Dinikahkan saudara kandung gay? Ini penjelasan pernikahan tidak sah kalau...


Antara syarat sah seorang wali bagi pernikahan adalah lelaki, baligh, adil, waras (tidak gila) dan yang paling penting ialah lelaki yang menjadi wali kepada pengantin perempuan itu mestilah seorang Islam.

Dalam hubungan ini, timbul persoalan jika lelaki yang menjadi wali kepada pernikahan adik perempuannya itu seorang homoseksual. Adakah sah pernikahan wanita berkenaan jika wali yang menikahkannya saudara kandung yang masih mengamalkan homoseksual?

Realitinya, pasti agak sukar bagi saudara kandung lelaki itu untuk mendedahkan bahawasanya dirinya seorang gay dan menolak permintaan menikahkan saudara kandung perempuannya, tambahan pula sudah kematian bapa kandung.

Daripada pecah tembelang, tidak mustahil ada yang memilih untuk merahsiakan 'orientasi seksual' mereka, tanpa disedari sikap tidak telus itu memberi implikasi yang besar pada perkahwinan saudara kandung perempuan tadi apabila status pernikahan tidak sah.

Gambar hiasan: Remaja

Bagi merungkai persoalan itu, Hijab & Heels cuba mendapatkan penjelasan daripada golongan ilmuan seperti Ustaz Don, Ustaz Ebit Lew dan PU Azman, namun usaha menghubungi mereka gagal mungkin terikat dengan majlis ceramah atau urusan di luar kota.

Begitu pun, perkongsian video ceramah kendalian Ustaz Azhar Idrus yang dimuat naik dalam laman YouTube bertarikh 11 November 2018, mungkin sedikit sebanyak dapat menjawab persoalan yang meragukan penulis juga buat mereka yang ingin mengetahui perkara sama.

Sumber: YouTube

Menerusi video ceramah Ustaz Azhar Idrus itu ada dinyatakan, hukum seorang wali fasiq menikahkan anak perempuannya.

Dalam kenyataan Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga, ada membincang topik sama yakni wali fasiq.

Perkongsian ilmu melalui kedua-dua platform ini (majlis ceramah Ustaz Azhar Idrus dan Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan),

Apakah maksud wali fasiq?

Wali fasiq ialah wali yang tidak adil. Maksud adil ialah tidak melakukan dosa besar, tidak mengekalkan dosa kecil dan tidak mencemarkan maruah diri, seperti kencing di jalanan, berjalan tanpa kasut dan seumpamanya.

Wali yang fasiq, iaitu tidak adil tidak boleh mengahwinkan perempuan yang beriman, bahkan hak perwalian berpindah kepada wali adil yang seterusnya mengikut urutan. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 2/558)

Hal ini berdasarkan hadis, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيٍّ مُرْشِدٌ

Maksudnya: “Tidak sah nikah melainkan oleh wali yang mursyid.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (14021)

Imam al-Syafie Rahimahullah berkata: Maksud mursyid dalam hadis terbabit adalah adil. Hal ini adalah kerana fasiq merupakan kekurangan yang merosakkan persaksian dan ia menghalang perwalian dalam perkahwinan.

Begitu juga sebuah hadis yang merupakan dalil dalam menjadikan wali sebagai syarat sah bagi nikah berdasarkan sabda Rasulullah SAW :

لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ وَلَا بِشَاهِدَي عَدْلٍ

Maksudnya: Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali dan juga dua orang saksi.

Riwayat al-Tirmizi (1102)

Mazhab al-Imam al-Syafie dan selainnya berpendapat bahawa penafian yang terdapat di dalam hadis itu merupakan penafian terhadap kesahihan nikah, justeru tanpa adanya wali mursyid ia membawa kepada implikasi tidak sahnya sesebuah pernikahan.

Ini kerana kewalian amat berhajat kepada pengamatan dan mentaqdirkan maslahat, justeru tidak layak seorang wali fasiq untuk mewalikan perempuan sama seperti kewalian harta. Ketetapan itu menjadi pegangan mazhab Syafi’e dan Hanbali. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 9/6701-6702)

Pendapat lain menyatakan bahawa adil tidak menjadi syarat dalam perkahwinan. Hal ini kerana kelayakan menjadi wali adalah berdasarkan kepada pertalian waris yang menimbulkan perasaan kasih sayang untuk kebaikan orang di bawah jagaannya sama ada dia bersifat adil atau sebaliknya.

Hal ini kerana meletakkan syarat adil kepada wali menyebabkan berlakunya kesulitan yang besar disebabkan orang yang adil sedikit sahaja bilangannya, lebih-lebih lagi pada masa ini. Pada zaman mana-mana sekalipun, tidak pula diketahui ada orang fasiq yang dilarang mengahwinkan anak-anak perempuan mereka. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 2/562).

Tidak hairanlah dalam kebanyakan majlis pernikahan, Penolong Pendaftar Bahagian Perkahwinan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri menyarankan upacara akad nikah dimulakan dengan bersama-sama bersyahadah dan beristighfar.

Begitu juga berlaku pengulangan istighfar dan taubat beberapa kali sebelum majlis akad nikah, selain ceremah ringkas diberikan untuk memberi nasihat agar wali sentiasa bertaubat dan beristighfar.

Hal ini kerana pada zaman sekarang, adalah sukar untuk mencari orang yang tidak fasiq mengikut nilaian fasiq pada zaman dahulu. Oleh itu, sekiranya wali itu merupakan wali mujbir, maka hendaklah diminta untuk bertaubat terlebih dahulu sebelum berlangsungnya majlis akad atau mereka boleh wakilkan kepada imam atau jurunikah.

Berdasarkan penerangan berkenaan termasuk yang dinyatakan dalam video ceramah Ustaz Azhar Idrus, boleh disimpulkan bahawa sebaik-baiknya wali fasiq ini benar-benar bertaubat dan tidak mengulangi perbuatannya sebelum akad nikah dilaksanakan.

Berbalik pada isu dinikahkan saudara kandung berstatus gay, amalan gaya hidup homoseksual tergolong dalam golongan fasiq, justeru  syarat yang membolehkan mereka menikahkan saudara kandung perempuan apabila sudah bertaubat dan tidak lagi mengulangi kesilapan lampau.

Penyelesaian terbaik, jika seseorang itu meragui kemampuan untuk menjadi wali atau menikahkah saudara kandungnya, sebaik-baiknya gunakan khidmat wali hakim. Wallahualam!