Fasa ke-2 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini hingga 14 April menyaksikan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ada yang mengeluh dan berasa terbeban dengan PKP, namun ramai yang mengambil sikap postif dengan melakukan pelbagai aktiviti bermanfaat di rumah.

Inilah masanya untuk mengubah minda agar berfikiran lebih positif demi kebaikan bersama. Jika selama ini kita mengeluh kerana banyak masa dihabiskan di luar akibat beban kerja, apa kata nikmati kebebasan bekerja di rumah seiring dengan PKP yang sedang berlangsung.

Polis mengadadakan sekatan bagi memastikan orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan – gambar hiasan. Foto: NSTP/Asyraf Hamzah.

Fikirkan juga penat lelah dan kudrat barisan hadapan seperti petugas kesihatan, polis, tentera, bomba dan RELA yang berhujan serta berpanas, malah ada yang terpaksa berpisah dengan keluarga demi kesejahteraan rakyat.

Hargailah nikmat PKP yang diharap hanya bersifat sementara dengan melakukan pelbagai aktiviti bermanfaat.

Tentera turut berkidmat tanpa mengira waktu bagi memastikan rakyat patuh terhadap Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung wabak Covid-19 – gambar hiasan. Foto: NSTP/Mohd Safwan Mansor.

Hijab & Heels kongsikan dua kegiatan berfaedah yang boleh dilakukan di rumah ketika PKP:

1. Mengemas almari pakaian
Daripada puluhan helaian pakaian mungkin ada antaranya yang sudah tidak sesuai dengan badan anda. Apa kata himpunkan di dalam beberapa beg, kelaskan mengikut jenis dan saiz pakaian.

Apabila PKP berakhir kelak, anda boleh terus menghantar pakaian berkenaan ke mana-mana rumah kebajikan yang memerlukan. Almari akan ada lebih banyak ruang dan pahala juga diperoleh.

Pakaian lama yang sudah tidak digunakan boleh disumbangkan ke rumah kebajikan yang memerlukan – gambar hiasan. Foto: NSTP/Khairul Azhar Ahmad.

2. Kemas dan atur semula stor di rumah
Setiap rumah tentunya mempunyai ruang penyimpanan peribadi sama ada milik diri sendiri atau keluarga. Selongkar stor berkenaan untuk periksa barang yang masih diperlukan atau tidak.

Kadangkala kita menyimpan barang tertentu walaupun ia sudah tidak berfungsi lagi kerana sayang. Lebih baik disedekahkan atau di hantar ke pusat pengumpulan barang terpakai, oleh itu stor kurang semak dan pastinya lebih terang.

3. Asah kebolehan mengajar secara dalam talian
Ada dalam kalangan kita mempunyai kebolehan tertentu seperti berbakat dalam bidang seni, kulinari mahupun pertanian.

Mungkin anda boleh berkongsi kemahiran dimiliki dengan rakan, saudara-mara atau anak buah menerusi aplikasi dalam talian dengan memberi panduan kepada mereka yang mahu melakukan aktiviti seni atau berkebun di halaman rumah.