Bergaduh dengan pasangan atau teman-teman, gara-gara tidak mencapai kesepakatan dalam menentukan lokasi percutian. Anda pernah mengalami situasi ini?

Si isteri bertegas mahu menikmati percutian di kota mewah bercuaca dingin, sementara si suami pula mahu bersenang-senang di pantai sambil menikmati angin bayu sepoi-sepoi bahasa.

Membahagi keinginan suami dan isteri pastinya tidak menjadi halangan kalau mempunyai kewangan yang kukuh.

Namun begitu, tahukah anda pilihan destinasi percutian sebenarnya ada hubung kait dengan personaliti seseorang. Pilihan seseorang itu dikatakan merungkai karakter seseorang sama ada anda individu yang penyabar, kuat beremosi, boros atau lebih suka menyendiri.

Foto: Shasha Shafie

Jika nak tahu personaliti diri anda, teruskan membaca artikel ini.

1. Bandar besar

Foto: Aiza Adriena

Apabila kita memutuskan untuk bercuti setelah melalui kehidupan yang memenatkan setiap hari, lokasi yang memberi ketenangan tentunya saja seperti pantai, laut mahupun destinasi yang mengembalikan kita pada alam.

Bagaimanapun, jika kamu tetap memilih kota besar sebagai destinasi percutian disebabkan faktor kemudahan dan sememangnya lebih tertarik dengan seni bina atau kecanggihan sesuatu kota, ini bermakna kamu tergolong dalam kategori in.

Personaliti

Mereka yang gemarkan percutian di bandar-bandar besar ini dikatakan memiliki sifat yakin diri dan tergolong dalam kategori individu yang optimis. Kadangkala agak keras kepala dan ada masanya sukar menerima pandangan dan pendapat orang lain.

Selain itu, anda juga seorang yang suka membelanjakan wang untuk perkara yang tidak berfaedah. Rumusannya, kamu agak boros!

2. Pulau

Siapa yang tidak sukakan pulau bukan? Percutian berlokasikan pulau indah benar-benar membuatkan kita berasa tenang dan damai.

Tetapi jangan pelik kalau ada yang tidak suka. Penulis mempunyai beberapa orang teman yang tidak suka bercuti di pulau kerana bagi mereka panas, bimbang kulit terbakar selain hotel mewah yang menepati piawaian mereka terlalu tinggi harganya.

Bagaimanapunpun, jika anda seorang yang sukakan pulau, inilah ada ciri-ciri karakter diri anda.

Personaliti

Anda seorang yang bijak mengawal emosi. Inilah gambaran tepat mengenai personaliti individu yang gemarkan percutian ke destinasi-destinasi sebegini. Selain itu, seseorang yang tergolong dalam kategori ini juga disifatkan memiliki jiwa yang agak sensitif, mudah terasa dan cepat tersinggung.

3. Gunung-ganang

Foto: OARS

Dari laut kita beralih pada gunung-ganang pula. Mendaki gunung, berekspedisi dan menghabiskan masa di hutan adalah detik paling indah bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak.

Satu kepuasan yang tinggi nilainya sekiranya impian untuk menawan puncak gunung yang menjadi sasaran utama berjaya. Apa kaitan suka percutian gunung-ganang dengan sifat anda? Ini jawapannya!

Personaliti

Individu yang menggemari aktiviti lasak seperti ini merupakan seorang yang berfikiran terbuka selain lasak dan berdikari. Tak hairanlah jika mereka lazimnya bijak menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan. Pastinya mereka ini bukan seorang individu yang membosankan.

4. Taman tema

Foto: Aiza Adriena

Bila bercakap mengenai percutian dan taman tema menjadi agenda penting dalam atur cara anda, itu mesti disebabkan mahu memenuhi keinginan anak-anak.

Tidak semestinya ya tuan-tuan dan puan-puan, kerana ada juga orang dewasa belum berkahwin atau mempunyai anak yang gemar ke taman tema.

Mereka mungkin seorang yang mempunyai adrenaline rush atau mungkin sangat terinspirasi dengan kemeriahan di taman tema yang mengembalikan memori zaman kanak-kanak. Jika ada yang suka bercuti ke taman tema, ini adalah sebahagian sifat dalam diri anda.

Personaliti

Anda seorang yang mempunyai ramai kawan dan suka menghabiskan masa di luar bersama teman-teman. Mudah bergaul menjadikan mereka individu yang sangat disenangi dan mudah didekati. Sikap keanak-anakan juga antara faktor mengapa ramai gemar mendampingi mereka.

5. Bandar bersejarah

Foto: Fadzlena Jafar

Seseorang yang suka bercuti di bandar bersejarah, mereka ini dikaitkan sebagai individu yang berjiwa patriotik dan dahagakan ilmu. Bagi anda mendengar cerita atau membaca naskhah sejarah sahaja tidak mencukupi, anda mahukan maklumat lebih berdasarkan pemerhatian sendiri.

Personaliti anda pula terkait dengan ciri-ciri berikut.

Personaliti

Mereka yang gemar bercuti di tempat-tempat bersejarah secara amnya mempunyai jiwa dan perasaan yang abstrak. Sukar di tafsirkan dan difahami. Dari segi penampilan, mereka lebih gemar berpakaian ringkas persis seniman jalanan yang menggemari kehidupan sederhana.

Jadi  yang mana satukah anda?