahaminya.

“Ramai bertanggapan bahawasanya batik hanya untuk golongan dewasa dan korporat, situasi ini mencetuskan idea kepada saya untuk mencipta rekaan yang paling asas iaitu ikat celup di mana generasi muda boleh menghargainya,” kata Fairuz.

Foto: FR Blue Label

Bagi yang mengikuti perkembangan jenama ini, teknik batik ikat celup amat bertepatan dengan jenama FR Blue Label yang sentiasa menghadirkan gaya esentrik, loud, bold dan outstanding.

Foto: FR Blue Label

Sebagai pereka busana yang peka dengan perubahan lanskap fesyen yang pantas, batik ikat celup dikira paling tepat untuk digarap sebagai koleksi bila melihatkan trend batik ini diperkenalkan kepada masyarakat khususnya golongan muda yang lebih segar dan urban.

Foto: FR Blue Label

Lebih menarik, setiap helaian koleksi ‘Colours of Unity’ memperlihatkan hasil kerja batik yang sebenar. Setiap helaian yang dibuat menuruti proses ikatan dan warna yang sangat teliti.

Sememangnya koleksi Colours of Unity ini sangat teliti dan rapi, dibuat dengan kerja tangan sepenuhnya dan bukan hasil cetakan digital atau mesin. Ini menambahkan lagi nilai estetika yang tinggi kepada si pemakai.

“Kalau anda dapat lihat, setiap helaian kami mempunyai corak yang berlainan meskipun proses mengikat dan menawarkannya mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan. Ini kerana ia adalah 100 peratus buatan tangan.

“Dalam sehari kami hanya mampu menyiapkan 20 helai baju sahaja dan produksi untuk ke semua koleksi Colours of Unity lebih 1,000 helai,” kata Fairuz.

Mula berada di pasaran pada 28 Ogos 2019 yang lalu, koleksi ini boleh didapati menerusi laman sosial dan sesawang butik Fairuz Ramdan, bermula dengan harga RM95.00 sahaja.

Mengenai Fairuz Ramdan

Foto: Fairuz Ramdan

Sejak kecil pereka fesyen kelahiran Scotland ini memiliki bakat dalam aplikasi jahitan dan rekaan. Berpindah pulang ke Malaysia pada usia 14 tahun, minatnya terhadap seni jahitan dan rekaan mula terserlah apabila diminta rakannya untuk mengolah pakaian ketika dibangku sekolah. Seterusnya dia melanjutkan pengajian dalam bidang fesyen di Universiti Teknologi Mara untuk mengembangkan lagi bakatnya.

Pada November 2011, buat julung kalinya dia mengorak langkah dengan memperkenalkan rangkaian koleksi jenama Fairuz
Ramdan di Malaysia International Fashion Week (MIFA 2011). Terkini dia memiliki tujuh buah butik di seluruh negara selain sering berkolaborasi dengan pihak lain untuk pelbagai kempen serta promosi selain menjadi pereka pilihan bagi para selebriti tanah air.

Bintangnya semakin bersinar apabila dianugerahkan Mercedes Benz Stylo 2013 Promising Designer of the Industry, seterusnya juga telah memenangi beberapa anugerah tempatan dan antarabangsa yang lain. Malah hingga ke hari ini, budaya fesyen urban dan
klasiknya terus menjadi kegilaan para peminat dan penggaya fesyen tempatan.