Wanita bertubuh gempal sering berdepan dengan masalah mencari busana yang bersesuaian dengan bentuk badan. Ada kalanya bahagian atas muat, tetapi bahagian bawah badan pula menjadi masalah.

Begitu pun, kebelakangan ini semakin banyak jenama yang menghasilkan rekaan untuk wanita bertubuh gempal, antaranya MS Read dan Scarlet.

Selain itu, cara pemakaian juga boleh membuatkan penampilan kelihatan jauh lebih besar daripada bentuk asal. Pemilihan warna dan corak antara faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu kelihatan agak besar.

Ada penata rias berpendapat wanita bertubuh gempal tidak sesuai mengenakan baju polos berwarna putih dan kuning cair kerana warna itu akan menyebabkan saiz badan kelihatan bertambah.

Tidak kurang yang berkata, wanita sebegitu perlu mengelakkan baju dengan corak bunga besar kerana corak berkenaan akan menjadikan ilusi badan lebih besar.

Begitu pun, jangan jadikan alasan untuk tidak menyarung pakaian yang anda gemar seperti corak berbunga besar mahupun motif penuh pada fabrik yang disukai.

Hijab & Heels kongsikan lima panduan mudah untuk tampil kemas dan selesa meskipun bersaiz besar atau gempal.

Jalur adalah motif terbaik untuk individu gempal. (Gambar hiasan/Instagram @sarahlouiseslusher)

1. Motif jalur

Motif jalur menegak adalah penyelamat terbaik kerana ia memberi ilusi anda dilihat tinggi dan tidak berisi. Sama ada jalur berukuran besar atau kecil, tiada masalah kerana ia tetap menampakkan pemakainya tinggi.

2. Warna

Pilih fabrik yang berwarna lembut atau warna tanah seperti kelabu, hitam, ungu mahupun biru kerana warna sebegini tidak akan menjadikan anda sebagai satu titik perhatian jika berada dalam kalangan awam, oleh itu anda tidak akan berasa diperhatikan.

Pemilihan fabrik lembut dan mempunyai jatuhan berat serta bercorak minimal menampakkan pemakai langsing walaupun bertubuh gempal. (Gambar hiasan/Instagram apple_dress_shop)

3. Jenis fabrik

Elakkan memakai fabrik bersifat keras kerana fabrik berkenaan akan membuatkan pemakai tampak kembang dan besar. Jika mengenakan fabrik lembut dengan jatuhan yang berat, badan kelihatan kemas meskipun bersaiz gempal.

Fabrik polos menampakkan sisi langsing pemakai. Potongan baju juga menyumbang kepada penampilan yang yakin dan bergaya. (Gambar hiasan/ Instagram @gegirlexclusive)

4. Polos

Fabrik polos amat sesuai dengan individu bersaiz gempal. Jika teringin menggayakan warna terang seperti merah mahupun hijau terang, pilih fabrik polos, semestinya penampilan tetap yakin dan bergaya.

5. Baju saiz besar

Elak memakai persalinan yang besar atau longgar kerana ini akan menampakkan anda semakin besar, sebaik-baiknya sarungkan pakaian yang sedang-sedang atau memang sama dengan saiz anda.

Selain lima panduan ini, perkara penting yang perlu ada pada diri ialah yakin kerana yakin juga adalah ciri yang perlu ada untuk tampil lebih bergaya walaupun bersaiz gempal.