Memilih restoran ada kalanya memeningkan. Suami suka masakan kampung, isteri peminat makanan Jepun, anak pula memilih masakan Barat.

Bagi keluarga yang mempunyai cita rasa berbeza, boleh mengunjungi Kafe Beard Brothers BBQ yang bukan sahaja menjanjikan pelbagai hidangan Barat dan Timur, tetapi paling penting berkonsepkan halal.

Baru-baru ini, kafe berkenaan memperkenalkan umami boru, iaitu ramen halal yang menggunakan resipi ramen Jepun. Berbeza dengan ramen Korea yang kuahnya agak pedas, ramen Jepun pula diperbuat daripada sup jernih yang berasaskan tumisan daging atau ayam.

Hidangan umami boru daripada Beard Brothers BBQ. (Gambar NSTP/ROHANIS SHUKRI)

Pengasas Beard Brothers BBQ, Nazri Jameson, berkata hidangan baharu itu menjanjikan rasa yang unik berikutan penggunaan daging salai yang sinonim dengan kafe berkenaan.

“Beard Brothers BBQ terkenal dengan daging bakar yang disalai selama 12 jam, namun kami memikirkan bagaimana hendak memanfaatkan cebisan daging salai itu yang bercerai apabila dipotong.

“Saya terfikir, memandangkan masyarakat di Malaysia hari ini turut menggemari hidangan Jepun, lalu kami menghasilkan menu baharu umami boru yang dihidangkan bersama-sama cebisan daging salai ini,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan menu baharu Beard Brothers BBQ, baru-baru ini.

Pemilik Beard Brothers BBQ, Nazri Jameson menunjukkan aneka hidangan popular di kafenya. (Gambar NSTP/ROHANIS SHUKRI)

Bagi penggemar masakan Barat khususnya daging barbeku, nama Beard Brothers BBQ tidak asing lagi. Daging barbekunya yang enak dimasak gaya Texas, mengambil masa semalaman disalai bagi memastikan setiap perisanya menyerap ke dalam daging.

Daging dibakar dan dibiarkan di salai selama 12 jam.

Beard Brothers BBQ yang diasaskan pada 2013 menjadi pilihan warga kota yang menggemari hidangan barbeku, namun bagi menggamit lebih ramai pelanggan datang bersama-sama keluarga, menu kafe itu dipelbagaikan.

Ruang yang selesa dan nyaman, selain hidangan menyelerakan membuatkan Beard Brothers BBQ menjadi pilihan warga kota. (Gambar NSTP/ROHANIS SHUKRI).

Selain ramen, menu baharu Beard Brothers BBQ turut membabitkan hidangan berasaskan roti seperti aneka sandwic. Ada juga disediakan snek enak yang diperbuat daripada ayam goreng gaya Beard Brothers BBQ.

Beard Brothers BBQ terletak di pusat beli-belah Tropicana Avenue, Petaling Jaya, hanya 15 minit dari pusat bandar.