{
}

Elak sumbang mahram! Fahami batas aurat dalam keluarga


Kisah yang tidak enak dibaca seperti sumbang mahram dan haruan makan anak  yang berlaku dalam masyarakat adalah antara kisah yang sukar untuk kita hadam.

Mengapa dan bagaimana si ayah yang sepatutnya melindungi maruah anak perempuan atau si abang yang sewajarnya menjaga kehormatan adik perempuannya sanggup berbuat demikian terhadap benih mereka sendiri sangat tidak masuk akal, namun itu adalah kenyataan yang mana seluruh negara akan gempar apabila ia dipaparkan di dada akhbar.

Memetik kejadian yang berlaku baru-baru ini, seorang lelaki tergamak merogol darah daging sendiri di rumah mereka di Kuala Terengganu sehingga anaknya yang berusia 16 tahun itu disahkan mengandung tujuh minggu.

Lebih menyedihkan, lelaki berusia 50-an berkenaan menjadikan anak keempat daripada lima beradik itu sebagai tempat memuaskan nafsu sejak mangsa berusia 12 tahun lagi iaitu selepas setahun isterinya meninggal dunia.

Cebisan kisah lain seperti seks bebas, liwat, gangguan seksual dan pelbagai lagi perlakuan di luar tabie yang berlaku dalam keluarga sendiri memberi satu bayangan kepada masyarakat seolah-olah perbuatan tersebut sudah menjadi lumrah sehingga tiada lagi perasaan gerun, marah, simpati dan takut.

Senario ini tidak boleh dibiarkan berleluasa dan masarakat perlu melakukan tindakan 'jaga tepi kain' atau 'ambil endah' walaupun ia bukan urusan mereka kerana ia perlu dibanteras sehingga ke akar umbi.

Foto: Harian Metro Online
Foto: Harian Metro
Foto: Lobak Merah

Sekali pun mungkin si anak menjaga auratnya, manusia bertopengkan syaitan akan tetap meneruskan niat jahat mereka menyebabkab mereka sanggup melakukan pengkhianatan seperti itu terhadap anak kandung sendiri.

Walaubagaimanapun, hukum menjaga aurat tetap harus dipraktikkan meski dalam kalangan sesama keluarga untuk mengelakkan perkara sebegini daripada terus berlaku.

Apa itu aurat?

Aurat berasal daripada perkataan arab iaitu aurah yang membawa maksud aib, menurut istilah fiqh pula aurat membawa maksud bahagian tubuh badan yang tidak boleh dilihat, wajib ditutup dan dilindungi daripada pandangan.

Foto: Gadis Muslimah

Aurat yang perlu ditutup dan dipelihara daripada pandangan keluarga adalah seperti berikut ;

1) Aurat anak perempuan dengan ibu bapanya dan adik beradiknya yang haram untuk dikahwini adalah daripada pusat hingga ke lutut.

2) Aurat anak lelaki dengan ibu bapanya dan adik-beradiknya yang haram dikahwini adalah daripada pusat hingga ke lutut

3) Aurat perempuan dengan sepupu-sepupunya yang lelaki yang halal untuk dikahwini adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan.

4) Aurat adik ipar dengan abang ipar adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan.

Foto: Pikdo

Mahram juga berasal daripada perkataan dalam bahasa Arab yang membawa maksud orang yang haram dikahwini oleh sebab fitrah yang menjadikannya seperti demikian.

Muhrim pula bermaksud mereka yang berada dalam ihram ketika melakukan umrah dan haji serta dilarang melakukan beberapa perkara untuk mengelakkan daripada terbatalnya ibadah umrah dan haji tersebut. Perkataan muhrim ini seringkali disalah ertikan ketika kita mengungkapkan tentang mahram.

'Jangan Sentuh,' inilah antara tajuk yang terdapat di dalam sebuah buku subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, yang diajar kepada pelajar tahun satu mengenai bahagian tertentu yang tidak boleh disentuh oleh orang asing.

Antara bahagian yang tidak boleh disentuh oleh orang asing adalah bahagian mulut, dada, faraj, zakar juga punggung.

Walaubagaimanapun, pendedahan ini perlu diperincikan lagi apabila anak-anak bersama dengan ahli keluarga, bahagian mana yang tidak boleh disentuh dan dilihat oleh keluarga itu sendiri untuk mengelakkan daripada berlakunya sumbang mahram.

Bahagian aurat anak-anak dengan ibu bapanya adalah daripada pusat hingga ke lutut, akan tetapi untuk bahagian dari pusat dan ke atas juga hendaklah ditutup baik sebagai tanda malu seorang hamba, mengelakkan daripada pandangan yang menimbulkan syahwat.

Pengasingan tempat tidur antara ibu bapa dan anak-anak yang dianjurkan Islam juga wajar diberi perhatian kerana apa yang diajar pasti ada sebab wajar kenapa ia perlu dipatuhi. Pemisahan tempat tidur antara ibu bapa dengan anak adalah apabila anak-anak mencapai umur 10 tahun.

Kisah benar yang didapati daripada media sosial kebelakangan ini seperti luahan seorang ibu yang bimbang apabila mendapati suaminya kerap tidur menemani anak perempuannya yang berusia 14 umpamanya tidak boleh dipandang sebelah mata kerana gejala beginilah yang akan membawa kepada lanjutan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ceritanya lagi, suaminya juga pernah dilihat tidur dengan memeluk dan tangan di atas dada anak perempuan sekali gus menimbulkan syak wasangka sedang ibu bapa perlu tahu mengenai ilmu pendidikan awal kanak yang disarankan Islam sejak dari awal lagi.

Pokok pangkalnya, pendidikan awal dianjurkan Islam tidak boleh diabaikan kerana ia akan menjadi garis panduan kepada ibu bapa dalam usaha mendidika anak dan agar ibu bapa juga tidak tersalah laku terhada anak kerana kita tidak mahu berlaku kejadian yang akhirnya boleh disebut sebagai "..apabila nasi sudah menjadi bubur."