Masuk hari kelima Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, Malaysia mencatat empat lagi kematian, jumlah kematian tertinggi direkodkan dalam sehari.

Penambahan empat kematian itu menjadikan Malaysia kini merekodkan lapan kes kematian secara keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kesemua mangsa adalah rakyat Malaysia dengan dua di Sarawak yang juga ibu dan anak, satu di Kuala Lumpur dan satu lagi di Kelantan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. (Gambar BERNAMA)

“Kes kematian kelima adalah melibatkan seorang wanita berusia 79 tahun warganegara Malaysia yang dimasukkan ke Borneo Medical Centre pada 16 Mac 2020 setelah mengalami demam dan batuk selama 5 hari. Pada hari kedua, beliau mengalami kesukaran bernafas namun keluarga tidak mempersetujui beliau diberi bantuan alat pernafasan.

“Beliau dibawa pulang oleh keluarga pada 17 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 18 Mac 2020. Beliau mempunyai kontak dengan dua orang lagi yang disahkan positif iaitu anak lelaki dan anak perempuan beliau,” katanya pada sidang media petang semalam.

Kes kematian keenam pula membabitkan anak perempuan kes kematian kelima. Kes itu membabitkan seorang wanita warganegara Malaysia berumur 40 tahun yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac 2020 setelah mengalami demam dan batuk sejak 7 Mac 2020.

Beliau disahkan positif COVID pada 19 Mac 2020 dan diberi bantuan pernafasan pada hari yang sama selepas didapati keadaan kesihatan beliau semakin merosot sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 tengah hari pada 21 Mac 2020.

 

Dr Noor Hisham berkata, dua kes kematian lagi didapati seorang terbabit secara langsung dengan kluster jemaah tabligh, manakala seorang lagi mempunyai kontak dengan jemaah berkenaan.

“Kes kematian ketujuh melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 57 tahun, mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan kontak dengan kes positif COVID-19 dari kluster tabligh. Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam, batuk dan sakit tekak selama seminggu.

“Keadaan kesihatan beliau kemudiannya merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan pada keesokan harinya. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 3.22 petang pada 21 Mac 2020,” katanya.

Kes kematian kelapan pula membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 69 tahun daripada kluster tabligh. Beliau dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac 2020.

Beliau dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 18 Mac 2020 setelah didapati keadaan kesihatan merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan pada keesokan harinya, sebelum disahkan meninggal dunia pada 21 Mac2020 pada jam 4.00 petang.

Dalam hubungan ini, Dr Noor Hisham menyeru semua Jemaah yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Peling Jaya, bulan lalu untuk tampil membuat saringan.