Lemang beras pulut yang dimasak dengan santan atau dimasukkan jagung sudah biasa sangat dimakan, tetapi lemang ‘hipster’ mungkin agak jarang didengar walaupun dikenali ramai di sekitar Kuala Pilah.

Bayangkan juga bagaimana enaknya hidangan lemang hipster pada pagi Lebaran yang dinikmati bersama keluarga, jamah serba sedikit dan kemudian beransur menunaikan solat Aidilfitri di ruang tamu rumah.

Kenyataannya Aidilfitri kali ini tetap meriah meskipun seluruh negara akan meraikannya dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) dengan membudayakan prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM).

Rosmawati (kanan) bersama pelanggan yang datang ke kedainya untuk menjamu selera lauk-pauk salai yang disediakan sebelum PKP tempoh hari. Foto: Rosmawati Ab Razak.

Bagi pengusaha kedai makan di Kuala Pilah, Rosmawati Abdul Razak, beliau meneruskan tradisi menyediakan pelbagai jenis lemang untuk memenuhi permintaan pelanggan yang sudah menempah awal.

“Lemang hipster antara yang jadi tumpuan kerana ia sedikit berbeza berbanding lemang yang biasa kita makan.

“Nama hipster itu timbul kerana ada campuran daging dan beberapa bahan lain di dalam lemang. Selain daging, saya biasa masukkan jagung atau nanas untuk memberi rasa berbeza terhadap lemang berkenaan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Lemang hipster mengandungi daging dan jagung yang dihasilkan Rosmawati. Foto kredit: Rosmawati Ab Razak.

Lemang sejak turun-temurun menjadi pilihan ramai di negara ini ketika perayaan Aidilfitri, ada yang menikmatinya bersama rendang tok, rendang ayam, rendang kerang atau serunding.

Rosmawati berkata, tiada perbezaan ketara dari segi penyediaan lemang hipster berbanding lemang biasa, tetapi jika mahu hasilnya sedap dan enak, bahan seperti santan perlu dilebihkan.

“Saya kira semua orang tahu memasak lemang, tinggal lagi bagaimana cara kita mengendalikan api, penggunaan bahan dan kreativiti penyediaannya.

“Saya menggunakan santan segar dan lebihkan sukatannya supaya apabila dimakan, lemaknya terasa. Daging juga dibasuh bersih dan dimasukkan bersekali ke dalam beras pulut. Bakar seperti biasa dan jaga api supaya lemang masak sekata,” katanya.

Rosmawati juga menghasilkan lemang kuinin, lemang tepung dan lemang pandan. Foto kredit: Rosmawati Ab Razak.

Selain lemang hipster, Rosmawati turut menyediakan lemang gula anau, lemang pandan dan lemang jagung yang sentiasa digemari ramai.

Resipi lemang hipster

Bahan-bahan:
2 cawan beras pulut
3 cawan santan
1 cawan jagung
1 cawan nanas (dipotong kiub)
½ kg daging (dipotong kiub sebesar ibu jari dewasa)
Gula garam secukup rasa.

Cara penyediaan:
1. Basuh beras pulut hingga bersih. Masukkan ke dalam buluh yang sudah di alas dengan daun pisang.

2. Sambil mengisi beras pulut ke dalam buluh, selang selikan dengan daging, nanas dan jagung.

3. Tuang santan yang sudah diperasakan dengan gula dan garam ke dalam buluh berisi beras pulut.

4. Bakar sehingga masak.