Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti satu kluster baharu di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil apabila seramai 34 penghuninya didapati positif COVID-19.

Meskipun masih dalam siasatan, kes berkenaan dikatakan agak mengelirukan memandangkan kesemua pesakit yang positif COVID-19 itu ditahan dan diasingkan di Blok A DTI itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM kini sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca jangkitan termsuk membuat pengesanan kontak rapat.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Putrajaya, hari ini. (Gambar BERNAMA)

“Mereka ini ditahan sebelum PKP fasa 1 dijalankan, oleh itu mereka tidak disaring, hanya warga asing yang ditahan selepas 18 Mac 2020 sahaja disaring. Tetapi ada sebahagian daripada mereka sudah dihantar pulang ke negara mereka dan KKM dimaklumkan ada yang positif COVID-19 menerusi International Health Regulations Committee (IHRC).

“Oleh itu, selepas pemeriksaan dilakukan di DTI, KKM mendapati ada antara penghuni yang bergejala dan saingan yang dilakukan mendapati mereka positif COVID-19. Oleh itu, KKM kini membuat saringan bagi semua warga asing di Blok A dan mendapati ada 35 kes yang positif termasuk satu kes yang dikesan sebelum ini,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

 

Sehingga 21 Mei 2020 jam 12 tengah hari, seramai 645 penghuni sudah disampel yang mana KKM mengesan 35 kes positif COVID-19; 400 kes negatif COVID-19 dan 210 orang masih menunggu keputusan.

Kesemua 35 kes positif itu membabitkan bukan warganegara Malaysia, iaitu 17 warga Myanmar, 15 warga India dan satu kes masing-masing warga Sri Lanka, Bangladesh dan Mesir.

Petugas kesihatan KKM dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang lengkap berpakaian peralatan pelindungan diri (PPE) membantu dalam aktiviti pensampelan. (Gambar BERNAMA)

Dr Noor Hisham berkata, sebelum kluster berkenaan dikenal pasti, KKM menjalin kerjasama dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi Kerajaan bagi pengurusan kes COVID-19 yang melibatkan DTI.

Katanya, pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan dijalankan termasuk aktiviti nyahkuman, pendidikan kesihatan seperti penjagaan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta penekanan mengenai penjarakan sosial.

“KKM menyediakan perkhidmatan kesihatan di semua pusat depot tahanan secara berjadual. Perkhidmatan ini diberikan oleh pasukan kesihatan daripada Klinik Kesihatan yang terdekat. Anggota pasukan kesihatan ini terdiri daripada Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat Terlatih dan Jururawat Masyarakat.

“Antara perkhidmatan yang diberi seperti rawatan penyakit ringan, rawatan awal kecemasan, pemeriksaan kesihatan ibu hamil, kesihatan bayi dan kanak-kanak termasuk suntikan imunisasi berdasarkan jadual imunisasi kebangsaan yang kesemuanya tidak dikenakan bayaran,” katanya.

Kesemua 34 kes baharu membabitkan Kluster DTI itu adalah sebahagian daripada 50 kes baharu yang dikesan sehingga 21 Mei 2020 jam 12.00 tengah hari. Tambahan kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,059 kes.

Daripada 50 kes baharu yang dilaporkan itu, KKM mengesan tiga kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 47 kes lagi adalah penularan tempatan dengan 41 kes adalah bukan warganegara Malaysia termasuk 34 kes di DTI, Bukit Jalil.

Selain itu, KKM melaporkan terdapat 90 kes yang pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 5,796 kes atau 82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehubungan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,149 kes, selain 10 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk tujuh kes memerlukan bantuan alat pernafasan. Bagaimanapun, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan tiada kes kematian berkaitan COVID-19 setakat ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 114 kes (1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).