{
}

Ini cara kreatif untuk memupuk minat membaca terhadap anak-anak


Oleh Muhammad Amnan Hibrahim

Setiap ibu bapa pastinya peka akan keperluan untuk memastikan anak-anak mereka boleh membaca dengan baik. Justeru, terdapat pelbagai cara yang dilakukan oleh kedua-duanya bagi memastikan kebolehan membaca anak mereka berada di tahap yang sepatutnya.

Bagaimanapun kehadiran teknologi baharu seperti telefon pintar, tablet dan juga komputer pastinya menyukarkan ibu bapa dalam membantu proses perkembangan pembacaan anak-anak. Hal ini kerana anak-anak yang terdedah kepada peralatan elektronik lazimnya akan mudah hilang fokus serta cepat bosan dengan sesuatu perkara.

Justeru apakah cara kreatif yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menggalakkan anak-anak untuk membaca ?

Zahirkan apa yang dibaca

Foto: TripSavvy

Berikan buku yang mampu memberikan inspirasi untuk kanak-kanak itu melakukan aktiviti. Selepas itu, bantu mereka untuk merealisasikan apa yang dibaca. Sebagai contoh, jika anak-anak itu membaca buku bergambar mengenai mainan LEGO, dapatkan mainan berkenaan untuk mereka. Sementara itu, jika anak-anak meminati subjek Sains dan Astronomi, ibu bapa boleh membawa anak mereka ke tempat-tempat seperti Planetarium, Petrosains dan Aquaria.

Raikan penulis 

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Jadinya, kanak-kanak perlu diperkenalkan kepada penulis-penulis terkenal dengan cara mengadakan satu perayaan di rumah bersempena dengan penulis berkenaan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh merancang untuk menyambut tarikh lahir penulis tempatan yang terkenal iaitu Sasterawan Negara Datuk A Samad Said misalnya. Pada sambutan tersebut, ibu bapa boleh memperkenalkan karya-karya penulis tersebut kepada anak-anak mereka. Dengan itu, perasaan ingin tahu dalam diri anak-anak tersebut pastinya akan mendorong mereka untuk membaca karya-karya penulis tersebut.

Tonton filem yang diadaptasikan daripada buku

Aktiviti membaca buku boleh menjadi sesuatu yang membosankan bagi anak-anak jika ianya tidak diselang-selikan dengan aktiviti yang menyeronokkan. Oleh itu, tambahkan keterujaan anak-anak untuk membaca dengan cara menonton filem yang diadaptasikan daripada buku yang mereka baca. Terdapat ratusan filem yang diadaptasi daripada buku seperti filem Harry Potter, Alice In Wonderland dan banyak lagi.

Baca sambil memasak

Aktiviti memasak pastinya akan menjadi lebih menyeronokkan jika dilakukan bersama anak-anak. Tetapi bagaimanakah cara untuk memastikan mereka menjadi pembantu tukang masak yang baik. Caranya adalah ambil mana-mana buku masakan dan suruh mereka bacakan resepi, bahan-bahan dan juga cara masakan yang perlu dilakukan. Biarkan mereka memilih jenis masakan yang terdapat pada buku tersebut

Tubuhkan kelab buku

Foto: ABC

Bagi menambahkan lagi pengalaman membaca seorang kanak-kanak itu, ibu bapa boleh menubuhkan sebuah kelab buku. Tujuan kelab itu didirikan adalah bagi membolehkan anak-anak berkenaan untuk berkongsi pengalaman membaca bersama ibu bapa dan juga orang lain. Di samping itu, aktiviti kelab buku juga boleh menambahkan keyakinan untuk anak-anak itu berinteraksi serta berkongsi pandangan mahupun idea dengan orang lain.

Bagi mendapatkan ahli untuk kelab tersebut, sarankan anak mengajak rakan-rakan mereka untuk menyertai kelab tersebut. Ibu bapa juga boleh mengajak rakan-rakan mereka bersama-sama dengan anaknya untuk menyertai kelab berkenaan. Selepas itu, tetapkan tarikh dan tempat yang sesuai bagi mengadakan aktiviti kelab buku.

Hadirkan buku bagi setiap masalah yang dihadapi

Setiap kanak-kanak pastinya akan berhadapan dengan masalah dalam kehidupan harian mereka. Namun begitu, ibu bapa tidak perlu memandang perkara ini sebagai satu masalah, tetapi sebaliknya peluang untuk menggalakkan anak-anak untuk membaca.

Untuk setiap masalah yang dihadapi oleh anak-anak seperti penjagaan basikal, pemeliharaan haiwan kesayangan mereka dan juga masalah dengan kawan-kawan, ibu bapa boleh menghadiahkan buku yang boleh membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anak mereka.

Cara ini berupaya untuk memberikan perspektif kepada anak berkenaan dengan kepentingan buku.

Foto: PBS

Sumber: Parents