Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 8,380 panggilan membabitkan pelbagai isu kesihatan mental.

Daripada jumlah itu, KKM mengenal pasti dua isu utama yang dihadapi ketika rakyat diwajibkan berkurung di rumah iaitu membabitkan masalah emosi sebanyak 46.8 peratus dan kebimbangan terhadap wabak COVID-19, dengan 20 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berikutan jumlah panggilan yang tinggi itu, KKM sedang memperhalusi kaedah terbaik bagi meningkatkan perkhidmatan bagi masalah kesihatan mental di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Putrajaya. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon (kiri); Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong (dua, kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim (kanan). (Gambar BERNAMA)

“Sehingga 18 Mei 2020, KKM terima 8,380 panggilan dan antara isu yang dibangkitkan ialah masalah emosi sebanyak 46.8 peratus membabitkan stres, bimbang, kemarahan akibat pelbagai faktor sosial seperti masalah kewangan, tiada pendapatan dan perselisihan faham dengan keluarga.

“Masalah kedua ialah kebimbangan terhadap COVID-19 sebanyak 20 peratus kerana ada yang mengatakan mereka tidak mendapat maklumat tepat, justeru KKM memberikan kaunseling dan memberikan maklumat yang diperlukan pemanggil,” katanya pada pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Selain dua isu berkenaan, sebanyak 6.9 peratus pemanggil menyatakan masalah mendapatkan bantuan keperluan asas, masalah keganasan rumahtangga dan perhubungan (6 peratus), masalah psikiatri iaitu kemurungan dan keresahan (2.4 peratus) serta penderaan kanak-kanak (0.2 peratus).

Kredit: MedcityNew.com

Setiap panggilan yang diterima akan dilayan oleh petugas berkelayakan termasuk doktor dan pegawai dalam bidang tertentu yang sentiasa bersedia membantu berdasarkan masalah dihadapi.

Dr Noor Hisham berkata, KKM akan berusaha untuk memberikan bantuan sewajarnya termasuk menyalurkan panggilan kepada pihak yang bersesuaian dengan masalah dihadapi.

“KKM akan memberi nasihat berdasarkan masalah yang dinyatakan, misalnya jika mereka bimbang mengenai COVID-19, KKM akan memberikan maklumat dan penerangan supaya mereka faham apa yang boleh dilakukan dan apa yang perlu dielakkan.

“Sekiranya mereka faham (penjelasan diberikan), mereka boleh terima isu mental yang dihadapi,” katanya.

Sementara itu, KKM memaklumkan terdapat 31 kes yang pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 5,646 kes atau 80.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga 19 Mei 2020 jam 12.00 tengah hari, terdapat 37 kes baharu yang dilaporkan, justeru jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,978 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,218 kes.

Daripada 37 kes baharu itu, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 35 kes adalah penularan tempatan yang membabitkan 22 kes bukan warganegara Malaysia.

Sehingga kini, terdapat 11 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu enam kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan COVID-19 hari ini menjaidkan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 114 kes atau 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Gambar utama: Kredit thestarphoenix.com