Tumbuh menjalar bagaikan bunga seri pagi (morning glory), biru menggoda milik bunga telang ini cukup memikat hati, namun terdapat perbezaan diantara kedua-dua tumbuhan ini. Bunga telang boleh dimakan selain banyak manfaat berbanding seri pagi yang hanya indah sebagai tatapan mata di kala pagi.

Pun begitu, sesetengah pengkaji berpendapat bunga seri pagi boleh diminum air rendamannya.

Berbalik kepada bunga telang yang dikenali dengan nama saintifik, Clitoria Ternatea, ia adalah sejenis tumbuhan tergolong dalam keluarga Fabaceae (tumbuhan menjalar).

Foto: Researchgate

Nama lain bagi bunga telang ialah butterfly pea vine, blue pea, anchan (Thailand), Pukinggan (Filipina) dan Dau biec (Vietnam). Pada zaman dahulu sebelum terjumpanya bahan pewarna seperti yang terdapat dan boleh diperolehi dengan mudah sekarang, bunga telang amat popular digunakan sebagai pewarna makanan.

Tanaman ini berasal dari Asia yang beriklim Tropika Khatulistiwa, mudah membaik subur dalam medium yang agak lembap (tanah yang mempunyai kandungan humus yang tinggi) serta memerlukan cahaya matahari secukupnya untuk membesar.

Tumbuhan ini boleh membiak dengan cara keratan batang atau biji. Sifatnya yang menjalar menjadikannya sesuai untuk tanaman pagar ataupun sebagai tanaman untuk pasu gantung. Bunganya yang berwarna ungu kebiruan akan mekar sepanjang tahun.

Di negeri Kelantan ia juga dikenali dengan nama bunga nasi kerabu kerana digunakan sebagai pewarna nasi kerabu menjadi biru.

Foto: Norazlitaaziz.blogspot

Untuk menyemainya, biji benih direndam dalam air selama 3 hingga 4 jam sebelum disemai dalam tanah. Selalunya benih akan mula bercambah selepas tujuh hingga 14 hari. Untuk keratan batang pula semai dalam pasir yang lembap dan pastikan airnya mencukupi. Tumbuhan ini perlu selalu dipangkas (dipotong rantingnya) untuk memastikan pertumbuhan ranting baru tidak terbantut.

Jom ketahui khasiat bunga telang!

1. Meningkatkan kewanitaan

Bunga telang mempunyai bentuk organ luaran seksual wanita, maka kerana itu ia diberi nama ‘Clitoria,’ diambil daripada perkataan clitoris. Dalam beberapa bahasa (Tamil, Malayalam) bunga ini dinamakan ‘kerang’ yang juga mempunyai bentuk organ seksual wanita.

Oleh kerana mempunyai kesamaan bahagian tubuh manusia, tanaman ini dikatakan mempunyai pengaruh kepada sistem pembiakan wanita. Tumbuhan ini digunakan secara tradisional untuk menyembuhkan penyakit seksual, seperti ketidaksuburan, gonoria, membetulkan kitaran menstruasi (haid) dan juga sebagai aphrodisiac, iaitu bahan menaikkan nafsu seksual.

Terdapat juga kepercayaan yang mengatakan bahawa untuk mengelakkan keguguran, batang kacang telang ini dililitkan pada pinggang perempuan hamil. Sama ada berkesan atau tidak, cara ini tidak dapat dibuktikan kesahihannya.

Untuk membetulkan kitaran haid, ambil bunga dan akarnya lalu dimasukkan dalam air mendidih. Rebus bersama sedikit gula dan diminum.

Ini cara menyediakannya:

Bahan:

Segenggam bunga telang
Segelas air panas
Gula secukup rasa
1/2 biji limau nipis

Cara Membuatnya

Masukkan segenggam bunga telang di dalam gelas. Kemudian, masukkan air panas dan rendam bunga telang selama lima minit. Sesudah air bertukar warna biru pekat, tapiskan bunga telang tersebut. Akhir sekali, masukkan setengah biji limau nipis dan gula secukup rasa. Air teh ini akan bertukar warna ungu yang cantik dan rasa sangat menyegarkan.

