Warga Malaysia mempunyai pelbagai hobi, ada yang gemar menyertai marathon, mendaki gunung, berbasikal mahupun berjoging di taman rekreasi bagi memastikan kesihatan berada pada tahap memuaskan.

Ada yang menjadikan hobi berkenaan sebagai amalan untuk menjaga berat badan, tetapi ada juga yang sekadar hobi hujung minggu.

Bagi wanita yang sedang cuba untuk mengawal berat badan, mungkin bimbang tidak dapat melakukan aktiviti berkenaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Usah bimbang, ada cara mudah yang boleh dimanfaatkan untuk memastikan badan tidak terlebih menerima makanan dan tidak juga terkurang.

Piramid pengambilan makanan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Foto: NSTP/Nurul Syazana Rose.

Hijab & Heels kongsikan 3 panduan mudah bagaimana mengawal berat badan ketika PKP berlangsung.

1. Suku suku separuh.

Piramid pemakanan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan kita mengamalkan suku suku separuh, iaitu mengambil karbohidrat(nasi) sebanyak suku pinggan, protein(ikan/ayam) juga dalam jumlah suku pinggan dan serat(sayur-sayuran) pula setengah pinggan.

Dengan mengikuti piramid ini, anda tidak akan terbabas mengambil makanan yang tidak diperlukan badan.

Mini Burger Salmon ini sangat menyelerakan, namun jika tahu berapa nilai kalorinya, tentu ia tidak akan dimakan – gambar hiasan. Foto: NSTP/NIK HARIFF HASSAN.

2. Kira kalori minimum

Setiap individu memiliki berat badan berbeza, oleh itu jumlah kalori yang diperlukan badan juga adalan tidak sama antara satu sama lain. Berdasarkan formula pengiraan kalori minimum, kita boleh mengetahui jenis makanan yang boleh diambil dan apa pula yang perlu dikurangkan.

Formula kiraan kalori minimum:
665 + (9.56 x berat) + (1.85 x tinggi) – (4.67 x umur) = kalori minimum. Berpandukan jumlah kalori minimum, setiap makanan mempunyai jumlah kalori tersendiri dan untuk mengetahui kalori sepotong kek, carian boleh dilakuan menerusi aplikasi yang banyak terdapat di laman sesawang.

Kira semua kalori makanan yang diambil dan pastikan ia tidak melebihi kalori minimum yang diperluan badan kerana jika terlebih, anda sebenarnya sedang menambahkan berat badan sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Kira kalori minimum untuk turunkan berat badan

Aplikasi dalam talian memudahkan pengguna, termasuklah aktiviti senaman atau program pengawalan berat badan yang turut ditawarkan menerusi aplikasi begini – gambar hiasan. Foto: NSTP/Asyraf Hamzah.

3. Gunakan aplikasi dalam talian

Ada banyak aplikasi yang boleh membantu anda melakukan kaedah senaman setempat yang mudah dan tidak perlu berada di taman rekreasi. Aplikasi MyFitnesspal contohnya ada menyediakan cara-cara senaman, malah pengiraan kalori serta karbohidrat yang diperlukan oleh badan.

Muat turun aplikasi berkenaan dalam telefon pintar dan anda boleh mengikut langkah demi langkah yang disarankan. Mudah sahaja jika tahu caranya, tinggal lagi, kesungguhan perlu ada untuk menjadi sihat!