{
}

Golongan berisiko menghidap kanser payudara? Anda salah seorang daripadanya!


Oleh Muhammad Amnan Hibrahim

Setiap tahun, bulan Oktober adalah bulan kesedaran kepada masyarakat dunia berkenaan bahaya kanser payudara kepada masyarakat. Secara global, kanser payudara merupakan pembunuh kedua terbanyak dalam kalangan wanita yang meninggal akibat daripada penyakit kanser.

Di Malaysia pula, seorang daripada 30 wanita berisiko untuk mendapat penyakit ini dan satu kajian yang dikeluarkan oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) menunjukkan 43 peratus kes kanser payudara hanya dikesan apabila ia sudah berada di peringkat akhir, iaitu tahap ketiga ataupun keempat.

Hal ini adalah sesuatu yang amat mendukacitakan kerana penyakit ini adalah sejenis penyakit yang boleh diubati jika penghidapnya memiliki kesedaran untuk mendapatkan rawatan lebih awal.

Perkara di atas juga membuktikan yang kesedaran mengenai bahaya kanser payudara dalam kalangan masyarakat Malaysia masih berada pada tahap yang amat rendah.

Jadi, amat penting untuk masyarakat Malaysia mengenal pasti faktor-faktor yang mendedahkan mereka kepada risiko kanser payudara. 

Hormon

Estrogen, sejenis hormon yang dominan dalam tubuh seseorang wanita adalah elemen yang sangat berkait rapat dengan kanser payudara.

Kajian yang dilakukan oleh pakar menunjukkan pendedahan hormon estrogen kepada tubuh badan seseorang individu mempunyai hubungan yang amat signifikan dengan risiko mereka untuk menghidap penyakit berkenaan.

Secara umumnya, hormon estrogen merupakan hormon yang berperanan dalam membantu pembesaran payudara seseorang perempuan ketika tempoh akil baligh di samping membantu kepada perkembagan payudara seseorang untuk proses penyusuan bayi.

Foto: Mother and Baby

Namun begitu, pendedahan kepada peningkatan hormon estrogen dalam suatu jangka masa yang lama akan menyumbang kepada kerosakan sel DNA payudara dan seterusnya menyebabkan sel yang rosak tersebut bercambah dan berkembang menjadi sel kanser.

Oleh itu, faktor yang menyebabkan kepada pendedahan kepada hormon berkenaan untuk satu jangka masa yang lama seperti tidak mempunyai anak ataupun mempunyai sedikit anak dan memulakan perkahwinan setelah lewat usia akan meningkatkan risiko kanser payudara terhadap seseorang individu.

Hal yang demikian kerana penghasilan hormon estrogen akan terhenti ketika seseorang wanita itu tidak datang haid ketika mengandung sekali gus mengurangkan jangka masa seseorang terhadap peningkatan hormon estrogen.

Selain itu, mencapai usia akil baligh sebelum masa dan juga lewat sampai menopause, yang mana kedua-duanya meningkatkan jumlah kitaran haid seseorang wanita turut menjadi faktor kepada risiko penyakit berkenaan.

Di samping itu, pengambilan ubatan yang mengandungi hormon estrogen seperti pil kontrseptif oral dan terapi penggantian hormon (HRT) juga meningkatkan risiko seseorang itu terhadap kanser payudara, namun risiko terkena kanser payudara bagi individu yang mengambil pil kontraseptif oral adalah lebih rendah kerana faktor umur; wanita muda memiliko risiko yang sangat rendah untuk menghidap kanser payudara.

Sebaliknya, pengurangan pengambilan HRT oleh seseorang wanita didapati mengurangkan kes kanser payudara.

Sementara itu, risiko penyakit kanser turut menurun bagi wanita yang mempunyai anak pada usia muda dan juga ibu yang menyusukan anak mereka kerana paras estrogen di dalam tubuh badan mereka akan berada di paras bawah daripada normal selepas berlakunya kedua-dua perkara tersebut.

Susu, daging dan sayur-sayuran

Kebanyakan kepercayaan pada masa ini beranggapan bahawa diet pemakanan cara moden merupakan antara punca utama berlakunya risiko kanser payudara terhadap seseorang individu, namun sehingga kini tiada kajian yang mengesahkan akan kesasihan kepercayaan itu secara tepat.

Bagi pengambilan susu, tidak ada bukti yang ditemukan bagi mengaitkannya dengan peningkatan risiko seseorang yang mengambil minuman berkenaan terhadap peningkatan risiko kanser payudara.

Untuk daging pula, pakar berpendapat cara pemprosesan daging sebelum dimakan adalah punca seseorang pemakan daging terdedah kepada risiko kanser payudara berbanding daging itu sendiri.

Foto: albiz

Selain itu, terdapat beberapa kajian menunjukkan lemak omega-3 yang terdapat dalam ikan mampu mengurangkan risiko kanser payudara manakala bagi pengambilan sayuran pula, terdapat bukti kukuh yang menunjukkan ianya mampu mengurangkan risiko terhadap penyakit itu.

