Oleh: Syarifah Fatin Anisa Tuan Said Shakh

Sama ada di langit atau di bumi, tiada tempat yang wanita belum terokai.

Mereka membuktikan bahawa sifat biologi yang berbeza tidak menjadi penghalang dalam menjayakan sesuatu bidang.

Dari seorang suri rumah yang mengemudi nakhoda rumah tangga sehinggalah mengetuai penerbangan di awan biru, wanita tetap cekal dan berusaha untuk menjadi yang terbaik.

Jadi, tidak hairanlah jika wanita di seluruh dunia dianugerahkan dengan sebuah hari khas untuk meraikan pencapaian mereka tanpa mengira bangsa, warna kulit atau latar belakang.

Oleh itu, sempena Hari Wanita Antarabangsa ini, Hijab & Heels membawakan kisah wanita cantik yang menjadi tulang belakang dalam industri penerbangan di AirAsia. 

Syarikat penerbangan kos rendah ini tidak hanya menggunakan slogan, ‘Sekarang Semua Orang Boleh Terbang,’ untuk menarik penumpang tetapi ia juga mengajak masyarakat untuk turut menceburi bidang penerbangan termasuklah kaum wanita sendiri.

Foto: Pinterest

Gelaran ibu tidak menghalang Vivienne Ooi, Juruterbang AirAsia untuk mengembangkan kariernya. Beliau mula meminati bidang ini sewaktu pertama kali menaiki pesawat untuk ke luar negara.

Meskipun sibuk bekerja tetapi pada setiap hujung minggu, beliau tetap akan pulang ke Johor Bahru untuk meluangkan masa bersama anak-anaknya. Ini kerana, beliau merasakan bahawa kehadiran dirinya sebagai ibu adalah amat penting kepada dua-dua anak lelakinya.

“Perkara  paling penting adalah menentukan keutamaan yang ingin dicapai. Dahulukan perkara yang penting dan bahagikan masa untuk melakukan perkara lain,” kata ibu kepada dua anak lelaki ini.

“Penyertaan lebih 60 wanita sebagai juruterbang di AirAsia menunjukkan kebolehan wanita dalam bidang kritikal iaitu bidang yang memerlukan pengamatan yang serius. Ini adalah perkembangan yang harus dijadikan contoh kepada gadis muda di luar sana,” tambahnya lagi.

Foto: AirAsia

Sementara itu, bagi pramugari AirAsia, Muzainah  Mohd Fausi, pekerjaannya juga memerlukan komitmen yang tinggi. Stereotaip masyarakat yang mengatakan mereka hanya tahu berdandan dan menata rias wajah serta tidak melakukan pekerjaan yang sukar ditepis dan dijadikan sebagai pembakar semangat.

Beliau menerangkan, “Berdandan, berpenampilan kemas dan berkeyakinan tinggi adalah salah satu keperluan sepanjang bertugas sebagai seorang pramugari,” katanya yang sudah berkhidmat di sana sejak berusia 18 tahun.

Masyarakat melihat kerjaya sebagai pramugari adalah sama seperti seorang penyambut tetamu tetapi hakikatnya, mereka mempunyai tugas yang lebih mencabar seperti memberikan bantuan kecemasan awal dan memastikan keselamatan penumpang berada dalam keadaan yang baik. Pramugari juga diberikan latihan yang secukupnya bagi menangani situasi mencemaskan.

Oleh itu, tanggapan masyarakat tentang perkara ini adalah tidak benar sementelah mereka juga mempunyai tugas yang penting dalam industri penerbangan.

Foto: AirAsia

Selain daripada juruterbang dan pramugari, crew controller juga tidak kurang pentingnya dalam industri penerbangan.

Tugas mereka sebenarnya adalah memastikan bilangan anak kapal adalah mencukupi dalam setiap penerbangan, menjaga koordinasi antara jabatan penerbangan dengan kru penerbangan dan banyak lagi.

Janet Sieton adalah antara tiga wanita yang bekerja sebagai crew controller di AirAsia. Walaupun bilangan wanita adalah sedikit, beliau tidak kekok dalam menjalankan tugas.

Foto: AirAsia

Malah, wanita kelahiran Lahad Datu ini tidak mempunyai masalah untuk berkhidmat di bahagian Crewing Duty Manager walaupun pernah diempatkan di Jabatan Pemasaran dan Operasi Penerbangan.

Jelas Janet, “Saya sangat sukakan cabaran dan berharap ramai lagi wanita yang akan menyertai jabatan ini.”

Tambahnya lagi, “Saya tidak pernah menganggap bahawa kaum wanita adalah lebih baik daripada lelaki kerana percayakan hak dan kesaksamaan antara kedua-duanya. Malah, saya berpendapat bahawa wanita harus lebih berani dalam mengetengahkan kebolehan dan bakat yang mereka miliki,” ujarnya.

Bagi ketiga-tiga wanita ini, Hari Wanita Sedunia ialah simbol kekuatan dan penghargaan kepada semua wanita di seluruh dunia termasuklah kakak, ibu, nenek dan ramai lagi.

Mereka juga berharap agar ibu bapa lebih terbuka dalam membenarkan anak-anak perempuan merealisasikan cita-cita dan berbangga di atas pencapaian yang mereka miliki. #GirlsCanDoAnything