Patuh pada prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Aidilfitri, atau berdepan dengan kemungkinan peningkatan jumlah jangkitan baharu COVID-19.

Berdasarkan pengalaman negara lain, rakyat Malaysia kini hanya mempunyai satu pilihan, iaitu patuh pada SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB)  jika tidak mahu wabak COVID-19 terus menjadi mimpi buruk sepanjang hayat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kegagalan masyarakat untuk melakukan kawalan kendiri  boleh menyebabkan Malaysia berada dalam keadaan sukar jika jumlah kes COVID-19 meningkat secara mendadak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Putrajaya hari ini merayu masyarakat supaya patuh kepada SOP sepanjang musim perayaan ini. (Gambar BERNAMA)

“Jika dilihat dari 4 Mei 2020 sehingga hari ini, kita berjaya menggunakan kaedah baharu iaitu PKPB kerana tiada peningkatan kes baharu secara mendadak. PKP ialah kaedah lebih tepat dan berkesan untuk menurunkan kes, tetapi PKPB walaupun kurang berkesan, sekurang-kurangnya tidak meningkatkan jumlah kes yang tinggi dan kosnya lebih murah daripada PKP.

“Kebimbangan KKM ialah musim perayaan kerana berdasarkan pengalaman ataupun data dari luar negara, apabila ada musim perayaan rakyat akan pulang ke kampung  dan selepas dua minggu berlaku peningkatan kes secara mendadak,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

KKM melaporkan terdapat 63 kes yang pulih dan dibenarkan keluar hospital pada hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 5,859 kes atau 82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga 22 Mei 2020, jam 12.00 tengah hari, terdapat 78 kes baharu yang dilaporkan, oleh itu jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,137 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,163 kes.

Daripada 78 kes baharu itu, 25 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan baki 53 kes adalah penularan tempatan iaitu 40 kes bukan warganegara Malaysia termasuk 25 kes yang dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil.

Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan lima kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Selepas beberapa hari tiada kes kematian, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari melaporkan pertambahan satu kes kematian berkaitan COVID-19, justeru jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 115 kes (1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Elakkan kegembiraan pada Aidilfitri bertukar duka, patuhi SOP yang ditetapkan KKM. (Gambar hiasan/NSTP)

Sehubungan  itu, Dr Noor Hisham berkata, masyarakat perlu bekerjasama dengan mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk mengelakkan aktiviti ziarah menziarah pada Hari Raya bagi mengelakkan peningkatan kes secara mendadak selepas Aidilfitri.

“Jika ingin mengelakkan peningkatan kes, bukan hanya tanggungjawab KKM dan Kerajaan, sebaliknya tanggungjawab bersama iaitu setiap rakyat Malaysia perlu memastikan mereka kurangkan atau elakkan sama sekali kunjung mengunjung.

“Ini termasuk patuh pada SOP iaitu melakukan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter, kerap mencuci tangan dan elakkan perhimpunan walaupun bersama-sama ahli keluarga.

“Jika rakyat boleh patuh pada SOP, kita boleh kekalkan jumlah dua angka dan mungkin boleh kurangkan lagi kes (jangkitan baharu COVID-19), jika tidak kes akan meningkat secara mendadak,” katanya.