Tiga negeri, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini disenaraikan sebagai Zon Hijau berikutan sudah lebih 14 hari tidak mempunyai kes baharu jangkitan COVID-19 membuat kejutan apabila masing-masing melaporkan satu kes positif COVID-19, hari ini.

Bagi kes di Kedah, jangkitan COVID-19 dikesan pada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), manakala kes di Kelantan membabitkan seorang wanita hamil yang merentas negeri dari Ampang untuk pulang ke kampungnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ketika ini Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan siasatan bagi mengesan punca jangkitan bagi kes berkenaan, selain mengenal pasti kontak rapat pesakit.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Putrajaya, hari ini. (Gambar NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR)

“Kes di Kelantan membabitkan wanita hamil dari Ampang yang juga Zon Merah balik ke kampungnya di Kelantan iaitu Zon Hijau untuk bersalin. Apabila kes ini sampai di kampungnya dan datang ke Klinik Kesihatan, dia disaring serta didapati positif COVID-19.

“Bagi kes di Kedah pula, seperti diumumkan pelajar IPT yang hendak balik ke Sabah dan Sarawak perlu disaring sebelum dibenarkan balik. KKM melakukan saringan ke atas 271 pelajar dan mengesan satu kes positif,” katanya pada pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Tiga kes di negeri Zon Hijau itu adalah sebahagian daripada 31 kes baharu yang dikesan sehingga 20 Mei 2020, jam 12.00 tengah hari, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 7,009 kes.

Daripada 31 kes baru yang dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 21 kes adalah penularan tempatan yang mana 10 kes adalah bukan warganegara Malaysia.

Dr Noor Hisham berkata, KKM menasihatkan penduduk di Zon Merah supaya tidak balik ke kampung walau apa alasan sekalipun dengan menjadikan kes di Kelantan itu sebagai iktibar. 

“Pada dasarnya KKM memang tidak membenarkan pergerakan rentas negeri kerana apa yang kita bimbangkan adalah pergerakan dari Zon Merah ke Zon Hijau. Apabila seseorang itu berada di Zon merah, dia tidak pasti sama ada sudah dijangkiti atau tidak, dan mungkin juga dia tidak bergejala (asymptomatic).

“Apabila balik ke kampung di Zon Hijau, besar kemungkinan dia akan menjangkiti ahli keluarganya. Oleh itu,  KKM berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menguatkuasakan larangan rentas negeri ini,” katanya

Petugas memeriksa suhu badan pelajar IPT yang terbabit dalam Program Pergerakan Penghantaran Pelajar Pulang ke Kampung halaman mereka. (Gambar hiasan/NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR)

Sementara itu, kes yang pulih dan dibenarkan keluar daripada hospital hari ini adalah sebanyak 60 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 5,706 kes atau 81.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jumlah berkenaan menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,189 kes. Meskipun Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan tiada kematian pada hari ini, masih terdapat 11 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tujuh kes memerlukan bantuan alat pernafasan.