Raut wajah, mahupun tona suaranya saling tak tumpah dengan susuk selebriti paling berpengaruh di Malaysia, siapa lagi kalau bukan Neelofa. Namun, sejenak mengenali gadis cantik bernama Hawa Rizwana Ahmad Redzuan (Hawa), pasti membuatkan anda lebih menghargainya kerana keistimewaan yang dimiliki.

Tentu saja mahu dikenali kerana bakat serta kebolehannya, terlalu banyak hal yang menarik saat menyingkap kisah gadis cantik berusia 24 tahun ini.

Diberi jolokan sebagai ‘wajah pelaris TV3’, dara berbintang virgo ini merupakan penyampai berita termuda di rangkaian stesen televisyen gergasi itu (memulakan karier ini seawal usia 22 tahun), malah turut menerajui jentera baharu Buletin Utama yang melahirkan ramai penyampai berita berkaliber. Antaranya Datin Seri Normala Samsudin, Wan Zaleha Radzi, Ezzah Aziz Fawzy, Christine Ling, Datin Sharifah Shawati, Datin Norazlina Redzuan, Azwaliza Azman dan ramai lagi. 

Kenali Hawa Rizwana, pencinta seni tari ini dengan lebih dekat menerusi bingkisan temu bual penulis NORHADIANI BAHAROM untuk Hijab & Heels edisi Julai.

H&H: Ceritakan bagaimana kerjaya sebagai wartawan penyiaran seterusnya penyampai berita bermula?

Hawa: Mulanya saya buat internship (Latihan industri) di Wanita Hari Ini, TV3. Letika internship itu ada beberapa bos daripada Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima mencadangkan saya untuk mencuba uji bakat sebagai penyampai berita TV9. Tamat saja internship, saya diserap sebagai penyampai berita Tv9 dan pada masa sama wartawan di unit berita Media Prima.

Genap setahun tiga bulan menggalas tugas penyampai berita di TV9, saya dilamar untuk menyampaikan pula berita Buletin Utama bermula 1 Januari 2019 yang lalu sehinggalah sekarang.

H&H: Cabaran menjadi penyampai berita?

Hawa: Cabarannya, kerana kita sendiri harus menjaga personaliti kita. Cara pembawakan diri, walaupun mungkin dalam TV dan diluar sedikit berbeza, tetapi harus ada kredibiliti.

Kalau kita tidak menjaga keperibadian, bagaimana untuk kita membuatkan orang percaya dengan berita yang disampaikan.

Cabaran lain, penyampaian berita harus disampaikan dengan matang. Bagi orang baharu seperti saya pada usia 24 tahun ini, perlu mematangkan diri supaya dapat memenuhi jangkaan penonton terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, baik dalam kalangan remaja seusia sehinggalah peringkat ibu bapa. Mendapatkan kepercayaan mereka,  itulah cabarannya!

H&H: Dikatakan wajah pelaris TV3 kerana seiras Neelofa, komen anda?

Hawa: Kalau boleh no comment on that! Tapi bagi saya apa yang saya belajar hari ini adalah hasil dorongan minat dalam bidang kewartawanan yang terbit sedari kecil lagi. Kiranya ayah saya pun rajin rakam video saya seolah-olah sedang mengacara sekitar usia 5, 6 tahun.

Ketika di sekolah menengah, saya menyertai kelab kewartawanan. Minat berlanjutan sehingga peringkat Ijazah Sarjana Muda apabila kursus yang saya ikuti juga adalah kewartawanan dan sekarang ini pun sedang melengkapkan pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang komunikasi massa.

Pokoknya apapun yang saya buat sekarang ini tercetus atas dasar minat, tidak pernah cuba untuk menjadi sesiapa. Harap-harapnya saya dinilai kerana bakat dan kebolehan sendiri bukan kerana menumpang sesiapa atau disebabkan paras rupa.

Saya percaya sesiapapun mahu dikenali atas usaha dan bakat sendiri. Mengenai wajah seiras tadi, Alhamdulillah saya bersyukur ada rupa yang diterima.

H&H: Selesa atau tidak disamakan dengan Neelofa?

Hawa: Menyamakan tidak mengapa, tapi jangan sampai membandingkan-bandingkan. Kalau boleh saya tidak mahu dibayangi sesiapa. Seperti saya katakan tadi, mahu dikenali kerana bakat sendiri.

H&H: Sepanjang menyampaikan berita, apakah perkataan yang susah untuk disebut?

Hawa: Piawaian! Haha..sebabnya saya pernah tersalah sebut ‘piayawaian’ sebab itulah sampai sekarang masih ingat. Kalau ikutkan tak susah sebenarnya menyebut perkataan itu tapi disebabkan gementar dan cemas, habis tersalah sebut!

