{
}

Ingin rujukan mudah dan menarik untuk mengurus wang anda? Dapatkan e-buku ini!


Oleh Muhammad Amnan Hibrahim

Di pasaran buku tempatan, terdapat ratusan judul buku yang membincangkan mengenai hal-hal kewangan. Namun begitu, hampir kesemua buku yang ditulis berkenaan perkara tersebut ditulis dalam laras bahasa yang sukar difahami oleh golongan awam.

Hasilnya, rata-rata masyarakat Malaysia mempunyai pengetahuan dan juga kesedaran yang amat rendah terhadap soal pengurusan kewangan.

Kajian daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit menunjukkan satu daripada tiga rakyat Malaysia merasakan mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan mengenai kewangan yang mencukupi. Akibatnya, statistik status bangkrap dalam kalangan rakyat Malaysia untuk tahun ini mencecah 294,000 orang berbanding 21,897 orang pada tahun 2013.

Sedar akan permasalahan tersebut, Perunding Perancang Kewangan, Nurihan Hamid, mengambil inisiatif untuk menulis lima e-buku mengenai pengurusan kewangan yang dibuat khusus untuk memudahkan kefahaman masyarakat awam berkenaan hal itu.

Ditulis dengan tujuan untuk dijadikan rujukan mudah oleh pembaca dalam hal pengurusan kewangan mereka, Nurin berkata setiap daripada buku itu digarap dengan menggunakan laras bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat umum. 

Penulis Buku Perancang Kewangan, Nurihan Abd Hamid. NSTP/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

Selain itu, buku-buku yang dihasilkan dalam bahasa Inggeris itu turut dilengkapi dengan ilustrasi kreatif yang pastinya memudahkan orang awam dan juga pembaca cilik erutamanya untuk memahami maklumat yang mahu disampaikan.

Bagi tiga e-buku yang ditulis khusus untuk kanak-kanak  Money Stuff for Kids, jilid satu dan dua bagi kanak-kanak berusia lapan ke 12 tahun dan juga jilid tiga, Money Stuff for Teens, untuk remaja yang berusia 13 hingga 17 tahun.

Siri perancang kewangan untuk pemula ini bukan sahaja menggunakan laras bahasa yang mudah difahami untuk peringkat usia pembacanya, malahan turut diceriakan dengan lukisan kartun kreatif daripada pelukis komik yang terkenal menerusi majalah Ujang, iaitu Leen Mafia.

Antara perkara asas berkenaan kewangan yang disentuh di dalam dua jilid pertama adalah persoalan mengenai definisi wang, prinsip penggunaan, penyimpanan dan pengumpulan wang serta pengenalan ringkas terhadap sistem perbankan secara umum.

Untuk jilid ketiga, pembaca remaja akan mula didedahkan dengan perkara-perkara fundamental yang berkaitan dengan pengurusan kewangan seperti pendapatan, belanjawan, pengenalan mengenai penyata kewangan, ekonomi dan juga keusahawanan.

Dengan bantuan ilustrasi daripada pelukis komik berpengalaman, kanak-kanak pasti tertarik untuk membaca dengan lebih lanjut isi buku yang tentunya melengkapkan mereka dengan asas pengetahuan mengenai pengurusan kewangan. NSTP/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

Bagi yang baharu mula bekerja pula, Financial Savvy: A Worthy Cycle adalah buku yang wajib didapatkan. Buku berwarna merah ini akan memberikan panduan buat anak muda berkenaan dengan perkara penting yang perlu mereka tahu ketika merancang kewangan mereka seperti alat-alat pelaburan, pengurusan risiko, cukai dan juga pengurusan penyata kewangan mereka

Turut tidak dilupakan adalah perkara kewangan yang berkaitan dengan syariat Islam seperti zakat dan juga pengurusan harta pusaka iaitu faraid.

E-buku kelima yang dihasilkan Nurihan dalam usahanya untuk memberikan pendidikan kewangan kepada masyarakat terutamanya untuk pembaca beragama Islam adalah buku A Little Step To Heaven and Earth.

Buku yang dihadirkan dengan warna ungu ini pula penuh dengan maklumat bemanfaat berdasarkan amalan pengurusan kewangan di dalam Islam.

“Saya memasukkan beberapa surah dan ayat pilihan daripada al-Quran bagi menunjukkan bagaimana holistiknya pesanan yang disampaikan oleh agama kita dalam soal pengurusan kewangan.

“Selain itu, saya turut menerangkan dengan lebih lanjut berkenaan zakat dan juga sesetengah produk kewangan yang boleh dan juga tidak boleh diambil oleh orang Islam terutamanya,” katanya ketika ditemubual baru-baru ini.

Memperkatakan mengenai proses penulisan dan juga pengumpulan bahan untuk buku kewangan yang dihasilkan, Nurihan yang berkecimpung dalam bidang perbankan selama 10 tahun berkata idea penulisan bagi buku untuk pembaca muda kebanyakannya diambil daripada buku kewangan kanak-kanak yang dihasilkan daripada negara-negara maju.

Penulis Buku Perancang Kewangan, Nurin Abd Hamid bersama buku keluarannya. NSTP/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

“Bagi tiga buku untuk kanak-kanak, saya banyak merujuk kepada buku kewangan yang dibuat oleh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat,United Kingdom dan Australia. Namun saya tidaklah mengambilnya secara bulat-bulat. Terdapat juga perubahan yang dilakukan  supaya buku ini dapat disesuaikannya dengan keadaan dan juga gaya hidup masyarakat Asia secara umumnya.

“Walaupun pengurusan kewangan adalah satu skil yang secara universalnya sama, tetapi pengolahan yang betul dan menarik amatlah penting supaya pembaca khususnya rakyat Malaysia dapat mengaitkannya dengan pengalaman mereka,” kata beliau yang juga adalah pemegang sijil Islamic Financial Planner yang dikeluarkan oleh Islamic Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM).

Bagi pembaca yang berminat, anda boleh mendapatkan kesemua E-buku yang dimahukan di kedai atas talian www.bookcapital.my dengan harga serendah RM17.50 sehingga RM20.90.