Setiap inividu mempunyai daya penarik tersendiri yang berupaya membuatkan orang lain tertarik dan memandangnya dua kali dalam situasi tertentu. Sama ada bibir, mata atau wajah, bahagian anggota badan ini adalah antara titik tumpu yang dikatakan sebagai daya penarik.

Sebahagian besar daripada daya penarik bagi artis Korea ialah penampilan mereka yang cantik dan sangat sempurna hingga kita daripada golongan marhaen ini pun cemburu melihatnya.

Selain kulit mereka yang halus dan gebu, rambut mereka turut mendapat perhatian kerana strukturnya yang lembut dan bersinar.

Bagi anda yang meminati muzik K-Pop, pasti anda perasan mengenai warna rambut artis kegemaran anda sentiasa bertukar. Untuk penampilan kali ini, rambutnya berwarna kuning blonde. Dua minggu selepas itu, warna biru pula.

Ini bermakna artis-artis ini terpaksa melunturkan warna rambut mereka dengan kerap dan kebarangkalian rambut mengalami kerosakan adalah tinggi? Bagaimanapun, rambut mereka tetap nampak lembut beralun dan lebat. Adakah mereka tidak pernah berhadapan  masalah rambut gugur langsung?

Berita baik untuk sesiapa yang ingin tahu, artis-artis ini tidak kedekut ilmu. Mereka sering berkongsi panduan kecantikan termasuklah cara mereka menjaga rambut. Ingin tahu bagaimana? Baca panduan yang dikongsikan oleh Soompi ini.

Basuh rambut hanya sekali dua dalam seminggu

Berapa kerap anda basuh semuanya bergantung kepada jenis rambut dan keadaan kulit kepala anda. Apa-apa pun, jangan kurang basuh ataupun terlebih basuh.

Yang ideal ialah pencucian sekali hingga paling banyak, tiga kali seminggu. Pencucian yang terlalu kerap boleh mengakibatkan rambut dan kulit kepala anda kekeringan.

Bilas dengan cuka epal

Ya, bunyinya memang pelik. Tetapi jangan terkejut, proses penapaian daripada buah epal boleh mengembalikan seri kepada rambut anda dengan cepat.

Ini tidak bermaksud anda boleh jirus saja dengan cuka ini ke atas kepala. Sebaliknya, ada beberapa produk di pasaran yang direka khas untuk rambut.

Cuka epal memang bagus untuk menanggalkan kotoran pada rambut kerana cirinya yang berasid. Ia juga membantu mengekalkan keseimbangan pH kulit kepala anda.

Gunakan rawatan gloss

Sumber: alwaysdc

Rahsia di sebalik rambut idola anda yang berkilat ialah amalan rutin penjagaan rambut yang bagus sekali dengan rawatan gloss.

Rawatan ini tahan sementara sahaja, iaitu selama enam minggu dan boleh membetulkan tona rambut serta menambahkan sinar. Bayangkannya sebagai lapisan kaca yang anda letakkan pada rambut untuk melindunginya.

Gunakan pupur rambut intensif

Sama seperti kulit, rambut juga perlukan pelembap. Kelembapan rambut mudah hilang disebabkan oleh perubahan cuaca, hormon dan gaya hidup. Itu sebabnya kita perlu rawatinya dengan pupur sekali sekala.

Pupur rambut ialah sejenis bahan rawatan mendalam yang mengubati rambut rosak dan mengembalikan serinya.

Pastikan anda pilih produk yang mengandungi minyak semula jadi seperti minyak badam, zaitun, jojoba atau avokado dan ramuan seperti pisang, oat, madu serta vitamin.

Dapatkan rawatan kulit kepala

Sumber: spa-bleu.com

Jangan tumpukan perhatian anda kepada rambut sahaja, kulit kepala juga penting kerana di situlah akar umbinya. Jika anda inginkan rambut yang sihat dalam jangka masa panjang, anda perlu jaga kulit kepala.

Ada beberapa elemen yang anda perlu kawal iaitu kelembapan dan minyak semula jadi, keseimbangan pH, kebersihan, peredaran darah serta perlindungan.

Sekiranya kesemua elemen berkenaan dijaga dengan baik, anda akan dapat rasakan perubahannya pada kulit kepala dan lihat rambut anda tumbuh dengan lebih sihat serta berkilat.

Gunakan bahan tambahan untuk rambut

Bukan semua produk penjagaan rambut perlu disapukan ke atasnya. Cara anda menjaga sistem badan anda  juga mempengaruhi kesihatan rambut.

Artis Korea amat memerlukan vitamin untuk meneruskan kerjaya mereka. Walaupun makanan tambahan sahaja tidak cukup untuk mengekalkan kesihatan rambut, ia tetap dapat mengelakkan keguguran serta menggalakkan pertumbuhan rambut sihat.

Jika anda ingin lihat hasilnya, ambil makanan tambahan ini setiap hari untuk sekurang-kurangnya lima ke enam bulan.