{
}

Impikan perkahwinan di dalam jet peribadi? Dengan RM50,000 anda mampu melaksanakannya!


Siapa yang tidak mengimpikan untuk merakam momen perkahwinan berlatar belakangkan jet peribadi, rasanya tujuh keturunan pun tidak akan habis bercerita betapa indahnya pengalaman yang dilalui.

Bagaimanapun, impian ini mungkin dianggap mustahil untuk dilaksanakan apatah lagi jika mahu dialami mereka yang bukan datang daripada golongan hartawan mahupun jutawan?

Untuk pengetahuan anda tiada yang mustahil dengan Efinair MyJet International Sdn Bhd (Efinair), yang kini dalam perancangan memperkenalkan pakej perkahwinan Wedding in The Air dengan harga serendah RM50,000. Wow ini berita baik!

Foto: efinair.com

Biasanya kita dengar perkahwinan menggunakan jet peribadi ini menelan belanja jutaan ringgit. Bagi golongan berpendapatan sederhana, mereka hanya mampu berputih mata.

Tetapi andai benarlah ura-ura caj yang dikenakan untuk pakej perkahwinan serendah RM50,000, pasti ramai yang teruja dan akan mula menyimpan wang untuk melaksanakan perkahwinan impian mereka.

Masakan tidak, kalau majlis yang diadakan di dewan pun harga yang perlu dibayar lebih kurang jumlah yang sama atau lebih, kenapa tidak merebut peluang melangsungkan pernikahan atau resepsi di hangar sambil berlatar belakangkan jet peribadi, pasti menarik bukan? 

Ketua Pegawai Eksekutif Efinair MyJet International Sdn Bhd (Efinair), Muhammad Fadzil Abdullah, berkata Wedding in The Air adalah satu perkhidmatan baharu bakal diperkenalkan mereka yang cukup mengujakan!

"Kami merancang memperkenalkan satu konsep perkahwinan untuk majlis pernikahan dan resepsi yang bakal diumumkan pada Januari tahun depan (2020). Konsep perkahwinan sebegini sudah lama diperkenalkan di Barat membabitkan golongan selebriti dan VIP, tetapi di Malaysia mungkin kami yang pertama. 

"Bakal mempelai boleh memilih untuk melangsungkan perkahwinan sama ada majlis nikah ataupun resepsi di kawasan hangar bersama jet peribadi sekali. Jika mereka memilih untuk melangsungkan pernikahan di dalam jet berserta jurunikah dan saksi juga boleh dilaksanakan.

"Malah, katakanlah selepas selesai majlis dan mempelai merancang untuk terus ke destinasi bulan madu, itu juga boleh diuruskan. Tetapi untuk perkhidmatan yang ini mungkin akan ada caj tambahan bergantung kepada destinasi yang ingin dikunjungi mereka," katanya.

Foto: Pinterest

Ujar beliau lagi, lokasi hangar Efinair mampu menampung 100 hingga ke 200 tetamu. Bagaimanapun, jika majlis pernikahan ingin diadakan di dalam jet peribadi, untuk jet Bombardier Global 5000, seramai 13 penumpang mampu ditampung.

"RM40,000 ke RM50,000 itu adalah caj paling minuman yang difikirkan kami. Akan tetapi harganya akan berubah, mengikut apa yang diinginkan pelanggan.

"Konsep perkahwinan, pelamin yang bagaimana diinginkan mereka, jenis hidangan termasuk jumlah tetamu. Saya berani katakan, perkhidmatan yang ditawarkan kami ini adalah yang pertama di Malaysia dan terendah setakat ini," katanya.

Ketua Pegawai Operasi Efinair, Muhammad Fadzil Abdullah. Foto: NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Muhammad Fadzil berkata syarikat itu yakin dapat memperkukuh kehadiran di persada tempatan dan mengembangkan operasinya yang disokong oleh usaha berterusan dalam menawarkan kadar dan pakej yang menarik.

