Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kanak-kanak yang terdedah kepada COVID-19 berisiko mengalami sindrom keradangan pelbagai sistem dengan gejala seperti demam berterusan dan masalah pada fungsi jantung dan buah pinggang.

Agensi berita antarabangsa, CNN melaporkan doktor di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) turut mendapati kanak-kanak yang pernah dijangkiti COVID-19 akan mengalami radang pada saluran darah dan mengakibatkan mata serta lidah kelihatan kemerahan selain bibir mengelupas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga kini Malaysia belum mengesan sebarang masalah yang serius dalam kalangan 317 pesakit kanak-kanak bawah umur 12 tahun yang positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah selepas sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. (Gambar NSTP/MOHD FADLI HAMZAH)

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru masyarakat supaya melindungi kanak-kanak dan bayi yang turut disenaraikan antara kumpulan berisiko untuk dijangkiti COVID-19.

“Setakat ini, KKM belum melihat kes yang serius membabitkan pesakit kanak-kanak berumur bawah 12 tahun. Tetapi kita tahu COVID-19 memberi kesan pada paru-paru seperti pneumonia dan menyebabkan radang saluran darah serta sindrom Kawasaki pada kanak-kanak.

“Sehubungan itu, kita ingin mengelakkan kanak-kanak daripada dijangkiti COVID-19. Mesej KKM adalah supaya melindungi keluarga dan kanak-kanak kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawat,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Sehingga 16 Mei 2020, daripada 317 kes positif COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak 12 tahun ke bawah, 112 kes (35 peratus) adalah membabitkan kanak-kanak berumur empat tahun dan ke bawah, serta 22 kes (7 peratus) dalam kalangan bayi kurang daripada setahun.

Begitupun, tiada kes kematian positif COVID-19 dicatatkan membabitkan pesakit kanak-kanak bawah 12 tahun yang positif COVID-19.

Selangor mencatat bilangan kes positif COVID-19 yang tertinggi dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun iaitu 77 kes, diikuti oleh Negeri Sembilan (48 kes), Johor (46 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (28 kes) dan Sabah (26 kes).

Dr Noor Hisham berkata, masyarakat khususnya ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga yang lebih tua bertanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak daripada COVID-19.

“Kanak-kanak dan bayi memerlukan orang yang lebih tua untuk melindungi mereka supaya tidak terdedah pada virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini.

“Ibu bapa dan penjaga perlu memberi didikan kepada kanak-kanak agar mereka dapat mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi, sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun, dan sangat digalakkan memakai pelitup mulut serta hidung (face mask) di kawasan umum terutamanya di kawasan yang sesak,” katanya.

Seorang petugas kesihatan di Indonesia mengambil sampel darah daripada kanak-kanak menggunakan ujian rapid bagi mengesan di Surabaya. (Gambar hiasan/AFP/JUNI KRISWANTO)

Sementara itu, terdapat 73 kes yang pulih dan dibenarkan keluar hospital pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 5,512 kes atau 80.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga 16 Mei 2020 jam 12.00 tengah hari, terdapat 17 kes baharu yang dilaporkan, justeru jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,872 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,247 kes.

Daripada 17 kes baharu yang dilaporkan, enam kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 11 kes adalah penularan tempatan yang melibatkan lima kes bukan warganegara Malaysia.

Selain itu, terdapat 13 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan lima kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) turut melaporkan terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan COVID-19 dan ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 113 kes (1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).