Walaupun terdapat beberapa kepercayaan berkenaan dengan beberap jenis sayuran seperti kale, brokoli, tomato dan strawberi yang mampu melindungi seseorang daripada kanser payudara, namun belum ada bukti yang menunjukkan sayuran itu lebih baik daripada sayuran dan juga makanan yang lain.

Sementara itu, masih belum ada kajian yang membuktikan pengambilan vitamin tambahan mampu mengurangkan risiko kanser payudara walaupun vitamin D sememangnya mampu memberikan sedikit perlindungan jika ianya diambil dalam kadar yang betul.

Gaya hidup, obesiti dan stres

Perokok tegar terutamanya dalam kalangan wanita muda merupakan golongan yang berisiko untuk menghidap penyakit kanser payudara.

Sebaliknya, pengambilan kafein dan coklat dalam kadar yang mencukupi didapati mampu memberikan perlindungan daripada penyakit kanser payudara.

Sementara itu, obesiti, penyakit yang berpunca daripada diet pemakanan yang tidak terkawal dipercayai menjadi punca kepada meningkatnya risiko kanser payudara terhadap penghidapnya.

Foto: Healthline

Hal ini kerana lemak tisu merupakan jenis otot yang mengeluarkan hormon estrogen. Selain itu, seseorang penghidap obesiti turut mempunyai tahap insulin yang tinggi; hormon insulin merupakan hormon yang turut menyumbang kepada pembentukan sel kanser payudara.

Oleh sebab sebab itu, apa-apa sahaja amalan yang menyumbang kepada risiko obesiti seperti pengambilan gula secara berlebihan dan kurang aktiviti bersukan akan turut menyumbang kepada peningkatan risiko kanser payudara.

Jadinya, pengamalan gaya hidup sihat seperti bersenam secara konsisten berupaya mengurangkan risiko kanser payudara sebanyak 20 peratus. Tambahan pula, senaman juga dipecayai mampu membantu proses pemulihan bagi pesakit yang terselamat daripada penyakit berkenaan.

Manakala kajian tehadap faktor lain seperti stres dan juga amalan tidur yang tidak betul masih belum memberikan apa-apa kesimpulan yang jelas berkaitan hubunganya dengan risiko penyakit berkenaan.

Faktor genetik

Bagi individu yang memiliki genetik anomali atau lebih dikenali sebagai BRCA 1 atau 2, sejenis genetik  yang berisiko tinggi terhadap penyakit kanser ovari dan payudara, mereka mempunyai 80 peratus risiko seumur hidup bagi kanser payudara dan 40 peratus bagi kanser ovari.

Bagi sesetengah wanita yang menghadapi keadaan tersebut, lazimnya mereka akan memilih untuk mengambil ubatan pencegahan ataupun pembedahan yang melibatkan pembuangan bahagian payudara dan juga ovari.

Sementara itu, risiko kanser payudara bagi individu yang ahli keluarganya mempunyai sejarah dihidapi penyakit berkenaan tetap tinggi walaupun ianya tidak memiliki genetik anomali. Dianggarkan risiko kanser payudara adalah dua kali ganda lebih tinggi bagi ibu, kakak dan juga adik perempuannya memiliki sejarah dengan penyakit berkenaan  berbanding individu yang keluarganya tidak pernah menghidapi penyakit kanser ovari.

Tanda-tanda yang dikesan berdasarkan jejak genetik ini boleh dikenalpasti melalui ujian darah dan juga ujian ketumpatan payudara melalui mesin mamogram.

Foto: MIT News

Ujian ketumpatan payudara dibuat berdasarkan keputihan yang terpapar pada mesin mamogram. Semakin tumpat keputihan tisu payudara yang dilihat, semakin tinggi risiko kanser payudara terhadap individu berkenaan.

Disebabkan keberkesanan ujian ketumpatan payudara dalam mengenalpasti risiko kanser berkenaan, ianya telah menjadi satu ujian yang berjaya mempengaruhi wanita di seluruh dunia dalam proses mengenalpasti dan juga mengatasi risiko penyakit itu.

Ujian mamografik bertindak dalam menguji perkara  yang berkaitan dengan tahap pendedahan terhadap hormon estrogen dalam tubuh seseorang, bersekali dengan menopaus dan HRT.

Kenal pasti risiko yang anda hadapi

Pakar berpendapat kebanyakan wanita di seluruh dunia tidak pasti akan tahap risiko kanser payudara yang mereka hadapi kerana kekurangan kesedaran dan juga pengetahuan berkenaan dengan perkara tersebut.

Oleh itu, berdasarkan perkara di atas, ternyata risiko kanser payudara bukan sahaja boleh dikenal pasti, malahan ianya juga boleh dihindari jika  individu itu sedar akan punca yang menjadi sebab kepada peningkatan risiko penyakit berkenaan.

Sumber: The Conversation