Kerajaan mengambil keputusan mempercepatkan proses menghantar pulang pelajar intitusi pengajian tinggi (IPT) yang masih berada di kampus pada Selasa ini berbanding sebelumnya yang ditetapkan pada Khamis.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat berikutan rayuan ibu bapa yang mahu anak mereka lebih awal berada di kampung meskipun penghantaran pulang dilakukan pada raya ketiga.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB), di Putrajaya, hari ini.

“Urusan penghantaran pulang ini membabitkan 1,480 pelajar pada 26 Mei dengan enam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak.

“Seramai 1,148 pelajar lagi akan dibawa pulang dengan empat penerbangan iaitu dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan dua penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur yang dijadualkan membawa 332 pelajar,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB), di Putrajaya, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar di Zon Utara dan Sarawak pulang ke kampung hari ini.

Pelajar IPT ialah antara kumpulan yang dibenarkan pulang dan polisi berkenaan sudah membenarkan lebih 50,000 pelajar pulang ke rumah masing-masing.

Ismail Sabri berkata, hanya sebahagian kecil sahaja lagi pelajar yang belum dihantar pulang dan Kerajaan komited untuk membawa mereka balik ke rumah masing-masing sempena musim perayaan ini.

Penghantaran pulang pelajar IPT disambung pada 26 Mei ini – gambar hiasan. Foto: NSTP/Amran Hamid.

“Lebih kurang 7,000 pelajar sahaja lagi yang belum dibawa balik dan langkah mempercepatkan penghantaran ini diharap dapat melegakan ibu bapa dan pelajar juga.

“Pelajar yang akan dihantar pulang juga sudah menjalani saringan kesihatan. Saya harap proses membawa pulang pelajar ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.