Ramai gemar memilih paha ayam atau kepak ayam terutama apabila digoreng atau dibakar kerana dikatakan lebih rangup dan lembut.

Tidak kurang juga yang menggemari dada ayam kerana lebih banyak daging, manakala kaki ayam yang dibasuh bersih dan dimasak sup atau kari juga mempunyai peminat tersendiri khususnya di Korea Selatan.

Bagaimanapun, berdasarkan perkongsian Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi akaun Facebook Nutritionist Perak, paha ayam bukan sahaja mengandungi tinggi lemak, tetapi juga kalori.

“Bahagian paha ayam atau lebih dikenali sebagai chicken drumstick dan bahagian atas paha ayam (chicken thigh) adalah bahagian yang mengandungi tinggi lemak iaitu 13.1 g.

“Lemak pada bahagian ini diperoleh daripada kulit yang melapisinya, justeru pengguna dikehendaki berhati-hati jika apabila menikmati kulit pada bahagian ini,” kata kenyataan itu.

Selain mempunyai kandungan yang tinggi lemak, paha ayam juga membekalkan tenaga atau kalori sehingga 170 kcal, namun kaya protein iaitu 13.0 g.

Protein pada bahagian itu diperoleh daripada kepadatan otot yang tinggi kerana bahagian paha ayam adalah bahagian yang aktif bergerak bagi seekor ayam.

Selain paha dan bahagian atas paha ayam, setiap bahagian ayam juga mempunyai nilai khasiat pemakanan yang berbeza.

Berikut ialah nilai khasiat pemakanan bagi setiap bahagian ayam:

1. Paha ayam (drumstick)

Mengandungi lemak dan kalori yang tinggi, tetapi juga kaya dengan protein. Elakkan makan kulit ayam kerana di situlah kandungan lemak paling tinggi.

Tenaga: 170 kcal

Protein: 13.0 g

Lemak: 13.1 g

2. Atas paha ayam (chicken thigh)

Bahagian ini mengandungi lemak dan kalori yang paling tinggi, tetapi memberikan protein yang banyak. Seperti paha ayam, elakkan makan kulit ayam kerana di situlah kandungan lemak paling tinggi.

Tenaga: 172 kcal

Protein: 13.3 g

Lemak: 13.2 g

3. Bahagian dada ayam pula (chicken breast)

Mempunyai kandungan protein yang tinggi dan rendah kalori jika dibandingkan dengan bahagian ayam yang lain. Oleh itu, daging dada ini sangat popular dalam kalangan mereka yang ingin menurunkan berat badan dan ahli sukan yang ingin tubuh lebih berotot.

Tenaga: 150 kcal

Protein: 18.3 g

Lemak: 7.7 g

4. Kaki ayam

pula mempunyai peminat yang tersendiri. Kaki ayam mempunyai jumlah protein yang tinggi dan lemak yang kurang. Oleh itu, kaki ayam selalunya dijadikan sebagai bahan untuk menghasilkan bone broth atau sup tulang, malah ada juga kajian menunjukkan bahawa kaki ayam merupakan sumber kolagen yang baik.

Tenaga: 115.6 kcal

Protein: 14.7 g

Lemak: 6.4 g

5. Kepak ayam (chicken wing)

Bahagian kepak mempunyai lebih banyak kulit dan tulang daripada daging atau otot. Oleh itu, kalori bagi 100g kepak ayam mentah datangnya daripada lemak.

Tenaga: 101 kcal

Protein: 7.6 g

Lemak: 7.8 g

6. Hati ayam

Bahagian ini pula mempunyai jumlah protein yang tinggi dan lemak yang rendah. Lazimnya, hati ayam dijadikan sebagai rencah dalam masakan sayur-sayuran. Tetapi hati ayam juga merupakan sumber zat besi yang baik, dengan pengambilan 1 ketul (2 lobar) hati ayam mampu membekalkan 10.7 mg sumber zat besi.

Tenaga: 116 kcal

Protein: 19.2 g

Lemak: 3.3 g