Setengah jam sebelum berbuka puasa semalam, terlihat satu hantaran dibuat oleh rakan baik penulis berserta kapsyen “sotong masak berempah Sugu Pavithra..mesti sedap”.

Tidak lama kemudian, terlihat pula satu lagi hantaran masih berkisarkan mengenai Sugu Pavithra, YouTuber popular kegemaran rakyat Malaysia dengan jumlah 478,000 pelanggan YouTube.

Wanita berbangsa India fasih berbahasa Melayu, ditambah perwatakan lembut dan sopan, pandai pula memasak menjadikan menu ringkas Sugu Pavithra, sentiasa dinanti-nantikan peminat.

Bukan sahaja rakyat Malaysia, bahkan Sugu Pavithra juga mendapat perhatian dan dihargai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi kiriman di Facebok Bernama TV, Perdana Menteri telah memberikan kad ucapan dan menghadiahkan ‘tripod’ kepada Sugu Pavithra, termasuk beberapa barangan dapur seperti minyak masak, rempah ratus, ketuhar gelombang mikro dan periuk nasi. 

Coretan ucapan Perdana Menteri berbunyi, “ dengan ingatan tulus ikhlas daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, keep up the good work, just stay at home”.

Wanita ini turut merakamkan rasa terharu dan terima kasih kepada Perdana Menteri (PM) dengan memuat naik sebuah video di saluran YouTube miliknya.

“Saya dapat tripod yang besar ya. Sebelum ini saya tak pernah menggunakan tripod dan saya mendapatkan tripod ini daripada PM kita, jadi saya sangat banggalah dan gembira.

Foto: YouTube Sugu Pavithra

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada PM kita. Hadiah ini saya paling sukalah,” katanya turut berterima kasih kepada semua pelanggan yang menyokong saluran YouTube miliknya.

Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana wanita ini begitu pantas menambat hati rakyat Malaysia.

Selain pandai memasak, menggunakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu dengan pemilihan ayat yang mudah faham, video yang dimuat naik Sugu Pavithra, acap kali mempamerkan sikap saling bantu-membantu antara suami-isteri yang boleh dijadikan sebagai contoh.

Sumber: YouTube