Foto: Bidadari.my

2. Mengecutkan jerawat

Ambil daun pokok bunga telang, hancurkan dan ditampal pada jerawat. Biarkan selama 30 minit. Bersihkan.

3. Melebat dan menghitamkan rambut

Bunga telang dipercayai amat berkhasiat untuk melebat dan menghitamkan rambut. Tumbuhan ini juga dipercayai mampu mengilatkan rambut dan juga dapat menyuburkan kulit kepala. Caranya, ramas bunga telang di dalam segayung air, cuci rambut seperti syampu dengan air ramasan tadi.

4. Sebagai detoks

Teh herba bunga telang juga membantu anda detoks untuk menguruskan badan. Minum air bunga telang setiap pagi untuk detoks.

5. Mengurangkan sakit kepala

Selain melebat dan menghitamkan rambut, daun dan bunga kacang telang juga dikatakan mampu mengurangkan sakit kepala. Caranya ialah dengan mengambil daun atau bunga telang, masukkan dalam kain hingga membentuk bantal dan digunakan sebagai pelapik kepala sewaktu tidur.

Foto: Wellandgood

6. Mencuci darah

Darah kotor merupakan salah satu penyebab yang boleh mengakibatkan penyakit kulit seperti bisul. Rebusan Air bunga telang sangat baik untuk diamalkan kerana ia mampu mencuci darah. Manakal daun pokok bunga telang yang dihancurkan boleh ditampal pada bisul untuk mengubatinya.

7. Mengatasi cirit-birit

Air rebusan bunga telang boleh merawat cirit-birit.

8. Mengatasi sembelit

Biji kacang telang yang dihancurkan dan dijadikan serbuk digunakan sebagai julap untuk mengatasi masalah sembelit. Minum air serbuk biji kacang telang apabila anda sembelit.

9. Merawat ulser mulut

Jika anda mengalami ulser mulut, rendam bunga dan kacang telang di dalam air panas. Minum seperti teh untuk mengurangkan sakit akibat ulser mulut.

Foto: Vinninsquaredental

10. Insomnia

Air rendaman bunga telang juga dikatakan mampu merawat insomnia.

11. Mengubati sakit mata

Bunga dan daun kacang telang yang direndam di dalam air bersih boleh digunakan untuk mencuci mata yang dijangkiti sakit mata atau keradangan. Caranya dengan merendam bunga telang dalam segelas air kemudian gunakan air rendaman tersebut untuk mencuci mata.

12 . Merangsang memori dan kebijaksanaan

Di India, kacang telang dikenali dengan nama Shankupushpam telah digunakan secara meluas sebagai tonik otak dan ia dipercayai dapat merangsang memori dan kebijaksanaan.

13. Mengurangkan gejala asma

Akar bunga telang yang direbus dan dijadikan sebagai teh boleh mengurangkan gejala asma.

14. Mengubati batuk

Akar bunga telang dapat ubati batuk.

Foto: Biospectrumindia

15. Mengubati bronkitis

Rebus 30-60 gram akar bunga telang dengan empat gelas air sehingga menjadi separuh separuh. Minum satu gelas dua kali waktu pagi dan malam.

16. Mengubati sakit telinga

Jika anda mengalami sakit telinga, bunga telang boleh membantu. Caranya ambil daun telang, ramas dalam air dan campur garam. Kemudian sapu pada telinga yang sakit.

17. Mengatasi stress

Kandungannya yang bersifat anti depresi yang ada di dalam bunga ini mampu memberikan ketenangan dan rasa damai yang mampu mengatasi stress.

Wow! banyaknya khasiat bunga telang ini. Apa lagi jangan lupa mencubanya!