Tip kepada mereka yang berminat untuk menjadi pembaca berita atau wartawan penyiaran suatu hari nanti, fokus pada kandungan program, kerana anda bertanggungjawab mengendalikannya jadi lakukan yang terbaik!

H&H: Tugasan temu ramah paling sukar pernah dikendalikan anda?

Hawa: Paling susah setakat ini, tetapi seronok melaksanakannya, tugasan mendaki bukit sambil mengutip sampah. Sebenarnya tak susah manapun cuma dalam keadaan mendaki sambil mengutip sampah, saya juga perlu memikirkan ayat yang bagus untuk disampaikan.

Satu lagi, pengalaman mencabar sepanjang bertugas sewaktu membuat liputan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Dari subuh hingga selepas isyak, kami terpaksa menunggu di sana, ekoran bekas Perdana Menteri, disoal siasat atas tuduhan kes rasuah.

Semenjak pagi sehinggalah malam, saya bersama kru TV3 melakukan lintas langsung untuk tiga stesen iaitu TV3, Ntv7 dan TV9. Memang tugasan itu berat pada mata mereka yang tidak tahu bagaimana cabaran sebenar bidang kewartawan, tetapi bagi pemain industri ini semua itu adalah pengalaman yang amat berharga buat kami.

Ditugaskan menemu bual Syed Saddiq, iaitu Menteri termuda dalam sejarah Malaysia pada hari pertama beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan, juga satu kenangan yang manis buat saya. Rasa seperti ‘a part of history’ yang dilakarnya pada hari berkenaan.

H&H: Penerimaan ramai terhadap penyampai berita berhijab, pendapat anda?

Hawa: Ia satu perkembangan yang baik dan menunjukkan wanita muslimah di negara ini tidak pernah ketinggalan. Selain membuktikan bahawa masyarakat Malaysia mengamalkan sikap terbuka.

H&H: Siapakah idola anda?

Hawa: Ramai sebenarnya. Salah seorang daripada mereka itu adalah Ezzah Aziz Fawzy kerana dia bukan saja seorang personaliti TV yang bijak, pandai membawa diri dan classy. Malah sehingga kini antara Eksekutif Produser  wanita yang disegani di Media Prima.

H&H: Anda mewarisi ‘genetik’ menulis daripada siapa?

Hawa: Ayah saya. Sekarang ini pun ayah merupakan pensyarah dalam bidang penyiaran di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. Orang kata mewarisi daripada ayah, sebab ayah dulu pun pengacara program Selamat Pagi Malaysia di RTM, sekitar 1990-an dan masa itu saya kecil lagi.

Mungkin bakat yang ada ini diwarisi daripada dia, malah sampai sekarang kalau saya diberikan tugasan menemu bual menteri, selebriti atau sesiapa saja, ayahlah orang yang saya rujuk bagi mendapatkan input soalan bijak. Tambahan pula ayah ada pengalaman, jadi dia arif dengan soalan-soalan yang nampak logik untuk ditanya.

H&H: Minat atau aktiviti yang anda lakukan pada masa lapang?

Hawa: Saya suka menari. Sejak zaman di UiTM lagi, saya mewakili universiti untuk pertandingan kesenian peringkat Selangor hingga ke Hungary. Tetapi sekarang, oleh kerana terlalu sibuk masa lapang diisi dengan aktiviti sihat seperti berjoging, ke gimnasium dan membaca naskah buku motivasi.

H&H: Warna kegemaran anda?

Hawa: Hijau! Kerana hijau itu mendamaikan.

H&H: Gambarkan stail fesyen anda?

Hawa: Saya sangatlah minat terhadap fesyen, malah pernah meletakkan kerjaya pereka fesyen sebagai cita-cita utama saya, sebelum akhirnya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian peringkat ijazah dalam bidang kewartawanan.

Bilang ayah saya, tamatkan pengajian dalam bidang kewartawanan dulu, selepas itu boleh mendalami bidang rekaan fesyen.

Prinsip saya dalam berfesyen, ‘less is more’ dan pastikan ianya classy. Bagi saya ikut trend tidak semestinya seseorang itu ‘fashionista’. Paling penting, apapun yang kamu pakai harus sesuai dan selesa, barulah sentiasa tampak yakin!

 

Foto: NUR ADIBAH AHMAD IZAM/NST

 

Kredit Penaja

 

Busana:

1. Silk and Cotton Trench

SYOMIR IZWA GUPTA

Instagram: @syomirizwagupta

 

2. Set blouse kuning

JOLIE TUEN

Instagram: jolie.tuen

Skaf: TUDUNG PEOPLE

Instagram: @tudungpeople

 

Solekan: DEQ SHA

Instagram: @makeupbydeqsha

Penggaya Hijab: AIZA ADRIENA

Instagram: @aizaadriena