{
}

Gara-gara ingin solat ketika kerja, tawaran kerja wanita Muslim ini ditarik balik


Diskriminasi bukan sahaja berlaku disebabkan oleh perbezaan jantina mahupun warna kulit, perihal agama juga dijadikan sebab oleh sesetengah pihak untuk tujuan tertentu seperti yang berlaku terhadap wanita di Amerika Syarikat ini.

Hanya kerana ingin menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim, impian seorang wanita untuk diambil bekerja terus musnah.

Insiden ini berlaku tahun lalu kepada Shahin Indorewala dari Virginia, Amerika Syarikat ketika dia ditemuramah untuk mengisi kekosongan jawatan yang ada di syarikat Fast Trak Management.

Semuanya berjalan dengan lancar apabila dia bercakap dengan seorang pembantu pengurus yang bernama Josie.

Dia dimaklumkan mengenai tanggungjawabnya, waktu kerja (11 pagi hingga 8 malam) dan bagaimana untuk maju dalam kerjayanya di situ. Turut diberitahu ialah waktu rehat tengah hari di syarikat itu yang berlangsung selama dua jam.

Shahin, 26, merasakan tempoh itu sangat lama. Jadi dia bertanya jika dia boleh memendekkan waktu rehatnya dan pada masa yang sama turut mengambil masa lima minit sebanyak dua kali sehari untuk menunaikan solat.

Menurut Shahin, Josie terus menghentikan temuramah mereka dan berkata, “Itu tidak mungkin boleh berlaku. Di syarikat ini kami mengamalkan waktu kerja yang tetap.”

Shahin merasakan dirinya didiskriminasi oleh Fast Trak Management. Sumber: NBCNews

Tidak ingin berputus asa, Shahin ingin bercakap dengan orang lain di Fast Trak. Dia berpeluang untuk bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Ramses Gavilondo.

Tetapi sebelum dia boleh berkata apa-apa, Josie terus menyatakan kepada Ramses bahawa waktu kerja di Fast Trak tidak sesuai untuk Shahin. Ramses pula terus meneliti resume Shahin dan menandakan 'X' di beberapa bahagian.

Shahin mengambil kesempatan itu dan bertanya mengenai permintaannya agar diberi pelepasan untuk solat setiap hari.

Menurutnya, Ramses bertanya balik, “Apa?” seperti dia tidak faham, tetapi nadanya berbunyi menyindir. Shahin pun menerangkan semula mengenai tuntutan agamanya.

Ramses menjawab, “Agama? Kami tidak mahu sebarang kekacauan sebegitu di sini.”

Menurut Shahin lagi, Ramses mula menuding jari ke hijabnya dan membuat pelbagai pergerakan tangan serta meninggikan suara.

Semestinya Shahin berasa terkejut dan pada masa yang sama, malu dan kecil hati kerana ramai pekerja lain di syarikat itu menyaksikan perbualan mereka. Kerana tidak ingin memperbesarkan hal ini, dia mengambil keputusan beredar dalam diam.

Kini, Shahin ingin membawakan hal ini ke mahkamah atas tuduhan didiskriminasi.

Apabila dihubungi oleh Associated Press (AP), Ramses berkata dia tidak mengambil Shahin bekerja kerana Shahin “ingin menyebarkan agamanya.” Shahin pula memberitahu AP, kenyataan itu tidak benar sama sekali.

Susah juga untuk memohon kerja di Amerika Syarikat bagi orang Muslim. Hakikatnya masih ada banyak pihak yang tidak bertimbang rasa atau tidak boleh memahami situasi yang dialami oleh sesetengah orang.

Jika anda berada di dalam situasi ini, adakah anda akan memfailkan saman juga?