"Bagaimanapun, kadar caj bergantung pada jenis destinasi dan pesawat. Kami menawarkan kadar yang berpatutan di rantau ini kerana kami percaya ramai orang lebih suka menggunakan jet peribadi," katanya.

Pada temubual itu, beliau turut menjawab pertanyaan mengenai impian selebriti paling berpengaruh di Malaysia, Neelofa yang bercita-cita untuk memiliki jet peribadi suatu hari ini.

"Tiada salahnya untuk Neelofa memiliki jet peribadi. RM3 juta hingga RM5 juta, sudah cukup untuk memiliki jet peribadi terpakai. Tinggal lagi, kadar sewaan hangar, gaji juruterbang, kru kabin dan pembiayaan penyelenggaraannya tersangatlah mahal.

"Oleh kerana itulah, kami menawarkan konsep 'MyJet' yang membuatkan pelanggan berasa seperti jet itu kepunyaan peribadi, yang membolehkan mereka menyesuaikan pengalaman perjalanan mereka. Permintaan anda akan dilayan sehinggalah dalam menentukan pakaian seragam kru kabin.

"Konsep yang kami ketengahkan ini menjimatkan perbelanjaan pelanggan kerana caj yang dikenakan meliputi penyelenggaran pesawat termasuk menyewa hangar, petrol, juruterbang dan anggota kru," katanya.

Sebagaimana diketahui umum, jet peribadi kini bukan lagi lambang kemewahan, mahupun digunakan untuk menunjuk-nunjuk kekayaan, tetapi ada ketikanya ia menjadi keperluan buat mereka yang berkemampuan.

Menyediakan perkhidmatan sewaan dua jenis jet peribadi iaitu Gulfstream G500 dan Bombardier Global 5000, kadar sewaan untuk tempoh satu jam bermula dari RM14,000 dan ke atas.

Foto: Efinair

Katanya, Efinair merancang untuk memperoleh tiga jet perniagaan Boeing dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi pajakan atau pembelian langsung, yang membabitkan kos kira-kira RM418.691 juta

"Pada masa ini, kami mempunyai dua pesawat (Gulfstream G500 dan Bombardier Global 5000) yang beroperasi di Terminal Subang Skypark. Dengan potensi memiliki pesawat baharu, kami dapat mengembangkan bahagian syarikat eksekutif kami di luar Asia dan Timur Tengah ke Eropah secara langsung," katanya.

Beliau berkata pasaran perkhidmatan piagam udara swasta telah berkembang pesat, disokong oleh inisiatif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk meletakkan Malaysia sebagai hab penerbangan dan terminal penerbangan perniagaan pertama di Terminal Subang Skypark dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Terminal berdedikasi yang dicadangkan itu juga merupakan sebahagian daripada Subang Regeneration Initiative dengan tujuan untuk menarik bilangan jet perniagaan dari 50 kepada lebih 150 jet dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya perkhidmatan piagam udara swasta telah meningkat, kerana lebih banyak syarikat korporat dan individu berkemampuan lebih gemar menggunakan mod pengangkutan ini untuk perjalanan perniagaan dan percutian.

"Pelanggan biasa kami ingin mendapatkan kualiti terbaik masa dan pulangan pelaburan (ROI) dengan menggunakan jet peribadi sebagai pengangkutan utama mereka.

"Mereka lebih prihatin mengenai keperluan yang perlu tiba tepat pada masanya, mengelakkan prosedur operasi standard (SOP) berlepas dan ketibaan di lapangan terbang, serta penangguhan yang kemungkinan berlaku," katanya.

Antara destinasi yang dikehendaki termasuk negara-negara Timur Tengah seperti Emiriyah Arab Bersatu, Oman, Bahrain dan Jordan serta rantau Asia seperti Hong Kong, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Foto: Efinair
Foto: Efinair
Foto: Efinair
Foto: Efinair
Foto: Efinair