Ketahui masa paling selamat bagi wanita hamil untuk menaiki pesawat


Pastinya anda pernah terdengar mengenai bagaimana tekanan di dalam kabin sesebuah kapal terbang itu tidak selamat untuk kandungan dalam perut wanita.

Hakikatnya wanita-wanita hamil disarankan untuk elak daripada menaiki pesawat, tetapi jika sudah terdesak, tiada masalah.

Selagi wanita itu sihat dan dibenarkan untuk terbang oleh doktor, tekanan kabin tidak akan membahayakan dirinya ataupun kandungannya.

Walau bagaimanapun, ada peraturannya: wanita berkenaan perlulah berada di dalam tahap kehamilan tertentu untuk terbang.

Secara umumnya, pengembaraan jenis ini dianggap selamat bagi wanita yang sihat dan belum lagi mencecah minggu kehamilannya yang ke-36.

Kebanyakan syarikat penerbangan membenarkan wanita hamil untuk terbang. Untuk penerbangan antarabangsa pula, wanita itu perlu kemukakan dokumen yang mengesahkan tempoh kehamilannya.

Ingat ya, lain syarikat penerbangan, lain peraturannya, jadi pastikan anda semak terlebih dahulu.

Contohnya, bagi Malaysia Airlines, wanita dengan kehamilan normal selepas 36 minggu, serta wanita dengan komplikasi kehamilan selepas 32 minggu, tidak dibenarkan untuk menaiki pesawat.

Berikut adalah apa yang anda perlu tahu jika anda ingin terbang ketika hamil, menurut MomJunction.

Foto: babyinfo.com.au

Bilakah masa terbaik untuk menaiki pesawat?

Waktu paling selamat ialah di dalam trimester kedua, iaitu lebih kurang di antara minggu ke-13 dan 24.

Pada trimester pertama, anda perlu berhati-hati dengan kehamilan manakala ketika trimester ketiga, pergerakan anda akan menjadi perlahan dan anda akan rasa tidak selesa jika duduk terlalu lama.

Rancang penerbangan anda dengan betul. Jika anda ada sebarang komplikasi kesihatan, rujuk kepada doktor.

Risiko penerbangan antarabangsa

Wanita boleh menghadapi masalah dalam hal ini berkenaan dengan tempoh perjalanan, komplikasi kehamilan dan risiko menghidap penyakit. Anda akan mengalami kesukaran jika:

  • Inilah kehamilan pertama anda.
  • Anda berumur kurang daripada 15 tahun, ataupun lebih  daripada 35 tahun.
  • Anda hamil dengan kembar atau lebih.
  • Anda mengalami risiko keguguran atau pendarahan faraj.
  • Anda mengalami keanehan plasenta. 
  • Anda mempunyai sejarah keguguran, kencing manis, darah tinggi, preeklampsia, kelahiran pra-matang atau kehamilan di luar rahim.

Panduan penerbangan yang selamat

Foto: www.self.com

Sebelum terbang:

1. Rancang penerbangan pada waktu berisiko rendah iaitu di trimester kedua.

2. Bawa dokumen perubatan penting seperti surat yang menunjukkan tarikh jangkaan anda bersalin, jenis darah, nombor telefon kecemasan serta sijil perubatan.

3. Rancang perjalanan anda. Bawa sekurang-kurangnya seorang teman yang menyimpan senarai individu untuk dihubungi jika berlaku kecemasan. Pilih penerbangan singkat  supaya anda boleh rehat dengan secukupnya.

4. Bawa ubat kehamilan dan ubat untuk hilangkan ketidakselesaan ketika mengembara.

5. Ketahui peraturan syarikat penerbangan anda terhadap penumpang yang hamil.

6. Dapatkan insurans perjalanan yang juga meliputi kes-kes kecemasan.

7. Jangan bawa barang berlebihan. Isikan beg dengan apa yang anda perlu serta barang yang memudahkan perjalanan anda seperti bantal kecil.

8. Pakai pakaian yang selesa, longgar dan berlapis. Stokin penyahmampatan dapat membantu menjana peraliran darah jika kaki anda bengkak.

9. Jangan angkat barang yang berat. Minta pertolongan orang lain seperti petugas syarikat penerbangan anda.

Ketika terbang:

1. Di dalam pesawat, pilih tempat duduk di lorong berjalan (aisle seat). Mudahlah untuk anda bergerak.

2. Sentiasa minum air dan pastikan kulit anda tidak kering dengan memakai krim pelembap.

3. Makan dengan jumlah sederhana. Elakkan makanan masin dan pedas. Makan buah-buahan segar seperti oren, anggur dan pelam.

Secara kesimpulannya, ingat ya! Penerbangan tidak akan memberikan kesan yang serius terhadap kesihatan anda jika anda tidak mengalami sebarang komplikasi.

 

Semoga bermanfaat!