Sesungguhnya siapalah kita sebagai orang luar untuk mencampuri urusan rumah tangga mereka.

Namun begitu, menilai daripada mata kasar memang ‘unik’ atau tak masuk dek akal cara Da’i Farhan menceraikan isteri-isterinya.

Ketika ingin menikahi isteri kedua, Noorainul Naqim Mohd Radzi (Dr Erin), Da’i Farhan atau nama sebenarnya, Nik Ahmad Farhan Nik Mohamad, 30, sanggup menceraikan isteri pertamanya, Fatin Nurul Ain yang ketika itu sarat mengandung anak kedua menerusi aplikasi WhatsApp pada 3 Disember 2018.

Terbaharu, Da’i Farhan menceraikan isteri keduanya selepas dua hari Dr Erin didapati hamil dan kandungan dipercayai sekitar lapan minggu.

Perpisahan mereka diumumkan sendiri oleh Dr Erin, melalui coretan panjang lebar di Instagram.

Dr Erin yang juga dikenali sebagai Drholis memaklumkan bahawa Da’i Farhan sudah melafazkan cerai terhadapnya pada 27 April yang lalu selepas dirinya hamil anak pertama hasil perkongsian hidup dengan pendakwah berkenaan.

Menurut perkongsian itu lagi, Da’i Farhan dikatakan terlalu merindui anak-anaknya. Atas desakan pelbagai pihak, Dr Erin dengan rela memilih untuk diceraikan.

Susulan itu, dia berharap agar tidak lagi dikaitkan dengan pendakwah itu dan sempat meminta maaf sepanjang pernikahan mereka andai kata ada pihak yang terguris.

Pada 25 April yang lalu, Dr Erin mengesahkan bahawa dirinya hamil dan memuat naik berita gembira itu di media sosial selepas berasa loya dan muntah-muntah. Ujian kehamilan yang dilakukan turut menunjukkan dua garis.

Terdahulu, pasangan tersebut pernah menggemparkan negara apabila bernikah di Tanah Suci tanpa pengetahuan isteri pertama.

Da’i Farhan mendapat kecaman hebat daripada warga siber, bahkan tindakannya itu turut mendapat perhatian Ustaz Ebit Lew kerana menceraikan isteri pertama ketika sarat mengandung anak kedua mereka.