Hari ini masuk hari ke-5 Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung, pasti ramai yang kehabisan idea untuk menyediakan menu apa untuk juadah sekeluarga dalam situasi sekarang.

Jika sebelum ini kita sering melihat tanda pagar #masakcampakcampak atau #lebihansemalam, ini masa sesuai untuk menggunakan kreativiti yang ada bagi memenuhi selera.

Bagi yang berpeluang keluar dari kediaman untuk membeli barang dapur, pasti akan mencari barang basah agar ada makanan di atas meja untuk hidangan sekeluarga mahupun diri sendiri.

Kari bendi dan kacang kuda, boleh dinikmati bersama nasi panas atau roti. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Bagaimanapun, menu yang ingin dikongsi Hijab & Heels hari ini amat mudah kerana tentunya di dapur rumah ada tersimpan serbuk kari mahupun santan segera.

Kari bendi dan kacang kuda ini boleh sahaja dimakan dengan nasi mahupun dicecah roti atau dinikmati bersama lempeng.

 
 
 
 
 
View this post on Instagram
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Jom cuba menu mudah ini untuk seisi keluarga. Hijab & Heels kongsikan videonya di sini. #hijabnheels #hijabnheelsofficial #menuhujungminggu #menu #kari #kacangbendi #kacangkuda

A post shared by Hijab & Heels (@hijabnheelsofficial) on

Kari bendi dan kacang kuda

Bahan-bahan:
1 bunga lawang
2 inci kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 ulas bawang merah (dimayang halus)
2 ulas bawang putih (dimayang halus)
1 sudu besar serbuk cili
200g serbuk kari
1 inci halia
5 biji bendi
1 tin kecil kacang kuda
1 kotak santan segera rendah lemak
½ cawan air asam jawa
2 cawan air
2 ranting daun kari
Gula dan garam secukup rasa

Kacang kuda enak dimasak kari. Foto: shoppee.com

Cara penyediaan:
1. Panaskan minyak, tumis bunga lawang, buah pelaga, kulit kayu manis, daun kari, bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau.

2. Apabila bahan bertukar keperangan, masukkan serbuk kari dan serbuk cili, kacau seketika dan apabila bahan masak sempurna, masukkan air asam jawa dan tuang sedikit demi sedikit air kosong. Simpan sedikit untuk digunakan kemudian.

3. Pastikan bahan mendidih perlahan, kemudian masukkan bendi yang sudah dibersihkan dan kacang kuda. Biarkan ia mendidih kecil.

4. Akhir sekali, masukkan santan dan perasakan mengikut cita rasa anda. Jika kelihatan pekat, tambahkan air kosong. Biarkan ia mendidih seketika, kemudian padamkan api dan bolehlah dihidangkan.

5. Kari ini akan menjadi sedikit pekat apabila ia sudah sejuk, namun rasanya akan bertambah sedap.

6. Boleh juga dimasukkan isi ayam atau daging jika mahu, namun jika anda vegetarian, bendi, terung, lobak merah atau kacang panjang juga enak dijadikan bahan di dalam kari ini.

Selamat mencuba!

Bendi juga boleh dijadikan bahan tambahan dalam masakan kari. Sumber: pasarman.com